BAB 1

699 19 0
                                    

MALIK seperti orang hilang akal. Rambut kusut-masai. Mundar-mandir seorang diri di dalam bilik itu. Bebola matanya masih tidak lekang daripada memandang tangan kanannya yang menggenggam gunting. Dari tadi dia cuba buang dan campak gunting itu jauh-jauh tapi semakin dileraikan, semakin kuat genggamannya.

"Ergh!"

Gunting yang tergenggam kuat itu perlahan beralih pada lengan kiri. Hujung gunting yang tajam itu mula menoreh daging di lengan kanan. Darah merah meleleh hingga menitis ke atas lantai.

"Argh!!!"

Walaupun kesakitan yang amat, tangannya semakin laju menoreh pada lengannya sendiri. Seolah-olah ada kuasa ghaib yang rakus menolak kuat tangannya untuk terus menoreh. Menitik laju air matanya. Semuanya berlaku dengan cepat. Mahu saja dia campak gunting itu ke lantai tetapi entah kuasa apa yang merasuk, kali ini gunting yang digenggamnya cuba merodok perutnya pula. Susah payah dia menarik tangan yang tergenggam gunting itu jauh dari perut. Makin dipaksa, makin dekat gunting itu menghala ke perut.

Zup!

Satu tusukan tepat pada perut. Menyembur cecair merah keluar. Wajahnya berkerut menahan sakit. Satu kelibat seperti bayangan hitam muncul di tepi meja yang selalu digunakan untuk merawat pesakit. Perlahan bayangan itu berubah menjadi tubuh seorang perempuan. Perempuan bermata merah itu memandang tajam ke arahnya dengan ilai tawa yang sungguh nyaring.

Zup! Zup! Zup!

Kali ini bertubi-tubi gunting merodok perut. Malik tidak mampu melawan kuasa yang sudah menggila mengawal tangan kanannya sendiri yang semakin rakus merodok! Akhirnya, dia rebah tidak bermaya.

Dari jauh, seseorang sedang memerhati di sekitar kawasan klinik. Hud yang menutupi kepala ditarik sedikit ke depan, menutupi wajanya. Mata tidak lekang daripada memandang klinik yang baru sahaja selesai urus niaga pada malam itu. Kelihatan seorang perempuan berbaju putih tergesa-gesa keluar dari klinik. Nampak cemas dan pucat. Perempuan itu mundar-mandir di luar klinik.

Beberapa orang yang berada di sekitar luar klinik itu mula mengerumuni depan klinik. Kelihatan wartawan dan jurugambar turut sama berada di lokasi kejadian. Dia senyum lebar. Cepat sungguh berita itu tersebar. Cekap!

Dia memerhati sahaja apa yang terhidang di depan mata. Kelihatan kereta peronda polis berhenti di depan klinik diikuti sebuah ambulans lima minit kemudiannya. Mereka sama-sama masuk ke dalam klinik. Tidak lama kemudian, dua lelaki dari ambulans tadi mengusung keluar satu tubuh yang berlumuran darah. Dia percaya doktor muda itu sudah berada dalam keadaan nyawa ikan. Lantas senyuman diukir lebar. Telefon bimbit diambil dari dalam poket seluar. Satu mesej dihantar kepada seseorang.

Malik sudah ke neraka.

Selesai mesej dihantar, dia menahan sebuah teksi di bahu jalan. Dia mengorak senyuman lebar. Telinga ke telinga. Sebentar lagi semuanya akan berakhir bagi doktor muda itu. Teksi bergerak laju menuju ke sebuah rumah di pinggir ibu kota.

ADI mengetuk-ngetuk dahinya dengan hujung jari telunjuk. Dari tadi dia cuba rungkaikan torehan pada lengan mangsa yang terdapat pada salah satu gambar yang sempat diambil pada tubuh mayat. Berpuluh keping gambar yang diambil, yang sekeping itulah paling menarik perhatiannya. Torehan itu nampaknya seperti membentuk sesuatu huruf.

Jenuh memerah otak, Adi bingkas bangun. Mug yang sudah kosong dicapai dari atas meja. Dia menuju ke ruang pantri di hujung pejabat. Tidak jauh dari meja kerjanya. Baru teringat, minggu lepas dia membeli satu bungkus kopi Ohsem ketika dia menjalankan tugas di Terengganu. Satu mug kopi O panas dibancuh sekali lagi. Hujan di luar semakin menggila membasahi bumi. Dia kembali ke kubikel semula. Mug diletakkan di sebelah kiri meja selepas meneguk keenakan kopi Ohsem.

M.A.Y.ATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang