BAB 9

1.5K 32 0
                                    

UYIE yang masih menunggu di dalam kereta, menyorok apabila melihat Maya keluar bersama seorang lelaki dari dalam kedai makan Seafood House. Nampak mesra sungguh mereka dengan Juliana dan emak Juliana.

Selepas kereta yang dinaiki Maya pergi, Uyie bergegas keluar dari keretanya. Uyie tergesa-gesa masuk semula ke dalam Seafood House.

"Kak Ju..." Uyie memanggil Juliana.

"Ha. Kenapa Uyie? Ada barang tertinggal ke?" Juliana merapati Uyie.

Baru tadi Uyie keluar selepas membeli makanan di kedainya. Takkan bungkusan makanan tertinggal kot?

"Eh, taklah Kak Ju. Bukan macam tu. Saya ada benda nak tanyakan pada Kak Ju sebenarnya ni."

"Apa dia?"

"Siapa perempuan yang baru keluar dengan lelaki tadi tu ye? Yang naik kereta Honda warna putih tadi tu?" Uyie bertanya tanpa segan-silu.

"Oh. Yang lelaki tadi tu adik bongsu Kak Ju. Yang perempuan tu pulak kawan dia. Kenapa Uyie?" Juliana memberitahu jujur.

"Kak Ju kenal ke perempuan tu? Kalau tak silap, Maya nama dia kan?" Uyie menyogok dengan soalan lagi.

"Apa pula tak kenal. Dialah cikgu sekolah anak Kak Ju. Ha'ah. Betullah tu. Nama dia Maya. Kenapa Uyie tanya? Ada apa-apa masalah ke?"

"Hurm. Bukan masalah sangat pun. Cuma, itulah. Sebenarnya, saya pun kenal dengan Maya tu. Berkawan tapi tak rapat sangatlah. Perangai dia tu. Saya tak berkenan sangat." Uyie bercakap dengan nada perlahan.

Juliana pula makin rasa ingin tahu. "Kenapa Uyie kata macam tu? Maya tu buat benda tak baik ke?"

"Panjang cerita pasal dia tu Kak Ju."

"Mehlah kita duduk dulu. Mak akak ada kat sana. Jomlah." Juliana menarik tangan Uyie ke meja yang diduduki oleh Puan Rohaya.

Uyie pamer senyum. Umpan mengena!

"Mak. Ingat lagi tak? Ini Uyie. Dulu dia pernah kerja dengan along dekat kedai makan along yang dulu tu. Lama dia kerja dengan along. Hampir dua tahun jugak kan Uyie?" Juliana memperkenalkan Uyie dengan Puan Rohaya.

"A'ah. Hampir dua tahun." Uyie mengiakan, lalu menghulur tangan, bersalam dengan Puan Rohaya.

Sewaktu lepas habis persekolahan dulu, Uyie pernah berkerja di kedai makan Juliana. Mereka memang sudah lama mengenali satu sama lain. Uyie pula, walaupun sudah tidak bekerja lagi dengan Juliana, dia selalu juga berhubung dan berjumpa dengan Juliana.

"Oh. Mak lupalah along. Dah lama sangat dah tu. Jemput duduk Uyie." Puan Rohaya mempersilakan Uyie duduk.

Uyie laju saja menarik kerusi dan duduk di hadapan Puan Rohaya.

"Oh ya. Pasal tadi tu. Apa yang Uyie nak cerita pasal Maya tadi?" Juliana terus bertanya. Tak sabar.

Uyie pula bukan main seronoklah. Bersemangat mahu membuka cerita.

"Saya ni bukan nak bukak aib orang kak, mak cik. Tapi saya tak naklah bersubahat sama. Memandangkan tadi saya terserempak dengan Maya, nampak pulak dia dengan adik lelaki Kak Ju tu, jadi saya rasa dah menjadi tanggungjawab sayalah untuk selamatkan adik lelaki akak."

Juliana dan Puan Rohaya berpandangan. Tertanya-tanya.

"Apa maksud, Uyie?" Puan Rohaya bertanya kepada Uyie.

Apa yang Maya lakukan sebenarnya? Nak selamatkan anak lelakinya daripada apa?

"Maya tu mak cik. Nampak aje macam tu. Nampak baik, sopan. Tapi hakikatnya, dia tak macam tu, mak cik. Saya tahulah dia tu jenis yang macam mana. Saya dah kenal dia lama. Dari kecil lagi."

KAU RASMI MILIKKUWhere stories live. Discover now