Semalaman berjaga kerana demam pun tidak menghalang Aswad untuk bangun awal dan bersidai di balkoni biliknya. Dari situ dia dapat melihat bahagian depan rumah Kamilia melalui celah rimbunan daun pokok.
Jam 8.30 dia lihat Pak Jamil sudah meletakkan kereta di depan pintu dan memasukkan beg pakaian Kamilia ke dalam bonet. Tidak lama kemudian, Saiful pula keluar membawa beg yang sedikit kecil saiznya. Dua beranak itu kemudiannya masuk semula ke dalam rumah.
Jam 9, baru kelihatan kelibat Kamilia keluar dari rumah. Mungkin baru hendak bergerak pergi ke stesen bas.
Ketika itu juga Aswad menghantar mesej kepada Kamilia.
+ Look at me
Dia tahu Kamilia tidak terus membuka mesej itu. Gadis itu cuma memandang kosong skrin telefon. Lama kemudian baru ibu jarinya bergerak membuka pesanan daripada Aswad.
Sesaat.
Dua saat.
Kamilia menoleh ke arah balkoni bilik Aswad.
Pandangan mereka bertemu dalam detik waktu yang sama. Walau jauh, tetap dapat mereka lihat sayu yang bermain di mata masing-masing.
Tanpa beralih pandang, Aswad menekan butang membuat panggilan dan melekapkan telefon ke telinga. Dua kali dering, talian bersambung.
"You're leaving me."
Diam.
Dari jauh Aswad lihat Kamilia mengesat mata dengan belakang jemari.
"Kenapa awak nampak lebih kuat daripada saya?" Aswad tidak faham. Mengapa Kamilia nampak biasa? Adakah kerana kasih Kamilia untuknya tidak setara dengan cinta Aswad untuk gadis itu?
"Sebab saya reda."
Aswad mendengus. Semudah itu saja? Hanya dengan reda, semua sakit akan berkurang?
"Berhenti merintih dan menyesali takdir, Aswad. Saya tak mahu tengok awak rosakkan hidup sendiri."
"Awak pun dah nak pergi. Tak perlu lagi peduli apa yang saya buat dengan hidup saya."
Kamilia mengeluh. Dia mengerling pintu rumah. Bimbang juga kalau emak atau ayahnya tiba-tiba muncul.
Lama dia diam mencari ayat terbaik untuk membuat Aswad sedar dari lena.
"Awak cakap awak sayang saya, kan?"
Tak perlu disuarakan pun Kamilia tahu Aswad menjawab soalan itu di dalam hati. Pasti tidak berbeza dengan apa yang sudah sedia diketahui.
Terlalu sayang.
Jawapan itu cuma bergema di dalam dada. Aswad tidak lagi mahu mengulang ucapan terakhirnya pada si gadis di dalam hujan yang menyaksikan dia menangisi pengakhiran kisah cintanya.
"Kalau betul awak sayang saya, awak takkan kecewakan saya. Awak akan berusaha untuk jadi seorang lelaki yang boleh buat saya rasa bangga setiap kali saya bercerita tentang cinta pertama saya."
Aswad menelan liur. Bijak Kamilia mencipta ayat pujukan untuk menghalau pergi segala rasa sakit dan benci dengan apa yang sedang terjadi dalam hidupnya.
"Jadi macam saya, Aswad. Saya tak tunjuk pada dunia yang hati saya sedang terluka teruk. Saya diam, saya terima, dan saya berdoa minta diberi ganti yang lebih baik untuk segala apa yang saya rasa hari ini."
"Apa yang awak doakan untuk saya?"
"Saya doakan awak jumpa ketenangan yang awak cari." Dan semoga awak bahagia dengan si dia. Tak mampu hendak Kamilia sambung ayat keduanya. Dia tak mahu Aswad kembali tenggelam dalam duka ciptaan keluarga sendiri.
"Kalau kita bertembung lagi satu hari nanti, adakah awak masih akan mengelak daripada saya?" Dari balkoni biliknya pun Aswad dapat melihat senyum yang berbuah di bibir Kamilia apabila mendengar soalannya itu.
"Tak. Saya takkan takut berhadapan dengan awak. Kita akan sama-sama berbual dan ketawa tentang semua ni."
Bibir Aswad bergerak membentuk senyum tipis. Besarnya angan dan jiwa Kamilia. Masih lagi mampu membayangkan yang indah bersama Aswad walaupun mereka tidak lagi berpijak di atas haluan yang sama.
"Kenang dan simpan saya dalam hati awak, Kamilia." Aswad menurunkan telefon dari telinganya. Terus jari menekan butang untuk memutuskan talian.
"Sama seperti saya akan simpan awak dalam hati saya, sampai bila-bila." Kata akhirnya ditutur hanya untuk diri sendiri. Dari jauh Aswad menatap sendu Kamilia yang masih terpaku memandangnya dengan telefon melekap di telinga.
Setapak Aswad bergerak ke belakang sebelum berpaling dan masuk ke dalam bilik. Kali ini benar-benar tamat.
Dia tidak akan berpaling lagi.
.
.
Bawalah cintaku bersama
Tinggalkan hatiku padanya
Cintaku hanya kamu.
.
Walau hatimu tidak denganku
Walau takdir kita tak bersama
Janji kamu bahagia.
YOU ARE READING
Pernah Ada (✔)
Short StoryKerana pernah ada cinta, benci dan rindu, ini semua terjadi... Author's Note : Setiap update pendek2 saja isinya. Harap maklum.