Suatu hari, 2014
Faisal memandang tepat pada Anis. Anis juga membalas pandangan. Anis tersenyum dulu. Faisal mengikut sama kemudian. Itulah antara gelagat mereka berdua di dalam gerabak komuter yang menghala ke Shah Alam. Anis akan berdiri menyandar di satu sudut di tepi pintu. Faisal pula akan berdiri menghadapnya. Adegan pandang-pandang senyum-senyum mesti berlaku setiap hari bekerja. Cuma hari minggu sahaja yang tak berlaku.
"Kenapa awak senyum?" Anis mengerling segan.
"Sebab awak senyum."
"Oo, kalau saya tak senyum, awak pun tak senyum?"
"Tapi saya tak nak jadi kedekut."
"Eh?"
"Sebab nanti saya tak boleh sedekah senyuman kat awak, macam ni."
Faisal melebarkan senyuman sehingga ke telinga dan menampakkan barisan gigi. Anis ketawa kecil. Mahu sahaja dia mencubit Faisal dek kenakalan lelaki di depannya. Tapi Anis tahu batas pergaulan. Faisal juga sebenarnya tidak selesa jika berdiri terlalu rapat.
Mereka baru berkenalan tapi mesranya ada. Mereka bukanlah apa yang dikatakan pasangan bercinta. Jauh sekali dari melafazkan I love you, sayang atau memuat naik gambar bersama ke laman sosial dengan #tilljannah tak tentu hala. Cukup sekadar bermonolog dalam hati masing-masing, 'Saya tahu awak suka saya dan saya suka awak juga'.
Tingkap gerabak komuter berkabut kelabu. Hujan di luar di kala petang. Hawa berbeza di luar dan dalam gerabak mengabutkan lagi tingkap. Di dalamnya penuh dengan warga kota yang ingin pulang ke sarang masing-masing. Penat seharian membanting tulang dan memerah otak di tempat mencari rezeki.
"Kredit saya dah habis pulak. Macam mana nak mesej ayah suruh ambik saya kat stesen? Benci la macam ni..." rungut Anis mencebik. Jelas baki RM0.02 tertera pada skrin telefon bimbitnya.
"Kalau bukan perangai awak yang selalu lupa beli topup siap-siap, saya tak jumpa awak tau," Faisal cuba memujuk. Senyuman yang menguntum dari tadi masih belum layu. Entah kenapa Faisal tersenyum lebar hari ni. Nak dikatakan baju Anis lencun sehingga kelihatan bayang pakaian dalam, gadis itu memakai baju kurung berkain tebal dan gelap warnanya.
"A'ah, kalau saya bukan jenis terlupa nak bayar topup pun, awak tak sungguh-sungguh cari saya, kan?" Anis membalas.
"Ye la. Bila dah terjumpa kat KL Sentral, boleh pula orang tu tak ngaku yang dia terlupa nak bayar topup."
"Mesti la tak ingat. Lama kot hari yang saya datang kedai dengan hari kita jumpa tu. Sampai awak dah berenti kerja kat situ dah," ujar Anis tidak mahu mengalah.
"Nasib baik saya ni jenis yang tak give up."
"Annoying tau bila ada orang tu minta nombor semata-mata nak tuntut RM10, okay?"
"Siapa suruh takde RM10 nak bayar masa tuh? Kan saya dah dapat nombor awak?" Gaya berdiri Faisal berubah kepada gaya berdiri sebelah kaki. Tangan dimasukkan ke dalam poket dan wajah dipalingkan sedikit lalu menayang lagak kacak. Gaya kemenangan dalam cakaran acah-acah mesra.
"Nasib baik dia hensem. Kalau tak, tak kuasa saya nak layan," Anis menggumam rajuk dibuat-buat. Mata dikalih ke tepat lain. Faisal masih mengekalkan pose hensemnya tadi. Cuma matanya mengintai Anis. Wajah itu begitu ayu, ditambah lagi dengan tudung yang dikenakannya.
"Nasib baik dia melayan, kalau tak, tak kuasa saya nak teman dia selalu balik rumah." Nada Faisal penuh sinis. Kalau Anis sedang PMS pastinya dia akan melenting dan menarik muka rajuk sampai kiamat. Perhubungan mereka yang sudah masuk lima bulan sedikit sebanyak membantu.
Anis sudah faham benar perangai Faisal yang kadang-kadang terlalu berterus terang. Nada sinisnya itu sebenarnya gurau dan usikan. Hati selembut sutera tentunya rabak kalau tak tahan disentap.
YOU ARE READING
PARCEL
Mystery / ThrillerSedikit teaser Novel pertama aku dengan FIXI. Aku open a few babs untuk korang baca. Kalau korang nak beli, ebook - https://www.e-sentral.com/book/info/125481/parcel Buku - https://fixi.com.my/produk/parcel Atau PM tepi kalau nak beli signed copy. ...