LAPAN

75 6 0
                                    

Alham tenang menanti di ruang tamu sebaik Hajar membawa Tanjung naik ke bilik. Sepanjang perjalanan tadi gadis itu menangis. Ikut panas hatinya, sudah diajar cukup-cukup Rifqi tadi. Namun bila dia mengenangkan keadaan Tanjung, dia tidak mahu menambah ketegangan yang sedia ada. Tapi dia tetap akan buat perhitungan dengan Rifqi nanti selepas apa yang berlaku pada gadis itu. Tanpa sedar penumbuknya dikepal sekuat hati.

"Alham."

Alham laju bingkas dari duduk.
"Tanjung macam mana?"

Hajar yang sedang menuruni tangga tidak terus menjawab. Sebaliknya dia melabuhkan duduk di sofa kosong depan lelaki itu membuatkan Alham turut kembali duduk.

"Terima kasih sebab tolong hantar Sari balik dengan selamat," ucap Hajar ikhlas.

Alham cuma melabuhkan senyum nipis. Dia ingat lagi macam mana reaksi teman serumah Tanjung itu bila melihat keadaan Tanjung yang basah kuyup sebaik tiba tadi.

"I tak sangka Rifqi sanggup buat dia sampai macam tu sekali. Kesian Tanjung..." luah Hajar perlahan.

"Semua ni salah I jugak Hajar. Kalau I tak kacau hidup kawan you tu, dia takkan jadi macam ni," balas Alham dicuit rasa bersalah.

"Kalau dia percayakan Sari, dia takkan buat keputusan melulu macam ni. Dia takkan goyah hanya sebab you. Sari yang I kenal, seorang yang setia Alham. Dia bukan senang-senang nak jatuh cinta. Sekali dia dah sayang, dia takkan senang nak lupakan macam tu aje."
Alham lorek senyum pahit. Terasa sukar untuk menghadam apa yang diluahkan gadis di depannya itu.

"Alham... I tahu you lelaki yang baik. Kali pertama I jumpa you, I dapat rasa you memang lelaki yang baik. Cuma cara you tu. Tak kena. Tapi I tak salahkan you dengan apa yang jadi sekarang ni. I percaya, apa yang jadi sekarang ni bersebab. Kalau bukan sebab you, kita takkan tahu yang Rifqi sanggup buat sampai macam ni sekali. Nasib baik belum kahwin. Kalau dah kahwin nanti, kalau ada salah faham macam ni, I percaya dia takkan teragak-agak akan lukakan Sari..." sambung Hajar lagi.

Alham kekal diam.

"Alham... Sari tu takde siapa-siapa dekat sini. Dia cuma ada seorang auntie lepas mak ayah dia meninggal dulu. Ada sorang abang pun, jauh dari sini. I tak tahu nak harapkan siapa lagi lepas ni kalau I dah kahwin nanti," lanjut Hajar diusik rasa risau bila mengenangkan keadaan sahabatnya yang murung selama seminggu itu gara-gara putus cinta. "Kalau betul you suka dia, I rasa jalan terbaik you jumpa auntie dia. Majlis tunang dia ada berapa hari aje lagi, Alham. I rasa, ni aje satu-satunya peluang you."

Alham berkerut. Gagal faham apa yang cuba disampaikan gadis itu. "Apa maksud you?"

"Sari seorang anak yang patuh, Alham. Dia sayangkan sangat auntie dia tu. Dia akan ikut semua permintaan auntie Daria. I rasa, auntie Daria pun tak tahu yang dia dengan Rifqi dah putus sekarang ni. Kalau tak, auntie Daria mesti dah cari dia dalam seminggu ni."

Alham hembus nafas panjang. Ada kerisauan menjelma dalam hatinya. Memang dia mahu jadikan Tanjung suri hatinya sampai hujung nyawa. Namun ada rasa gentar untuk dia bertemu dengan wanita bernama Daria yang dimaksudkan Hajar. Dia tak dapat bayangkan macam mana reaksi wanita itu nanti andai dia memberitahu untuk jadi pengganti Rifqi di majlis pertunangan yang bakal berlangsung dalam waktu terdekat itu.

"Alham... I tak paksa you. Tapi kalau you rasa, you tak nak Sari jauh dari you... Ini aje caranya yang you boleh terus dekat dengan dia. Pasal Sari, you jangan risau. I sendiri akan cuba pujuk dia..." kata Hajar lagi.

Sekali lagi Alham cuma melepaskan hela panjang.

Cik Siti Tanjung SariWhere stories live. Discover now