Bab 1

788 49 2
                                    

Hari pertama masuk bekerja di syarikat yang baru diambil alih itu, Adam cuma meminta fail maklumat staf mengikut jawatan dan bidang kerja masing-masing. Bila ada perkara yang membuat dia tertanya, dia akan menelefon ketua bahagian sumber manusia untuk meminta penjelasan.

Beberapa kali juga ketua bahagian HR itu menawarkan diri untuk naik ke biliknya dan menerangkan satu persatu tentang perjalanan kerja semua staf di situ, tapi Adam menolak.

Untuk beberapa hari pertama, dia mahu menganalisis dengan fikiran yang kosong dari input staf di dalam syarikat itu. Dia tidak mahu gangguan yang boleh membuatkan penilaiannya tentang syarikat itu nanti berat sebelah.

Selesai meneliti fail staf yang entah keberapa, Adam menyandarkan tubuh ke kerusi. Direnung lama pemandangan luar yang memperlihatkan laut luas dan jambatan yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar.

Bunyi ketukan di pintu mengalih perhatiannya.

"Masuk." Dikuatkan sedikit suara supaya dapat didengari oleh orang di luar sana.

"Tuan."

Adam menahan diri dari menunjukkan sebarang riak jengkel di wajah. Sekretari nan seorang ini benar-benar mencabar kesabaran. Daripada pagi hingga sekarang, ada saja alasan mahu masuk ke dalam pejabatnya.

"Saya bawakan kopi. Dah dua jam tuan teliti semua fail tu, mesti dah mengantuk."

"No, th –" Baru hendak menolak bila teringat rasa kopi pahit tak berasa pagi tadi, deria bau Adam tiba-tiba menangkap aroma yang berbeza. Kopi yang dibawa Yana kali ini baunya lebih mengasyikkan.

"Siapa bancuh kopi ni?" Terus dia menyoal bila cawan kopi itu diletakkan di hadapannya.

"Sayalah tuan. Mana ada orang lain lagi yang kerjanya buatkan kopi untuk bos."

"I'm not your boss." Laju Adam membidas. Tajam mata menikam wajah si sekretari yang baru menipu dengan muka semanis gula. Lama dia merenung sehingga wanita itu gugup. Senyuman di bibir pun berubah kiat.

"Tapi tuan kan diberi kuasa untuk datang restructure semula company ni. Bukan macam tu?"

Adam diam. Tidak berminat mahu menjelaskan untuk kali kedua tentang dia cuma datang untuk membuat penilaian menyeluruh sebelum memberi cadangan penambahbaikan kepada atasannya.

Dia mencicip sedikit kopi yang baru dihantar itu. Terus terpejam mata menikmati rasa pekat dan manis yang bercampur elok, menghasilkan satu rasa segar. Mengejutkan terus fikiran yang tadi hampir tepu menghadap kerja yang sama.

"Did you make this?" Sekali lagi dia menyoal. Kali ini untuk mendapatkan jawapan yang betul. Dia tahu sebentar tadi Yana menipu. Jelas-jelas rasa kopi yang baru datang ini berbeza daripada pagi tadi.

"Err ... kenapa? Tak sedap macam yang pagi tadi ke?"

Sekali lagi diam. Adam mahu Yana membuat kesimpulan sendiri. Seperti yang dijangka, sekejap saja wanita itu sudah gelabah.

"Kopi tak sedap ni bukan saya yang buat. Yang ini, Nurani bancuh. Dia beria nak bancuh untuk bos baru walaupun saya dah cakap tak payah."

"Siapa Nurani? Tealady?" Berbasa-basi Adam menyoal sambil menarik fail yang berada paling atas.

Walaupun nama itu membuatkan dia teringatkan diri sendiri, pantas dia membuang semua rasa itu ke tepi. Apa yang ada pada nama? Itu semua cuma kebetulan.

"Nurani, staf tak siuman yang kerja dekat bahagian arkib."

Tangan Adam yang baru hendak menyelak fail terhenti. Sebelah kening terjongket memandang si sekretari.

"Syarikat ni ambil pesakit mental sebagai pekerja?" Kalau begitulah cara syarikat itu beroperasi, tak hairanlah mengapa sekretari yang sedang berdiri di hadapannya ketika itu pun seperti ada skru tercabut di dalam kepala.

"Dia bukan mental. Dia cuma ...." Yana menarik muka jengkel sebelum memusingkan hujung telunjuk membentuk bulatan di tepi kepala.

"Out." Tak berminat mahu melayan, Adam menyuruh Yana keluar. Belum sempat sekretari itu menutup pintu, sempat dia memberi satu arahan baru.

"Beritahu Nurani, saya nak dia bancuhkan kopi saya setiap hari." Adam tidak tahu siapa Nurani. Juga tak berminat hendak tahu kalau benar Nurani punya masalah mental.

Adam cuma tahu satu perkara.

Dia sukakan kopi yangdibancuh Nurani.

Hati Nurani (eBOOK)Where stories live. Discover now