_______________________________________
"Semua boleh berehat!" Satu laungan arahan disampaikan. Kesemua tentera yang berada di kumpulan itu mula memasang khemah.
Tatkala semua sibuk menjalankan tugas, sepasang mata melilau mencari kelibat remaja yang dikenalinya. Namun, dia tetap berhati-hati agar tidak ditengking ketua unit kumpulan itu.
Lama mencari, Theo pasrah. Tangannya sambung membantu ahli kumpulannya memasang khemah. Di sebalik penyamaran yang hampir sempurna, dia menyamar sebagai salah seorang tentera.
Seusai sahaja memasang khemah, Theo meneruskan misinya mencari Luca. Setiap langkahnya dibuat dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan rasa curiga kepada tentera yang lain.
"Luca!" Satu panggilan menarik perhatian Sang Putera. Kepala ditoleh ke tepi. Kelibat dua orang tentera sedang berbual dipandang. Beberapa minit dia sekadar memerhati, dia akhirnya menjumpai sahabat sehidup sematinya.
Sepasang kaki menapak laju ke arah jejaka berambut hitam yang sedang berbual. Tanpa sebarang arahan, tubuh Luca dipeluk erat, mengejutkan jejaka itu dan rakannya.
"Luca...."
"Hoi, tak ada adab ke?" tegas rakan Luca. Luca menunjuk isyarat tapak tangan. Dia meneliti seketika gerangan yang memeluknya. Kemudian, barulah dia meminta diri.
"Aku balik khemah sekejap. Apa-apa hal nanti aku beritahu kau," maklum jejaka berambut hitam. Wajah rakannya yang beriak tidak puas hati terpaksa diendahkan.
Lengan gerangan yang masih dia tidak pasti identitinya ditarik ke arah pokok yang berdekatan. Tidak lupa juga, dia membawa obor kecil untuk memastikan identiti gerangan itu.
"Kau siapa?" Luca menyoal. Theo menarik keluar sepucuk surat daripada poket seluarnya. Nama Luca yang tertulis di sampul surat ditunjukkan pada sahabatnya.
"Ini... surat untuk abang. Kau... Theo ke?"
"Aku datang, Luca." Senyuman lebar terukir di bibir. Namun, reaksi Luca berbeza dengan apa yang diharapkan. Wajah pemuda berambut hitam itu berkeriut seribu malah penuh kerisauan. Setiap inci tubuh Theo diperiksanya.
"Oi, oi Luca. Ni akulah."
"Theo, apa kau buat dekat sini? Esok hari peperangan, tahu tak?" Suara Luca berubah tegas. Riak wajahnya berbeza dengan apa yang ada di dalam memori Sang Putera. Luca yang sekarang lebih tegas berbanding dahulu.
Theo terkulat-kulat menjawab. Renungan tajam Luca sedikit sebanyak menyeramkannya.
"Aku tahu. Sebab nak berperanglah, aku datang ke sini," balas Theo perlahan. Luca tepuk dahi kuat. Dia bercekak pinggang sambil melepaskan keluhan berat.
"Theo, kau fikir perang ni main-main macam apa yang kita buat dulu ke? Medan perang ni antara tempat paling mengerikan. Apa yang kau fikir sebenarnya? Kau tak fikirkan keselamatan kau ke? Abang tak halang kau? Tuanku Alanark tahu tak?" Bertalu-talu soalan yang dilontarkan oleh Luca sehinggakan putera itu pening untuk menjawab.
"Aku datang sini sebab nak cari kau. Kau tinggalkan aku tiba-tiba selepas majlis tu. Dan sekarang ni, kau marah aku?" Berang dengan reaksi Luca, Theo turut naik angin.
"Hah? Aku marah sebab kau pilih masa yang tak betul. Apa aku nak buat kalau kau tercedera dalam medan perang tanpa siapa tahu ini kau? Orang pertama yang akan dipersoalkan ialah ketua unit tentera dan kemudiannya aku."
"Jadi, apa aku nak buat kalau kau terkorban dalam medan perang? Kau nak aku buat tak tahu je tanpa tolong lindungi kau?" Theo menolak kasar bahu Luca. Perasaan marah berbaur kecewa bertenggek di dalam hati.
Luca hilang kata. Baginya sekarang ini, Theo gila. Kalaulah Theo tak carinya malam ini, mungkin dia sendiri tak tahu bahawa gerangan di hadapannya itu ialah Theo yang menyamar menjadi orang lain.
"Baiklah. Aku faham yang kau risaukan aku. Tapi kenapa kau tak fikir fasal diri kau? Aku tentera yang terlatih, Theo. Kau bukan. Kau tak terlibat dalam sebarang kem latihan tentera pun," bidas Luca. Theo lantas mendengus.
"Aku takkan datang sini tanpa persediaan. Aku dah berlatih dengan Olivia."
Mata Luca membulat tatkala nama Olivia dipetik. Dia terlalu kenal gadis itu sehinggakan dia terkejut dengan tindakan ketua unit tentera itu untuk mengajar seorang putera tunggal teknik berlawan di dalam peperangan.
"Kau minta Cik Olivia ajar? Olivia tak akan pernah ajar sesiapa yang bukan tentera teknik berlawan dalam peperangan."
"Tapi dia ajar aku."
"Urgh, Theo. Aku tak faham apa kau fikir. Aku tahu dah lama kita terpisah, tapi sekarang bukan masa yang tepat. Kau patut tunggu aku balik dari medan perang sebab aku takkan sia-siakan nyawa aku di sini," keluh Luca. Rambutnya dikuak ke belakang.
Theo diam. Dia tak mahu membalas apa-apa. Fikirnya, dia ingin berjumpa Luca dengan perasaan gembira. Namun, lain pula yang jadi. Mereka umpama sedang bergaduh.
"Haih Theo. Malam ni ada pemeriksaan terakhir untuk kesemua tentera dan siapa yang tak sihat akan dihantar pulang. Aku nak kau ikut kumpulan itu pulang ke istana semula," arah Luca tegas, menyentakkan Theo.
"Kau nak aku balik, Luca?"
"Aku tak nak kau bahayakan nyawa kau di medan perang. Tugas kau bukan sebagai tentera Theo. Kau patut jadi macam Tuanku Alanark, dan bukannya aku."
Panas, wajah Theo disebalik penyamaran memerah. Dia pantang mendengar orang menyuruhnya untuk jadi seperti Raja Alanark. Ahli keluarga yang tidak disukainya, mustahil dia akan jadi seperti itu.
"Luca, kau buat pilihan. Benarkan aku ikut kau, ataupun kau nampak aku mati dekat sini juga?" Theo mengugut kasar. Meskipun tidak cukup jelas untuk Luca, namun dia tetap berjaya menakutkan lelaki itu.
"Apa kau nak buat Theo?"
"Itu rahsia. Tapi kalau kau masih suruh aku balik, kau akan nampak mayat aku esok," balas Theo dingin.
Sekali lagi, lelaki berambut hitam kehilangan kata. Apa yang dirancang Theo, dia tak tahu. Apa yang dia tahu, Theo tak pernah mungkiri kata-katanya untuk tidak jadi seperti Raja Alanark.
Pasrah, Luca melepaskan keluhan berat. Hanya satu pilihan yang boleh dibuatnya.
"Kau pasti Olivia ajar kau teknik berlawan pedang yang betul?" soal Luca. Theo mengangguk yakin.
"Baiklah. Aku benarkan kau ikut. Tetapi dengan syarat, kau akan berjaga di barisan belakang. Kalau tak, aku takkan benarkan kau ikut."
Theo tersenyum. Bahu Luca dipukul sekali seperti gaya sahabat.
"Terima kasih, Luca."
"Abang tahu tak kau ada di sini? Raja Alanark?" Luca menyoal sambil mereka berdua bergerak pulang ke khemah masing-masing. Theo membalas dengan gelengan.
"Aku akan tulis surat pada abang fasal keberadaan kau di sini. Tapi aku takkan beritahu Raja Alanark. Dan ada satu perkara kau perlu janji dengan aku, Theo Alanark."
Luca berdiri bertentangan dengan putera itu. Bahu Theo dipegang erat. Nafas ditarik dalam buat seketika.
"Kau mesti pulang ke istana dalam keadaan bernyawa," ujar Luca tegas. Theo tersenyum sinis. Dia turut memaut bahu sahabatnya.
"Aku janji. Dan kau pun mesti janji perkara yang sama."
"Urm. Aku janji."
Setelah termaterainya janji itu, barulah kedua-duanya pulang ke khemah masing untuk mendapat rehat yang cukup kerana esoklah harinya di mana pertumpahan darah akan berlaku.
TBC
YOU ARE READING
UTOPIA
القصة القصيرة『 Short Stories Collection 』 Utopia. Satu lagenda yang sering diimpikan. Dikenali sebagai sebuah dunia ataupun kerajaan yang penuh dengan kebahagiaan, masing-masing berebut untuk ke situ. Meredah pukulan ombak kuat, terus berjalan tanpa mengenal ert...