Cuti sekolah bermula dengan satu nikmat yang paling manusia gemar. Ya. Bangun lewat. Siapa saja yang tidak suka dengan nikmat tidur? Walaupun aku jenis yang sukar untuk melelapkan mata, tapi bila sekali dapat lena, aku membuta betul-betul. Kalau boleh tak nak bangun. Tapi tak bangun nanti sedar-sedar orang ramai dah solat kan aku pula
Berbalik pada kisah asal. Aku bangun. Kedua-dua kelopak mata aku tenyeh lalu membuang sedikit baja mata yang aku tiada niat nak buat pun sebenarnya. Dia yang buat proses tinja sendiri. Telefon berjenama Xiaomi aku capai lalu membelek skrin telefon yang retak seribu itu. Jam menunjukkan pukul 11 pagi.
"Hm. Takdelah lambat sangat aku bangun.." kata aku cuba untuk sedapkan hati.
Walhal dah terbayang wajah ibu yang garang seperti singa kelaparan. Kebiasaannya aku akan dibebel kerana kerap bangun lewat. Aku bukan sengaja, ada sebabnya. Mana yang tahu, tahulah. Aku malas nak buka cerita.
Selepas menguruskan apa yang patut, aku bergerak ke ruang tamu dalam keadaan yang cuba mengawal macho. Ibu dan adik-adik aku yang lain sedang berborak. Aku melabuhkan punggung di atas sofa. Kedua-dua belah tangan diletakkan atas peha. Aku cuba kelihatan seperti seorang yang baik. Ya. Anak yang baik. Ibu memandang aku dengan wajah yang pelik. Barangkali ibu terfikir
'kenapa anak aku nampak baik harini, biasanya seperti saitan direjam..'
Entah. Aku hanya membuat andaian. Haha. Jangan ambil serius.
Ibu mula bersuara. " Harini ibu & adik-adik nak ke rumah opah. Nak ikut? "
'Ah sudah.. rumah orang tua tu lagi.' getus hati aku.
Dengan pantas aku menggelengkan kepala. Bukan apa wahai pembaca semua. Ada sebab aku tak nak ke sana. Haha. Antara sebabnya, aku nak bersendirian di rumah. Bukan senang nak dapat nikmat sunyi tanpa suara-suara kambing adik-beradik ku. Jadi, pelawaan ibu aku tolak.
Ibu memahami keputusan aku dan tak memaksa. Ibu pun beredar dari ruang tamu untuk bersiap-siap ke rumah opah.
****
Ibu dan adik-adik sudah gerak ke rumah opah. Tinggallah aku seorang. Ya seorang. Itu merupakan kebebasan sementara buat aku. Haha. Oh ya, pada hari itu berlaku keajaiban sebab ibu tak membebel aku bangun lewat. Hahaha. Miraculous sungguh.
Pintu aku kunci. Tingkap aku tutup. Penghawa dingin aku hidupkan. Aku lemparkan badan ke atas sofa. Remote astro aku capai lalu menukar siaran. Setiap punat ditekan tapi tak ada satu cerita pun yang menarik perhatian aku. Aku bosan, aku tutup tv. Seperti biasa, handphone xiaomi retak seribu aku belek. Instagram aku scroll. Aku masih bosan. Tengok ig pun benda sama, balik-balik budak Tik tok gelek-gelek macam budak terencat. Bahkan budak terencat pun tidak begitu. Yang peliknya, mengapa benda-benda begitu lalu kat explore aku? Aku search? Saitonnn.. takkan ku cari benda-benda begitu. Aku bosan. Buka whatsapp pun, tiada notifikasi diterima. Maklumlah, orang lonely memang begini. Tak ada sesiapa sudi berborak. Haha. (Sekian kisah sedih lonely seketul jambul)
Disebabkan semua benda bosan, aku ambil keputusan untuk membaca novel seram yang aku beli tahun lepas tapi tak sentuh-sentuh lagi. Masih dalam balutan plastik. Balutan plastik dibuka. Buku setebal 367 muka surat itu aku buka dan baca bab demi bab.
Sampai bab ke- 10, bacaan aku terhenti. Mata aku letih pada masa yang sama tekak terasa kering. Aku tandakan muka surat yang dihentikan tadi lalu terus bergerak ke dapur mengambil segelas air. Pelik. Masa tu aku terasa macam ada orang memerhati. Aku biarkan perasaan tu dan teruskan minum. Selesai minum, aku pun melangkah semula ke ruang tamu dan duduk di sofa yang sama. Aku nak teruskan membaca tapi ada sesuatu yang menarik perhatian aku.
Kenapa langsir yang berada diantara laluan hendak ke dapur tu, terikat. Rasanya aku lepaskan langsir tu tadi supaya menutup laluan untuk ke dapur. (Tujuan ibu letak langsir sebab tak nak tetamu datang-datang terus nampak apa berlaku di dapur haha. Takde privasi.)
Aku tak sedap hati,tapi aku fikir tu mungkin sekadar khayalan. Mungkin aku terbayang-bayang je. Aku bangun dan labuhkan semula langsir tersebut. Aku kembali ke sofa dan sambung bacaan.
Beberapa minit kemudian,bacaan aku terhenti lagi. Terdengar bunyi di ruang dapur. Macam.. berjalan? Aku cuak. Aku sorang je di rumah. Siapa lagi yang ada selain aku? Aku buat tak tahu, sambil tu baca juga apa yang patut. Mengharapkan takde apa-apa berlaku.
Tengah syok baca, tiba-tiba ekor mata aku ternampak ada sesuatu dekat langsir yang tertutup tu. Macam.. orang intai. Aku betul-betul rasa seram sejuk pada waktu tu. Tapi aku tetap buat tak tahu dan teruskan aktiviti bacaan aku. Selesai membaca novel tersebut hingga bab ke-17, aku berhenti untuk berehat.
Buku aku tutup dan letakkan di atas meja yang berada di depan sofa dahulu. Kepala aku dongak kan dan memandang ke hadapan. Alangkah terkejutnya aku..
Aku nampak seorang budak yang sedang mengintai aku dari langsir tu. Tapi masa aku pandang tu 'dia' cepat-cepat menyorok semula. Aku tak nampak jelas wajahnya. Tapi yang pasti 'dia' berwarna kelabu dan ada rambut. Aku.. terkejut. Tu sudah pasti. Berdebar juga lah jantung aku. Cepat-cepat aku baca ayat kursi sebagai pendinding diri.
Waktu tu, aku cuma bergantung harap pada tuhan. Berdoa agar 'dia' tak ganggu aku. Cukuplah sekadar jenguk dan intai aku sepanjang aku baca buku tadi. Ya. Aku harap dan terus berdoa. Ayat kursi entah berapa kali aku baca.
Entah bila aku terlelap. Sedar dari tidur saja, ibu & adik-adik dah balik. Kejadian intai mengintai tu, aku tak ceritakan pada sesiapa sebab tak nak mereka takut. Aku biarkan saja. Aku harap 'dia' tak tunjukkan diri lagi lepas ni. Demi Allah, aku terkejut haha. Dah lama tak nampak. Jangan tegur aku begitu. Tak tegur langsung pun takpe. Aku tak kisah haha.
Aku anggap 'dia' secret admirer aku sajalah. Sengaja mengintai aku untuk melihat kekacakan aku. Ehem. K.
-End-