"MAYA, sini."
Maya terdengar namanya dilaung seseorang. Oh, Tuhan. Itu Puan Rohaya. Emak kepada Juliana. Semestinya emak kepada Syakir Aliy juga. Maya tersenyum. Macam nak jumpa bakal mak mentua pula rasanya. Aduhai.
Maya bersalam dengan Puan Rohaya. Mereka saling berpelukan. Kedua belah pipi Maya juga menjadi mangsa ciuman Puan Rohaya.
"Lamanya mak cik tak jumpa Maya. Maya sihat?" tanya Puan Rohaya dengan ramah.
Kadang-kadang dia mengikut Juliana menghantar anaknya ke sekolah. Dari situlah dia mengenali Maya.
"Itulah. Mak cik pun lama tak datang taska. Maya sihat, mak cik. Mak cik apa khabar?"
"Macam nilah Maya. Ada masa sihat, ada masa sakit. Dah tua ni macam nilah Maya." Puan Rohaya memberitahu dengan senyuman manisnya.
Syakir Aliy pula masih diam. Entah apa yang difikirkannya.
Maya duduk di hadapan Puan Rohaya. Syakir Aliy yang sudah elok di sebelah emaknya bangun semula. Dia beralih duduk di sebelah Maya. Maya terkebil-kebil.
Ah sudah! Memang nampak macam sesi perjumpaan antara bakal menantu dan bakal mentua nampaknya ni!
"Kenapa duduk sini?" Maya bersuara perlahan. Tidak mahu Puan Rohaya mendengarnya.
"Biarlah."Syakir Aliy jawab selamba.
Maya ketap bibir.
"Kita makan dululah Maya ye. Rasanya lauk kita dah masak tu. Ucu, pergi tengokkan kat dalam. Along tu sibuk. Tak payahlah kacau dia." Puan Rohaya memberi arahan kepada anak lelakinya.
Syakir Aliy menurut tanpa bantahan.
SYAKIR ALIY mencedokkan lauk ke pinggan emaknya dan juga Maya. Puan Rohaya dan Juliana tersenyum saja.
Maya menjeling Syakir Aliy. Lelaki itu pula macam biasa. Buat tak nampak. Bukan sekali, tetapi berkali-kali Syakir Aliy mencedokkan lauk kepada Maya. Maya yang kekenyangan menjadi double kenyang dengan layanan Syakir Aliy.
Beruntunglah sesiapa yang menjadi kekasih dia ni. Walau muka macam harimau lapar, tapi sikap gentleman memang superb. Terbaik!
Sesudah semua selesai makan, Syakir Aliy masuk ke dapur dan membawa keluar sebiji besen. Pinggan kotor dikutip dan dimasukkan ke dalam besen.
Maya senang dengan sikap Syakir Aliy. Satu yang Maya pelajari tentang perangai lelaki itu, dia seorang yang jenis tidak bercakap banyak. Tetapi dia tahu apa yang dia lakukan dan apa yang patut dilakukan.
"Amboi. Tak berkelip tengok anak mak cik, ye."
"Uhuk! Uhuk!" Maya terbatuk apabila ditegur Puan Rohaya.
Alamak! Maya mencapai gelas minumannya dan diteguk perlahan. Puan Rohaya dan Juliana tersengih.
"Berkenan dah tu, mak. Eloklah tu. Nampak gayanya ucu tak bertepuk sebelah tangan." Juliana mengusik.
Syakir Aliy yang baru keluar dari bahagian dapur, kembali duduk di sebelah Maya.
"Kenapa? Bincang apa ni?" Syakir Aliy memandang emak dan kakaknya.
"Bincanglah apa-apa yang patut. Ucu nak tahu buat apa? Ini hal perempuan." Puan Rohaya pantas menjawab.
Syakir Aliy tarik muka kelat.
"Memandangkan ini semua hal perempuan kesayangan ucu, ucu pun berhak tahu jugak." Syakir Aliy mencungkil lagi.
"Wau. Perempuan kesayangan. Mak, dengarlah tu..." Juliana angkat-angkat kening.
YOU ARE READING
KAU RASMI MILIKKU
RomanceTajuk: KAU RASMI MILIKKU Penulis: AALIN AMILY Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-85-1 Buat kali pertama terpandangkan Maya di taska yang menempatkan anak buahnya, hati Syakir Aliy, terus mendesak mahu memiliki gadis tersebut. Namun, perkenalan me...