Patah Hati

7 1 1
                                    

Aku duduk termenung. Sekejap mengeluh, sekejap meraup muka lalu melentokkan kepala di atas meja. Kemudian, membenamkan wajah dalam pekung. Tidak senang duduk, seperti kucing hilang anak.

"Kau menangis ke Dyan ?" tanya Adam bimbang. Aku menggeleng perlahan tanpaku pandang wajahnya. Terasa ingin menangis, tapi aku tahu aku harus kuat. Hal kecil seperti itu tidak wajar untuk ditangisi. Namun, aku tahu aku akan gagal menahan diri daripada menangis. Hei Dyan yang itu memang lemah sekali.

"Dyan, kau tahu apa ulat beluncas cakap kalau dia nak lalu ?"
"Apa?"
"Ka-te-pi-lar"
"Hambar bongok!" kataku sambil ketawa. Adam turut ketawa denganku, memecah kesunyian di perpustakaan tingkat dua itu. Mata-mata memandang kami dengan jelingan tajam tanda tidak suka dengan tingkah kami. Ya, mohon maaflah. Jika kau dengar juga pasti ikut ketawa. Yakin.

Namun, cuma sebentar aku ketawa. Aku kembali termenung setelah itu. Adam mengeluh berat melihat keadaanku. Dia menggaru kepala yang tidak gatal tapi pening atau mungkin kepalanya memang banyak kutu. Aku tidak tahu.

"Sudahlah Dyan. Bukan salah dia. Bukan salah kau juga" kata Adam membujuk. Aku sedar hal itu. Dalam konteks ini, tiada siapa yang betul dan tiada siapa yang salah. Yang salahnya ialah anggap. Salah anggap.

Aku mencapai pena lalu mencoretkan hal-hal yang tidak penting. Tanpa aku sedari, aku mencoretkan nama Khairi. Tingkahku terhenti, aku sedaya upaya menahan air mata dari terus mengalir. Biar tidak kelihatan lemah di mata Adam. Kononnya.

"Menangis jelah"
"Diamlah"
"Dyan, aku kan ada" aku terpaku dengan kata-kata itu. Cubalah kata-kata itu diucapkan Khairi. Mustahil. Khairi tidak akan berkata begitu.

Khairi yang aku kenal, yang selama ini bergurau senda denganku, mengucapkan hal-hal yang tidak penting denganku, Khairi yang aku suka itu sudah berpunya ! Kukira dia sengaja mencari helah untuk berbual denganku, rupanya dia memang seorang yang suka membuang masa, mengatakan hal-hal remeh. Dasar !

"Nama ?"
"Dyan Sofea, kau ?"
"Khairi bin Frogen" aku tergelak kecil kerana nama ayahnya yang bagiku lucu. Ya, memang aku biadap untuk pertemuan pertama seperti itu. Bersiap sedialah untuk dipulau oleh lelaki ini.
"Kenapa?" soalnya polos. Aku hanya menggeleng kepala dengan wajah yang menahan ketawa. Barangkali itu penyebab Khairi turut ketawa denganku. Dia pasti tidak tahu bahawa aku mentertawakan nama ayahnya. Kalau tidak, masakan dia turut menyertai aku ketawa.

Aku juga ditakdirkan untuk satu kumpulan dengan Khairi dalam beberapa tugasan, menguatkan lagi rasa bahawa kami memang berjodohan. Apa Dyan yang itu otaknya lembab atau dia memang polos ya ?

Itulah Khairi yang aku kenal sewaktu hari pertama kelas berlansung. Bagiku dia itu baik orangnya dan prihatin. Selalu bertanya jika aku sudah menyiapkan tutorial, membalas semua statusku. Ah, kalau sudah suka, bukankah semuanya nampak indah ?

Salah akukah yang terlalu berharap ? Sesuka hati membenarkan diri ini jatuh cinta. Hasilnya, aku jatuh tanpa ada menyambut. Sakitnya, tak usahku bilang. Kau juga tahu macam apa sakitnya. Aku tidak tahu harus macam mana untuk aku berdepan dengannya selepas ini. Dia mungkin biasa-biasa sahaja. Tapi aku yang tidak!

Aku menggapai handphone ku, melihat kembali status Khairi tentang teman wanitanya itu, berdoa bahawa aku hanya bermimpi. Nyatanya aku tidak bermimpi. Kutampar diri sendiri agar bangkit menghadapi realiti.

'Take care of yourself my dear' ucapan tersebut diakhiri dengan emoji hati terbang-terbang berwarna merah jambu. Sebal hati aku dibuatnya ! Semoga cepat putus ! Doa aku jahat di dalam hati. Aku yakin itu teman wanitanya. Kerana dia tiada kakak perempuan. Aku ini, kalau sudah suka, sampai ke kekasih jirannya juga kutahu. Tidak usah kuberitahu bagaimana caranya aku tahu. Bukankah kita perempuan memang begitu ?

"Kau ada kelas lepas ni?" soal Adam. Aku menggeleng tanda tiada. Tanpa berkata apa-apa, Adam menarik tanganku, memaksa aku untuk bangun. Aku yang kehabisan tenaga akibat menangis, membuntuti sahaja langkahnya.

Tanpa aku sedari, kami berdua sudah sampai di pagar utama. Aku diam berpeluk tubuh. Entah apa yang hendak dilakukan Adam, aku tidak tahu, tidak ingin tahu. Aku hanya memerhatikan Adam yang sibuk membelek handphonenya. Barangkali memesan Grab.

Beberapa minit kemudian, sebuah kereta berhenti dihadapan kami tanpa ditahan. Benarlah tekaanku bahawa Adam memesan Grab. Hendak ke mana ? Namun, mulutku seolah-olah terkunci untuk bertanya. Ingin sahaja aku lempang Dyan yang itu. Mengada-ngadanya semacam. Yang kau kecewa itu dengan Khairi, bukan dengan Adam ! Tapi kau seolah-olah memprotes ke Adam pula.

Beberapa minit kemudian, kami sampai di sebuah taman rekreasi. Adam membayar tambang Grab, sementara aku keluar melulu mencari bangku untuk duduk. Aku menghela nafas berat apabila Adam mengambil tempat duduk di sebelahku.

Kami duduk menikmati angin petang. Rambut pendekku jadi serabai apabila ditiup angin. Cepat-cepat Adam mengambil kesempatan untuk mengambil gambarku yang mungkin baginya sangat hodoh ketika itu. Ditambah pula mataku yang sembab. Perfect!

Aku lihat Adam mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Kapal terbang kertas bersaiz mini ! Dia menerbangkan kapal terbang itu tapi mendaratnya tidak jauh. Aku memukul Adam perlahan.

"Pencemaran alam sekitar!" Adam ketawa lalu mengambil kembali kapal terbang kertas itu. Anehnya Adam, selalu sahaja membawa kapal terbang kertas kemana-mana sahaja. Lama kelamaan aku jadi terbiasa dengan tabiatnya. Apa motifnya aku tidak tahu, tidak pula aku bertanya.

"Dyan. Aku tak sukalah tengok kau macam ni. Sebab lelaki kau bersedih macam ni sekali. Cuba kau positive sikit. Entah-entah lepas ni, kau akan dapat yang lebih kaya, lebih handsome tapi aku lagi handsome, lebih baik, lebih semualah ! Aku tengok Khairi tu biasa je, tak handsome macam aku pun. Apa yang kau suka sangat pun aku tak tahu" kata Adam, cuba untuk menyedapkan hati aku. Aku geli hati mendengarnya. Adam yang narcissist.

"Jangan sedih lagi tau. Kau lepaskan je segalanya. Luahkan semuanya. Biar kau rasa lega"

"Betul ?" Adam mengangguk, mengiyakan kata-kataku dengan bersungguh-sungguh.

Aku bangun dan memanjat kerusi, berdiri di atasnya. Adam nampak cemas tapi kemudian tersengih.

"Woi Khairi ! Kau ingat kau handsome sangat ke ? Aku tak suka kau punlah ! Single is better ! Single for life !" aku menjerit melepaskan segala yang terbuku. Beberapa orang di situ memandang aku dengan wajah yang penuh persoalan. Biarlah. Aku sudah tidak kisah lagi.

Adam bangkit meniruku. "Betul! Adam Nuqman paling handsome !"

Tanpa kami sedari, rintik hujan mulai membasahi bumi. Cepat-cepat aku berlari mencari tempat teduh. Tapi, Adam tidak. Dia menahan aku daripada berlari, mengajak aku menari dalam hujan. Aku ketawa melihat gelagatnya yang berjoget macam kera kena belacan. Namun, aku ikutkan sahaja rentaknya. Pada petang itu, kami berdua menari dalam hujan dengan penuh gelak ketawa, melupakan rasa kecewa dan sedih. Siapa tahu nanti pelangi akan muncul ?

Hari itu, aku belajar untuk melepaskan cinta. Belajar bahawa cinta itu tidak semestinya memiliki dan dimiliki. Belajar bahawa jangan semudahnya membenarkan diri ini jatuh cinta. Barangkali dengan pembelajaran itu membuatkan aku sedikit dewasa. Namun, jauh di sudut hati aku bertekad untuk mengejar cintaku sekiranya aku ditakdirkan untuk jatuh cinta lagi. Itu janjiku. Kuberitahu ke Adam akan tekadku. Adam tidak pula membantah. Pasti dia menyokongku, dan kembali menari dalam hujan. Ah, kapal terbang mini itu pasti basah di dalam poketnya.

Itulah Adam, yang selalu ada saat aku sedih. Membuat lelucon yang hambar namun tetap juga membuat aku tersenyum, membuat aku senang dengan caranya yang tersendiri. Hai Adam, masihkah kau ingat saat itu ? Di saat itu berdua, sehinggalah kau membiarkan aku sendiri.


Kapal Terbang KertasWhere stories live. Discover now