*11*

100 2 0
                                    

Pejabat Konsultan Majodah, Bangunan KL Sentral.

Anis membuka telefon bimbitnya semula dan membelek WhatsApp. Sejak sejam lepas, itulah yang dilakukannya berulang-ulang kali. Resah dan risau menguasai. Dia mengharapkan Faisal ada menghantar mesej sejak mereka bertegang urat. Mesej berbentuk pujukan dan pengakuan. Jika bab mempertahankan ego, Anis sangat yakin dia adalah nombor satu.

Mesej Faisal masih bertarikh dua hari lepas. Bahkan tarikh aktif terakhir juga pada tarikh yang sama. Anis mengeluh hampa. Biasanya kalau mereka bertengkar, pasti Faisal yang akan mengalah terlebih dahulu. Matanya merenung nama suaminya berbanding skrin monitor di depannya. Terlintas rasa yang dia tidak patut terus berkeras hati.

"Hoih! Menung macam ayam berak kapur tu apehal?" sergah Ida dari belakang sambil menyengih besar.

Anis menoleh dan mengurut-urut dada terkejut. Namun kemudian dia hanya merenung wajah Ida. Bila Ida melihat wajah Anis yang tidak ceria hari ini, Ida mematikan sengihan.

"Kau okey tak ni?" tanya Ida sambil menarik kerusi berdekatan untuk duduk. Terus kedua-dua tangan Anis dipegang erat. Tangan Anis masih memegang telefon bimbitnya. Wajah Anis benar-benar sugul. Di bawah matanya ada kesan lingkaran gelap, tanda tidak cukup tidur.

"Actually, Ida... aku sebenarnya risau pasal laki aku..." perlahan suara Anis meluah.

"Kau risau pasal apa?"

"Kitorang gaduh besar hari Sabtu lepas. Lepas tu laki aku sampai hari ni tak mesej aku..." jelas Anis jujur. Suaranya tertahan-tahan.

Ida menggeleng. Tangannya perlahan menepuk-nepuk bahu teman baiknya. "Biasalah laki bini gaduh. Tipulah kalau ada yang ngaku tak pernah gaduh langsung. Bila dah reda, korang bawak bincang la ye?" nasihat Ida secara umum.

"Aku tuduh dia curang sebab tengok gambar dia ngan satu perempuan ni kat Insta. Isteri mana tak jealous. Lepas tu dia send aku gambar yang aku makan dengan Fad itu hari." Anis menggumam hampir tidak didengari butir kata. Perkara yang berlaku dicerita.

"Laa... apasal kau tak bagitau laki kau? Kan aku dah pesan itu hari?" Genggaman pada tangan Anis dikuatkan. Anis tertunduk. Dia tahu dia yang bersalah sebenarnya tidak meminta izin. Apa yang Faisal kata tempoh hari ada benarnya. Dia boleh sahaja berhubung menggunakan e-mail. Paling tidak menghantar sahaja sebuah mesej. Sudah pasti Faisal dapat membacanya bila ada internet.

"Habis, laki aku boleh keluar dengan mana-mana perempuan la? Boleh makan sama-sama la? Takyah bagitau dengan aku?" Suara Anis tiba-tiba naik setingkat. Entah kenapa dia cukup sensitif sejak kebelakangan ini. Kesedihan kembali menyucuk hati.

"Anis... Anis... kau tau kan apa hak suami ke atas diri kau? Kau pergi kerja ni pun atas izin dia juga. Aku minta kau lembutkan hati kau. Jangan nak ego sangat. Pasal laki kau tu aku harap kau tengok dia dengan hati kau. Dia memang jenis curang ke?" soal Ida dengan lembut.

Anis mendiamkan diri. Tangannya masih belum dilepaskan. Ida memandang tepat pada muka Anis. Langsung tidak berkedip menunggu jawapan. Sejak berkahwin, tidak pula Anis melihat tanda-tanda sedemikian. Bahkan ketika cuti pun, Faisal lebih banyak duduk di rumah dari keluar berpeleseran sendirian.

"Tak."

"Jadi apa kau takut? Dia ada cakap siapa perempuan tu? Kawan je, kan?"

"Tapi cuba kau tengok Instagram laki aku. Kau ada, kan?"

Mendengar permintaan Anis, Ida mencebik lantas bangun ke mejanya dan kembali dengan telefon bimbit. Instagram dibuka lalu dicari akaun Faisal.

"Double meaning la caption dia tu..." Anis meluahkan rasa risau sambil menuding pada skrin Ida. Kelihatan gambar yang sama dilihat tempoh hari. Gambar Syaza dan suaminya di meja makan tersenyum riang. Ida merenung lama gambar itu sambil mengulang-ulang bacaan caption seperti orang berzikir. Kemudian dia diam sejenak.

PARCELWhere stories live. Discover now