Nama aku Siti Airina dan timangan terbaru aku di Kuala Lumpur berubah kini menjadi Erina. Aku berumur 20 tahun. Aku merupakan seorang gadis berdarah kacukan cina-bugis dari negeri di utara Malaysia. Bagiku, diriku cuma gadis biasa-biasa sahaja namun majoriti rakan-rakan perempuanku sering memuji wajahku yang cerah serta bulat dan manis ditambah dengan rambut lurusku yang hitam kemerahan paras bahu. Itu apabila aku di asrama. Menurut mereka gaya tubuhku itu amat serasi dengan bentuk wajahku. Tubuhku yang mungil dengan ketinggianku 152cm, menampakkan diriku comel yang sering menjadi daya tarikan rakan-rakanku bahkan sesiapa sahaja yang memandangku. Oleh itu aku sentiasa menjaga auratku dengan sentiasa bertudung dan memakai pakaian yang agak longgar.
Oh, aku sebenarnya merupakan seorang mahasiswi yang tergolong sebagai pendatang baru di bandar ini. Aku merantau ke sini bersendirian hampir 2 tahun kerana melanjutkan pelajaranku di sebuah IPTS di Kuala Lumpur. Keluargaku yang berasal dari daerah agak pedalaman dan bukanlah keluarga yang mampu untuk menyaraku, jadi aku memutuskan untuk berdikari di perantauan.
Bagi menampung kehidupan yang mencabar di ibu kota ini, aku dan beberapa kawanku bekerja secara sambilan. Maklumlah, sebagai pendatang baru di kota besar seperti Kuala Lumpur, aku perlu menanggung sendiri segala keperluanku. Tambahan pula aku tiada saudara mara di sini. Pelbagai pekerjaan telah kami ceburi. Sehinggalah salah seorang dari kami mendapat peluang pekerjaan di sebuah sekolah swasta sebagai tutor atau guru peribadi dan ianya memerlukan tutor yang ramai. Akulah orang yang paling bersungguh-sungguh mengambil peluang itu.
Mungkin salah satu cita-cita ingin menjadi seorang guru, maka aku mengambil peluang itu. Seronok dan mencabar sepanjang aku sebagai seorang tutor. Disebabkan bayaran upah yang agak lumayan, boleh dikatakan hampir setiap hari aku bertugas malah aku juga mengambil tugasan tutor lain untuk mengajar pelajar-pelajar sekolah rendah dan juga sekolah menengah pada waktu malam ataupun pada hari-hari aku lapang.
Setelah setahun aku mengajar, ramai ibu bapa yang berpuas hati dengan cara dan teknik aku mengajar lebih baik dari guru sekolah. Dalam masa setahun tu juga aku sering mendapat tugasan mengajar secara peribadi di rumah. Hinggalah aku dinobat sebagai tutor pilihan utama ibubapa. Maka dengan itu aku sudah boleh demand bila waktu aku akan mengajar dan mereka sanggup menurutinya.
Hinggalah suatu hari, aku mendapat panggilan dari seorang perempuan melayu yang mahukan aku memberi tuisyen kepada anak tunggalnya. Dia juga berani menawarkan upah yang bagiku amat tinggi dan aku rasa ianya agak mewah untuk menanggung kehidupanku di Kuala Lumpur.
Tanpa fikir panjang lagi, kebetulan anak didikku kini hanya tinggal seorang sahaja, cepat-cepat aku terima tawaran puan itu, dan hanya melalui panggilan telefon sahaja kami setuju supaya aku terus mula mengajar anaknya keesokan harinya setelah aku tamat kelas.
Pada esok harinya, aku pun ke rumah tersebut untuk mula mengajar murid baruku itu. Setibanya aku di rumah itu, aku tertegun melihat struktur binaan rumah itu yang seperti sebuah istana yang dilengkapi taman hijau dan dikelilingi pagar batu yang tinggi. Jika dibandingkan dengan rumahku di kampung yang hanya ¼ dari luas rumah itu, apatah lagi dengan bilik sewaku yang kecil dan sempit. Memiliki rumah seperti ini sudah menjadi impianku sejak kecil.
DING-DONG!!
Aku tekan suis loceng pintu di sebelah pagar rumah itu.
"Siapa?" terdengar suara wanita di panel interkom yang terletak di sebelah suis loceng pintu itu.
"Saya Erina, guru tuisyen yang baru!" jawabku.
"Oh, Erina! Mari.. silakan masuk!"
Tiba-tiba, pintu pagar rumah itu terbuka. Baru sahaja beberapa langkah kakiku melepasi pagar rumah itu, aku terkejut melihatkan seorang pengawal keselamatan yang bersenjata memandangku dengan matanya yang tajam. Aku pun cepat-cepat masuk ke dalam. Pintu depan rumah itu terbuka dan muncullah seorang wanita, usianya aku agak sekitar 40an. Dari penampilannya yang lagaknya seperti seorang businesswoman, sudah jelas bahawa dia adalah pemilik rumah ini. Wanita itu segera menyambut kedatanganku dengan mesra langsung tidak sombong.
"Assalamualaikum, saya Erina! Apa khabar?"
"Baik puan. Puan ni Puan Diana, kan?? Ibu pada Edry?" tanyaku dengan sopan.
"Ya, betul! Mari masuk, kita bincang kat dalam!" ujarnya mempersilakanku masuk.
"Salam pun tak jawab..." dalam hatiku.
Sambil menuju ke bilik tamu, kami berbincang-bincang sejenak. Dari situ aku tahu bahawa Puan Diana sebenarnya seorang berpangkat Datin Seri, dia juga pemilik butik fesyen dan pengantin yang ternama di Kuala Lumpur sekaligus merupakan seorang pereka gaun pengantin. Dia sering ke luar negara untuk menghadiri pameran-pameran di luar negara.
Bahkan, di dalam rumahnya juga kelihatan banyak terhias dengan piala-piala penghargaan dari kelab-kelab pereka atau penganjur pameran dari luar negara. Sementara suaminya yang berpangkat Dato' Seri adalah Ketua Pengarah Strategik di sebuah bank antarabangsa yang ketika ini berada di Jerman. Maka Datin Seri Diana hanya tinggal berdua saja dengan anaknya di rumah itu. Selalu juga anaknya diteman oleh saudara maranya apabila Datin Seri Diana ke luar negara.
"Biar betul dua beranak ni, satu orang gaji pun tak nampak, tak takut ke dua beranak ni je tinggal dalam rumah sebesar ni... takkan harapkan jaga tu aje?" fikirku.
Aku pun disuruh menunggu di bilik tamu sementara Datin Seri Diana mengambilkan minuman. Peluang mata aku untuk menjelajah di seluruh rumah. Aku terpaku melihat hiasan-hiasan indah di dalam rumah itu. Rasa-rasanya, harga salah satu hiasan patung ataupun lukisan itu cukup untuk membiayai kos hidupku untuk dua ke tiga semester.
"Aii... Cik Erina, jauh nampak mengelamun?" aku dikejutkan oleh suara Datin Seri Diana yang sedang menyajikan segelas air untukku.
"Eh.. tidak.. maaf, datin seri!"
Aku tergagap-gagap seakan kera sumbang, namun Datin Seri Diana hanya tersenyum melihatku. Datin Seri Diana pun duduk di sofa bilik tamu di depanku.
"Erina, kamu bolehlah mengajar Edry mulai hari ini. Saya harap kamu boleh tolong dia memperbaiki prestasi dia di sekolah. Banyak yang merosot sekarang.."
"Baik datin seri. Saya akan berusaha sebaik mungkin."
"Saya gembira melihat semangat kamu. Tapi boleh ke kamu tahan dengan budak-budak nakal ni?"
"Erm... sebenarnya apa maksud datin seri tu?" tanyaku sedikit rasa cuak.
"Edry tahun ini dia 15 tahun dan sekarang dah tingkatan 3. Nak exam PT3. Kamu tahu, ini waktu yang sukar bagi anak remaja. Prestasi pelajaran Edry pula terus menerus menurun, dia selalu habiskan masa dia dengan bermain takpun menonton di biliknya." terang Datin Seri Diana yang kelihatan hampa.
"Baik datin. Saya akan berusaha untuk membuat dia kembali belajar. Saya yakin, prestasi Edry pasti akan meningkat."
"Bagus. Baiklah, kita akan tengok keputusan ujian penggal dia bulan Jun ni nanti."
"Maksudnya... 5 bulan dari sekaranglah?"
"Hmm... Ya... Eh.. Tunggu sebentar ya, Erina? Saya panggilkan Edry dulu." Aku mengangguk.
Datin Seri Diana naik ke tingkat atas. Tak lama kemudian, Datin Seri Diana turun bersama seorang anak lelakinya. Wajah anaknya itu agak kacak padaku. Tubuhnya tegap tapi sedikit kurus dan agak tinggi untuk remaja seusianya, bahkan dia lebih tinggi dariku. Tapi mukanya masam apabila melihat aku yang duduk di hadapannya, dari wajahnya memang menampakkan dia seorang yang bermasalah. Aku pula merasa gugup.
"Edry... Cepat, salam Kak Erina! Start hari ni dia yang akan jadi personal tutor kamu!"
Berpeluh rasa tubuhku apabila ibunya menyuruhku bersalam, aku sendiri tak pernah lagi sentuh tangan mana-mana lelaki sebelum ini. Edry masih lagi terdiam kaku tanpa sebarang reaksi.
"Edry....." Edry acuh tak acuh menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku.
Aku kuatkan semangat untuk menyambut tangannya untuk bersalam.
"Saya Kak Erina..." sebaik sahaja tangan kami bersentuhan.
Aku berusaha untuk senyum sambil membalas tangannya.
"Baiklah, bawa Kakak Erina ke bilik kamu dan belajar!" perintah Datin Seri Diana, yang hanya dijawab oleh keluhan dari Edry.
Aku tersenyum dan mengikut Edry ke biliknya.
Sejak hari itu, aku mula mengajar Edry sebagai guru peribadinya.
YOU ARE READING
Siti Airina
Short StoryMengisahkan seorang pelajar universiti yang bekerja secara sambilan sebagai tutor kepada seorang pelajar bermasalah. p/s : Koleksi lama yang asalnya untuk syok sendiri.