Si Mata Jernih

2.2K 66 3
                                    

Dia sukakan ketenangan.

Dia tak sukakan perhatian.

Tapi nampaknya hari ini dia kena berdepan juga dengan satu-satunya perkara yang dia tak suka itu – perhatian. Sebabnya, sekarang ini dia baru saja melangkah masuk ke dalam bangunan pejabat sebelah. Kalau dia ada highlighter, dia nak highlight-kan perkataan 'bangunan pejabat sebelah' itu. Yalah, dia bukannya ada di bangunan pejabatnya sendiri tapi di bangunan pejabat sebelah!

Sebab yang kedua, di tangannya sekarang ini ada satu jambangan bunga yang sangat besar dan sangat menyerlah. Dia tak tahu ada berapa banyak kuntum bunga ros di dalam jambangan bunga ini. Dia cuma nampak ada empat kuntum bunga ros merah yang disusun di tengah-tengah, dan beberapa lagi kuntum bunga ros putih – mungkin sedozen, mungkin lebih – di sekeliling bunga ros merah itu.

Dan sebab yang ketiga, ruang lobi bangunan pejabat ini dah mula penuh dengan orang ramai. Mana taknya, sekarang dah pun masuk pukul 8.00 pagi. Mungkin semua orang yang lalu lalang itu baru saja sampai di pejabat atau mungkin juga baru keluar untuk bersarapan. Dan semestinya semua orang yang melalui ruang lobi akan menoleh untuk melihat dia yang baru beberapa saat melangkah melalui pintu masuk.

A stranger with a huge bouquet of flowers in her hands.

Asmaa membuat muka tenang dan terus berjalan ke arah kaunter penyambut tetamu. Gadis di kaunter penyambut tetamu itu tersenyum sebaik saja dia berdiri di depan kaunter. Tersenyum sebab jambangan bunga yang sangat menyerlah ini, nampaknya. Dia tak tahulah macam mana Kak Iman boleh mendapat idea untuk membeli jambangan bunga yang berjaya menarik perhatian ini untuk dijadikan sebagai hadiah.

Hadiah hari jadi, lebih tepat lagi.

"Ya, cik?" Gadis penyambut tetamu itu bertanya sopan.

"Saya nak jumpa dengan Mohd Zaid."

**********

Rutin hariannya setiap kali masuk ke pejabat – menghidupkan suis komputer, membalas emel, turun bersarapan, dan naik semula ke pejabat untuk memulakan kerjanya. Selalunya dia akan sampai di pejabat lebih kurang pukul 7.30 pagi, siap membalas emel semua dalam pukul 7.50 pagi, dan selepas itu dia akan turun ke kafe untuk bersarapan.

Masih lagi bergelar bujang pada umur tiga puluh lima tahun, memang patut pun dia selalu bersarapan di kafe. Dulu dia adalah juga geng untuk sama-sama turun bersarapan di kafe. Tapi sejak akhir-akhir ini – atau lebih tepat lagi, sejak kebanyakan kawan-kawan sepejabatnya dah berkahwin – dia turun bersarapan seorang sajalah. Kalau dia mengajak kawan-kawannya pun masing-masing selalunya dah siap bersarapan di rumah.

Untunglah.

Tinggal dia seorang saja yang selalu mengisi perutnya setiap pagi dengan makanan kafe.

Dia tahu dia tak boleh merungut pun dengan rutin hariannya. Kalau dia merungut, itu maknanya dia tak bersyukur. Dan kalau dia merungut, itu maknanya dia secara sukarela menadah telinganya untuk mendengar 'ceramah' tentang... kahwin. Lebih-lebih lagi kalau si tukang memberi 'ceramah' ialah mama yang tersayang dan si Jed yang dah berzaman menjadi kawan baiknya.

"Entah bila la mama boleh dapat menantu, Bard." – Mama

"Move on la, Bard. Kau ingat aku tak nak ke tengok kau happy?" – Jed

Sebenarnya, sebab utama dia masih bujang sampai sekarang bukanlah sebab Nia pun. Jed saja yang berfikir macam itu – kononnya dia masih kecewa teruk selepas berpisah dengan Nia tiga tahun lepas. Dan dia pula sengaja membiarkan Jed berfikir macam itu. Sekurang-kurangnya dia ada 'alasan' yang kukuh untuk terus menjadi bujang di mata kawan baiknya itu. Bukanlah dia betul-betul nak membujang sampai ke tua pun, cuma... mungkin jodohnya masih belum sampai?

Cerpen 2017Where stories live. Discover now