"Nanti ada apa-apa mak beritahu je Noah." Noah titipkan pesan tak habis-habis.
"Yelah."
"Mak ingat tau, jaga makan minum. Kurangkan makan masin tu. Jaga kesihatan, jangan sibuk dengan ikan je."
"Yelah, yelah." Mak Ani sudah melangkah keluar. Selipar disarung ke kaki. Malas mendengar leteran anaknya. Lagi lama dia duduk di situ, makin bayak pula yang terpaksa dia tadah.
Aina simpan senyum. Seronok melihat telatah Mak Tok dengan Pakcik Noah. Benar kata papanya, Pakcik Noah memang lelaki yang baik. Kalau tidak masakan papanya mewasiatkan supaya dia mengikut Pakcik Noah.
"Kamu tu tahu pesan kat mak je. Kamu tu sama. Kerja, kerja jugak. Makan ikut masa, jangan sibuk kerja sampai makan pun lupa. Hari cuti tu jangan terperap duk rumah je, keluar carikan menantu untuk mak."
Noah senyum segarit. Segan pada Aina yang leka memerhati. Rambutnya diraup kasar ke belakang.
"Pasal menantu tu mak tak payah risau. Kalau dah sampai jodoh Noah, kahwin lah Noah." Noah paut bahu Mak Ani. Tubuh tua emaknya dipeluk
"Noah sayang mak."
"Yelah." Mak Ani tepuk belakang badan anaknya. Anaknya memang manja, walaupun dah tua bangka tapi Noah masih tak segan memeluknya di khalayak ramai.
"Aina tolong tengok-tengokkan mak tok ya. Kalau mak tok ni makan ikan masin banyak-banyak, Aina ambik sorok je."
Aina tersengih. Manakala Mak Ani sudah jegilkan mata.
"Aina jangan duk dengar cakap Noah ni. Kan rendah pulak darah mak tok bila tak jumpa ikan masin."
"Maaf ye mak sebab Noah tak boleh nak hantarkan mak balik."
"Tak apa mak okey je."
"Pak Husin bawak kereta tu hati-hati ya. Nanti dah sampai sana Pak Husin mesej saya ya." Pesan Noah pada pemandunya pula.
Pak Husin hanya mengangguk.
Mak Ani melangkah masuk ke dalam velfire hitam milik anaknya. Beg baju sudah diambil Pak Husin untuk diletak ke bonet belakang.
"Aina.." Noah memanggil Aina yang kelihatan ragu-ragu nak masuk ke dalam kereta.
"Ni untuk Aina." Noah hulurkan sampul yang sudah dia isikan duit belanja.
"Apa ni pakcik?" Sambut Aina seraya membelek isi dalam sampul coklat itu.
"Ehh.. Banyak ni pakcik." Aina sua semula sampul yang diberi Noah tadi.
"Takpe. Buat belanja Aina kat kampung nanti. Ingat pesan pakcik ni, jaga diri jangan tinggal solat. Jangan lupa sedekahkan doa untuk arwah mama dan papa. Insya Allah hati Aina akan lebih tenang."
Menitis air mata Aina mendengar pesanan Noah.
Noah hembus nafas perlahan.
"Dah lah tu. Aina kan kuat." Noah senyum nipis.
Aina kesat perlahan air matanya. Senyuman dia lorek untuk Noah.
"Terima kasih pakcik. Banyak Aina terhutang budi dengan pakcik. Tak dapat Aina nak balas."
"Shh.." Noah mendekat. Telunjuknya hampir mengena bibir Aina.
"Pakcik tolong ikhlas. Pakcik langsung tak harapkan apa-apa balasan dari Aina."
Melihat Aina yang hanya membisu, Noah alih pandangan. Wajah tua maknya dipandang.
"Hati-hati ya mak. Assalamualaikum."
Mak Ani menjawab salam anaknya perlahan. Aina pula bergerak masuk ke dalam velfire, duduk sebelah Mak Ani.
Noah melambai sebaik velfire hitam miliknya mula meluncur keluar dari perkarangan rumah.
"Allah.. Mudahkan urusan Aina. Lindungilah dia." Sempat dia lafazkan doa untuk Aina.
****
"Masuklah Aina. Buat macam rumah sendiri." Pelawa Mak Ani bila melihat Aina masih tercegat di depan tangga.
Aina liarkan mata. Rumah kampung yang berada dalam bayangannya jauh sekali berbeza dengan rumah kampung yang berada di depan matanya sekarang.
Dia ingatkan rumah papan yang biasa seperti dalam tv rupanya rumah kampung mak tok ni tersangatlah cantik. Nampak mewah dan klasik. Berwarna coklat gelap dihiasi tumbuhan hijau di sekeliling rumah itu menjadikan rumah itu bertambah menarik.
"Cantik sangat rumah mak tok. Nampak mewah." Puji Aina seraya mendaki tangga.
"Ni Noah lah punya kerja. Rumah mak tok dulu memang rumah biasa tapi si Noah tu ubah sampai nampak luar biasa." Cerita Mak Ani dengan senyuman meniti di bibirnya. Duduk dilabuhkan di atas kerusi kayu jati di depan televisyen. Remote tv dicapai dan butang berwarna merah ditekan. Matanya tertumpu pada tv yang sedang memaparkan berita.
"Duduk Aina. Alah tak payah nak malu-malu dengan mak tok. Mak tok bukan ada siapa-siapa pun. Noah tu sorang je buah hati mak tok."
"Hmm.. Mak tok tak sunyi ke tinggal sorang?"
"Sunyi sangat Aina. Tapi nak buat macam mana, Noah kena kerja. Suami mak tok pulak dah 15 tahun meninggal. Nak harapkan cucu.." Mak Ani gantungkan kata. Wajah Aina yang tekun mendengar ceritanya dipandang.
"Nasib baik ada Aina. Tak lah sunyi sangat mak tok." Sambungnya kemudian.
"Takpe mak tok jangan susah hati. Lepas ni Aina akan ceriakan hidup mak tok." Aina labuhkan duduk di sisi Mak Ani. Bibirnya menguntum senyum.
"Alhamdullilah. Tuhan hadirkan Aina untuk kami. Aina janganlah sedih-sedih ya. Doa je yang baik-baik untuk arwah."
"Insya Allah mak tok. Hmm.. Pak Husin tu memang tak singgah dulu ke?"
"Dia memang terus balik. Segan nak singgah, kan Mak tok ni janda, Pak Husin tu duda. Tak pasal kami kena cekup nanti. Terus Noah dapat ayah baru."
Aina ketawa. Ada saja cerita mak tok yang buatkan dia ketawa. Sedikit sebanyak dia dapat kurangkan perasaan sedihnya.
"Hmm.. Aina nak rehat ke? Pergilah masuk bilik tengah tu. Yang ada alas kaki pink tu. Yang tu bilik Aina." Beritahu Mak Ani sambil bibirnya dimuncung ke arah bilik yang dia maksudkan.
Aina angguk.
"Aina masuk dulu ya mak tok. Nak solat." Aina bangkit.
"Elokla tu. Kejap lagi mak tok pun nak masuk bilik. Dah tua-tua ni jalan sikit pun penat."
Aina terus atur langkah ke bilik yang dimaksudkan Mak Ani tadi.
Selepas menutup pintu bilik, dia henyakkan punggungnya ke atas tilam. Dinding yang tergantung gambar Noah dipandang satu persatu.
Kacak. Itu yang terlintas di fikirannya saat ini. Dari semalam lagi dia perasan lelaki itu langsung tak sesuai untuk dipanggil pakcik. Lelaki itu nampak jauh lebih muda dari arwah papanya. Nampak maskulin dan berkarisma. Mungkin sesuai dengan jawatan penting yang disandang lelaki itu.
Tersedar yang dia sudah jauh melamun, mukanya diraup kasar. Cepat dia bangkit dan mencapai beg pakaiannya yang ada di tepi pintu bilik. Tuala dan baju untuk disalin nanti diselongkar. Tetapi lain pula yang dia jumpa. Gambar arwah papa dan mamanya terjatuh ke lantai. Salah satu bingkai gambar yang terisi gambar mereka bertiga semasa raya tahun lepas pecah.
Terus Aina terduduk. Kaca yang berselerak itu hanya dipandang sepi. Matanya hanya tertumpu pada wajah-wajah insan kesayangannya di dalam gambar tersebut. Dadanya yang tiba-tiba terasa sebak, ditekup. Seolah menghalang rasa sesak dan sakit dari bersatu. Perlahan-lahan air matanya menitis.
"Mama.. Papa.. Aina rindu.." Tangisannya mula berlagu. Andai itu dapat meredakan rasa hatinya yang terlalu rindukan orang tuanya, dia sanggup menangis tanpa henti.
YOU ARE READING
Tan Sri Si Duda Hot Novel (Sudah Terbit)
RomanceEbook (bakal dibukukan) "Tolong, jagakan Aina untuk aku." Terikat dengan bicara itu buatkan Tan Sri Noah Anaqi terpaksa menjaga anak dara kawan baiknya. Aina Azzahra pula yang tiada tempat untuk bergantung selepas ibu bapanya meninggal dunia, menu...