P A N T A I

11 1 2
                                    

Untuk prompt The_Tens kali ni, yang bertajuk "Pantai" saya akan membuat penulisan tentang pengalaman saya pertama kali berkelah bersama keluarga di tepi pantai.

----------

Gambar dari Pinterest @build

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Gambar dari Pinterest @build.com

Sepanjang hidup saya, kali pertama saya melihat pantai, air laut dan merasai pasir pantai di kaki, merenangi air laut, adalah ketika berusia 13 tahun.

Ketika itu saya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang letaknya di tepi pantai.

Ingatan saya hanya samar-samar tentang kenangan kali pertama itu. Tapi, apa yang saya ingat pada masa itu, belum ada pengharaman ketat tentang undang-undang melarang murid-murid di sekolah itu untuk bermain-main dan bermandi-manda di pantai. Tapi, sudah tentulah tidak boleh sesuka hati. Mungkin jika ada pelepasan dari pihak warden untuk aktiviti riadah sahaja barulah boleh. Kalau difikirkan kembali, membenarkan murid-murid bermandi-manda di pantai bukanlah satu cadangan yang baik kerana banyak aspek perlu di ambil perhatian terutamanya aspek keselamatan.

Apapun, detik itulah yang menjadi detik pertama kali saya melihat pantai dan air laut buat pertama kali di depan mata saya. Siapa yang dapat menafikan, pantai sangat indah.

Pada penghujung sesi persekolahan pada tahun itu, iaitu ketika cuti akhir tahun 2009, saya bersama-sama keluarga saya bercadang untuk berkelah di tepi pantai. Kami bertolak kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kereta ke pantai yang letaknya kira-kira 5 kilometer sahaja dari rumah kami.

Kami membawa barang kelengkapan berkelah seperti tikar, pakaian gantian, makanan dan minuman. Saya masih ingat perasaan teruja saya pertama kali berkelah dengan keluarga di pantai.

Sejujurnya, sepanjang hidup saya, kami sekeluarga jarang keluar bersama-sama bersiar-siar apatah lagi melancong.

Hal ini demikian, kerana ayah saya bekerja sebagai kerani di Jabatan Ketua Menteri dengan jam bekerja 40 jam seminggu (8 jam sehari), iaitu 5 hari seminggu. Pejabat ayah saya pula terletak jauh dari rumah kami dan setiap pagi, ayah akan bertolak dari rumah seawal 5:30 pagi dan akan sampai ke rumah pada jam 8 malam.
Pada hujung minggu pula, ayah akan meluangkan masa di rumah dan meluangkan masa santai di pekan, masa itu digunakan oleh ayah untuk membeli surat khabar, berjumpa dengan kawan-kawan, atau membeli barang keperluan rumah. Saya masih ingat setiap hari ahad, ayah akan pulang dari pekan membawakan jajan atau makanan ringan untuk kami adik-beradik. Kami berasa sangat seronok dan riang mendapat buah tangan dari ayah.

Oleh sebab itu, kami sekeluarga tidak mempunyai masa terluang untuk pergi bercuti ataupun melancong. Justeru, pengalaman pertama kali pergi berkelah bersama keluarga ini menjadi pengalaman yamg samgat bermakna buat saya walaupun jarak antara lokasi perkelahan kami tidaklah jauh mana. Jarak tidak penting, yang paling penting adalah masa gembira yang diluangkan bersama keluarga tercinta.

***
Cuaca pada hari itu agak baik, sesampainya kami di pantai, kami terus menerjah ke laut membuktikan betapa seronoknya kami dapat pergi ke pantai. Ibu mengingatkan kami agar tidak pergi terlalu jauh dari persisiran pantai kerana risaukan keselamatan kami. Sementara itu, ibu menjaga adik bongsu kami kerana dia masih kecil ketika itu.

Kami bermain, bermandi-manda, membina istana pasir yang tidak jadi, mengubur separuh badan di dalam pasir dan macam-macam lagi aktiviti kami lakukan. Kenangan ini sejujurnya sudah samar dalam ingatan saya kerana sudah hampir 11 tahun berlalu.

Apa yang membuatkan saya ingat dengan pengalaman ini adalah, pada ketika ini, saya dan adik lelaki saya masing-masing selalu menulis diari setiap hari bersama-sama dan mengkongsikan diari masing-masing selepas habis menulisnya. Pengalaman berkelah bersama keluarga ini juga sempat saya tuliskan di dalam diari kami. Itulah yang membuatkan saya masih ingat pengalaman ini. Walaupun, buku diari itu saya sudah tidak tahu pergi ke mana, saya yakin saya pasti akan ketawa terbahak jika membacanya semula.

Setelah jam sudah menganjak ke waktu tengah hari, kami pun mandi dan mengganti pakaian bersedia untuk menikmati makan tengah hari bersama-sama di tepi pantai. Kami sungguh penat bermain, perut pun mulai terasa lapar. Saya masih ingat menu makan tengahari pada hari itu adalah kegemaran saya, ringkas, tapi menjadi kegemaran. Nasi putih dan telur dadar.

Sekitar jam 2 petang, kami sekeluarga pun bertolak pulang ke rumah. Saya masih ingat lagi pada hari itu, jam 3 petang bakal ditayangkan Movie Doraemon: Dunia Kucing dan Anjing (2004), kami enam beradik menontonnya bersama-sama.

Hari itu berlalu dengan aman dan gembira. Saya sangat gembira jika mengingati kembali detik manis berkelah di tepi pantai bersama keluarga. Saya berharap suatu hari nanti saya dapat mengulangi detik manis itu lagi. Saat-saat paling bahagia adalah ketika berada di samping keluarga. Saya sayang keluarga saya!


738 pp

--------

Hai, bagaimana dengan penulisan saya kali ini? saya bercadang untuk membuat penulisan atau karangan berbentuk keperihalan/pengalaman, jadi inilah dia.

Saya harap kalian suka dan terima kasih sudi membaca!

- 12 May 2020, 7.23ptg, Kuala Lumpur

Genre ChallengeWhere stories live. Discover now