ORANG LAUT DALAM SEJARAH KESULTANAN MELAYU MELAKA DAN JOHOR-RIAU

99 3 0
                                    

Banyak sumber sejarah yang memperlihatkan wujudnya peranan Orang Laut dalam struktur pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka & Johor-Riau

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Banyak sumber sejarah yang memperlihatkan wujudnya peranan Orang Laut dalam struktur pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka & Johor-Riau. Mereka dilihat memainkan peranan yang penting dalam pembentukan Kerajaan Melayu Tradisional terutamanya Melaka dan Johor-Riau. Peranan Orang Laut pada zaman Melaka bermula sejak awal kedatangan Paramesvara atau Parameswara ke Melaka. Mereka bukan sahaja membantu Parameswara bahkan turut menjadi pengikutnya yang setia sehinggalah berdirinya Kesultanan Melayu Melaka. Andaya (2017) menyatakan bahawa hubungan Orang Laut dengan Dinasti Melaka turut mempunyai sejarah yang Panjang. Hal ini demikian dikaitkan dengan pemerintah ke-2 Melaka yang merupakan anak kepada pemerintah pertama Melaka dengan isterinya yang merupakan anak perempuan kepada ketua Orang Laut di Singapura.

Peranan Orang Laut bahkan juga telah wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya lagi yang terletak di Sumatera, di mana mereka berperanan sebagai mereka yang melakukan kawalan ke atas kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka. Pemerintah Srivijaya sentiasa memastikan hubungan baik terjalin antara pemerintahan pusat dengan Orang Laut demi kelangsungan faktor pemerintahan dan perdagangan yang baik. Kewujudan peranan Orang Laut juga dapat dikesan sehingga ke utara Selat Melaka iaitu di Kepulauan Langkawi di mana mereka menjadi pembekal utama hasil laut, pengawal penunjuk arah kepada kapal-kapal dagang dan pengawal laluan laut kepada Kerajaan Kedah.

Menurut Andaya (2017), Orang Laut dilihat memainkan peranan penting sebagai penunjuk arah kepada kapal-kapal dagang & pengawal selat kepada kerajaan Melaka. Di samping itu, mereka turut menjadi pembekal barangan & hasil laut kepada pelabuhan utama Melaka yang dilihat dapat menarik minat pedagang-pedagang yang melalui Selat Melaka. Tidak setakat menjadi pengawal lautan dan pemungut hasil laut, Orang laut turut mempunyai jawatan yang penting dalam pemerintahan Melaka iaitu jawatan Laksamana. Dikatakan juga bahawa Laksamana Hang Tuah turut mempunyai darah daripada Orang Laut. Pemberian jawatan penting ini kepada Orang Laut adalah berkaitan dengan kebolehan dan ketangguhan armada mereka yang penting untuk pertahanan Melaka.

Begitu juga semasa zaman Kesultanan Johor-Riau, Orang Laut dilihat masih mengekalkan taat setia mereka kepada pemerintah Johor-Riau, yang menurut mereka masih lagi mempunyai daulat sebagai pemerintah serta masih berketurunan dari Kesultanan Melayu...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Begitu juga semasa zaman Kesultanan Johor-Riau, Orang Laut dilihat masih mengekalkan taat setia mereka kepada pemerintah Johor-Riau, yang menurut mereka masih lagi mempunyai daulat sebagai pemerintah serta masih berketurunan dari Kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman pemerintahan Johor-Riau juga, Orang Laut masih lagi mengekalkan peranan mereka sebagai orang yang mengawal lalu-lintas di Selat Melaka di samping mengarahkan perdagangan ke pelabuhan-pelabuhan di dalam kekuasaan Johor-Riau. Mereka turut menjadi pembekal utama hasil laut kepada pelabuhan-pelabuhan kerajaan yang diperlukan sama ada oleh pihak pemerintah, rakyat jelata mahupun para pedagang. Orang Laut juga terus kekal mewarisi kemunculan jawatan Laksamana yang merupakan jawatan penting dalam pemerintahan Kesultanan Johor-Riau sebagaimana ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Malahan mereka juga bertanggungjawab dalam pengangkatan pemerintah baharu Johor di setiap kawasan baharu.

Menurut Andaya (2017) lagi, berdasarkan faktor jumlah mereka yang besar dan mempunyai kemahiran maritim yang tinggi, para pemerintah tempatan melihat Orang Laut sebagai sekutu yang penting dalam mencapai cita-cita sebagai pemerintah dalam hegemoni politik dan ekonomi di Selat Melaka. Selain itu, Orang Laut juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keamanan di laluan perdagangan Selat Melaka dan di pelabuhan-pelabuhan kerajaan. Mereka juga memainkan peranan dalam mengekalkan keseimbangan politik di dalam istana. Hal ini menjelaskan kepada kita bagaimana Orang Laut memainkan peranan mereka yang penting dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran sejak zaman Kerajaan Srivijaya, yang kemudiannya terus diwarisi oleh Kesultanan Melayu Melaka serta Kesultanan Johor-Riau sehingga awal kurun ke-18.

Rujukan:

Andaya, Leonard Y. & Andaya, Barbara Watson. 2017. A History Of Malaysia Third Edition. (United Kingdom: Palgrave Macmillan)

Roziah Mohamad Ali dan Khairi Ariffn. (2020). Peranan dan Penglibatan Orang Laut Johor-Riau semasa Era Kerajaan Melayu Tradisional. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, 13(1), 1-24.



**Penulisan artikel ini bukanlah kajian muktamad atau kajian ilmiah yang bertaraf universiti, namun ia hanya sekadar perkongsian daripada penulis sebagai pengenalan kepada bidang sejarah yang lebih besar dan berilmiah.

**Para pembaca juga disarankan untuk merujuk kepada penulisan yang lebih berilmiah untuk penambahan bacaan yang sepatutnya.

DUNIA MELAYU: SEJARAH DAN PERADABANWhere stories live. Discover now