Sepanjang minggu Kamilia tidak lena tidur. Makannya pun perlu dipaksa untuk menambah tenaga. Apa saja kerja serba tidak kena memikirkan Aswad yang masih tidak sedarkan diri di hospital.
Baru hendak balik melawat di hujung minggu, Cik Mah menghalang. Aswad masih tidak sedar. Tidak ada apa yang dapat dilakukan kalau Kamilia menziarah.
Maka bertambahlah penyeksaan Kamilia menanti hujung minggu yang seterusnya. Hari Selasa dia mendapat berita tentang Aswad sudah sedar, tapi kelas dan kuliahnya tidak dapat ditinggalkan begitu saja. Petang Jumaat baru Kamilia dapat bertolak balik. Sampai malam dan pagi Sabtu dia sudah tercegat di depan hospital bersama Saiful.
"Saiful tahu kat mana wad Abang Aswad?"
"Tahu." Beria Saiful mengangguk. Sudah dua kali dia datang menziarah sejak Aswad sedar.
"Waktu-waktu macam ni, siapa yang teman Abang Aswad?"
"Selalunya Auntie Mona."
"Saiful ...." Kamilia mengerling manja si adik. "Kan mak dah pesan, jangan panggil Puan Mona macam tu. Dia tu bos mak dengan ayah."
"Auntie Mona yang suruh Saiful panggil dia macam tu." Tercebik bibir Saiful mempertahankan diri. Banyak kali sudah ditegur, tapi dia jadi serba salah bila Puan Mona sentiasa menegur cara panggilannya.
Kamilia tidak lagi menekan. Apalah sangat yang dapat difahami kanak-kanak sebaya Saiful. Digosok kepala adiknya beberapa kali sebelum menarik bahu Saiful untuk masuk ke dalam.
Sampai ke tingkat yang menempatkan bilik rawatan Aswad, mereka bertembung dengan Puan Mona di luar lif. Mungkin menunggu untuk turun ke bawah.
"Puan."
"Kamilia!"
Terkejip-kejip Kamilia apabila tubuhnya tiba-tiba dipeluk Puan Mona.
"Auntie ingat Kamilia dah tak mahu jumpa Aswad." Puan Mona kesat tubir mata yang terasa lembap.
"Kenapa pula saya taknak melawat Encik Aswad?" Walaupun tidak faham mengapa Puan Mona berkata begitu, Kamilia teruskan juga dengan luaran bodoh alangnya.
"Auntie tahu..." Puan Mona merenung sayu wajah Kamilia. Kedua belah bahu anak pembantu rumahnya itu dipegang.
"Disebabkan auntie tahu tapi masih biarkan semua ni terjadi, auntie minta maaf. Auntie rasa bersalah dengan Kamilia dan Aswad."
Mata Kamilia membulat besar sebelum dilarikan pandangan ke arah lain. Puan Mona tahu? Tahu apa? Tentang hubungannya dengan Aswad?
"Err ... kami masuk dulu Puan. Dah janji dengan mak nak balik sebelum tengahari." Cepat-cepat dia menjauhkan diri dari sentuhan ibu Aswad. Saiful yang dari tadi termangu melihat mereka berdua ditarik sama menjauh.
"Auntie nak turun kafe kejap."
Kamilia mengangguk dan berlalu pergi. Cepat-cepat mahu melawat Aswad dan tinggalkan hospital itu. Takut kalau-kalau ada orang lain pula muncul. Kalau Tuan Ghazali, dia masih boleh gigih bertahan. Tapi kalau cik tunang, Kamilia rasa hatinya tidak akan mampu bertahan.
Bilik di hospital itu nampak lebih selesa daripada jangkaan Kamilia. Ada sofa, TV dan katil untuk ahli keluarga yang menemankan pesakit. Ya, pastilah. Kalau mampu, mengapa mahu bersesak di hospital kerajaan yang padat dan tidak punya kemudahan begitu.
"Abang Aswad!" Saiful terlebih dulu meluru ke dalam. Tinggal Kamilia kaku di depan pintu. Tidak tahu bagaimana mahu memunculkan diri.
"Hai Saiful. Datang dengan siapa?"
Terdengar suara lelaki yang sudah berbulan tidak ditemui. Kamilia menyentuh dada. Memeriksa degupan jantung yang terasa seperti mahu melompat keluar.
YOU ARE READING
Pernah Ada (✔)
Short StoryKerana pernah ada cinta, benci dan rindu, ini semua terjadi... Author's Note : Setiap update pendek2 saja isinya. Harap maklum.