PAGI ini, hatinya lapang melihatkan rumahnya sudah siap berkemas siap ditambah pakej wangi lagi seluruh rumah. Macam itulah anak dara, kemas dan bersih sahaja rumah. Ininya tidak. Harapkan saja wajah cantik tetapi peribadi astaghfirullah, boleh pengsan orang yang melihatkan perangai pemalas tahap dewa.
"Bagus Tina, Bella," kata Khayra dalam nada memuji lalu menggigit bucu roti bakar yang dioles jem beri biru.
Sarapan pagi yang disediakan oleh Tina itu ringkas sahaja tetapi bolehlah daripada tidak ada langsung makanan untuk mengalas perut. Paling tidak, dia tidak akan mudah untuk bertukar kepada Hulk jika klien barunya sekejap lagi seorang lelaki yang suka menggatal!
"Hehehe... Tina akan buat apa saja asalkan akak dah tak marah," balas Tina sambil tersengih-sengih.
'Hah, tahu takut,' desis hati Khayra. Senyuman sinisnya disembunyikan di sebalik kunyahan roti.
"Bella pun sama. Kami minta maaf akak," kata Bella pula sambil menunduk. Batang penyapu di tangannya diketip-ketip perlahan dengan hujung kuku.
"Okey. Ingat, sekali lagi kau berdua buat macam semalam, memang akak takkan beri muka," jawab Khayra lantas bangun dari kerusi. Beg tangan yang sedia diletak di kerusi sebelah dicapai sebelum air Milo diteguk laju.
"Akak balik petang nanti, pastikan rumah kemas seperti ni," pesan Khayra lalu bergegas keluar dari rumah. Entah angguk entah tidak budak berdua itu, dia tidak pasti. Apa yang pasti, dia sudah terlambat untuk ke pejabat.
Tit... Tit...
Telefon pintarnya di dalam beg tangan bergetar menunjukkan ada panggilan masuk. Dia yang sedang terkial-kial memusing stereng kereta hanya mampu mendengus kasar. Dasar kereta di depan apa halnya ini blok pintu pagar rumah orang? Sudahlah dia terlambat untuk pergi kerja, ada pula malaun yang tak reti bahasa memarkir kereta di hadapan pintu pagarnya. Sempit tahu untuk kereta Perodua Bezzanya mencelah keluar?
Tit... Tit...
Sekali lagi, telefon pintarnya bergetar minta diangkat. Tanpa melihat siapakah gerangan yang memanggil, panggilan itu diangkat kasar lalu dengan nada meninggi, Khayra terus menyembur si pemanggil.
"Kau nak apa?" marahnya geram.
"Er... assalamualaikum cik. Maafkan saya, saya nak beritahu yang dato' kata meeting kita pagi ini ditunda ke pukul 11 pagi. Boleh ya cik?" tanya suara halus di hujung talian, agak serba salah nadanya.
"Hmm... okey," balas Khayra lalu mencampakkan telefonnya ke kerusi belakang.
'Kurang asam itu jantan!' jerit hatinya geram.
Dato' Sani ini, ada-ada saja halnya. Pasti berdecit si Vivi, pengurus peribadi lelaki berharta itu untuk menghubungi tadi. Huh, nak main-main dengan Cik Amra Khayra?
'Silap besarlah orang tua... akan kubalas lebih lagi daripada ni disebabkan sikap kau yang suka sangat tak menepati waktu perjanjian!'
Pin! Pin!
Dalam geram, Khayra menekan honnya bertalu-talu. Jam menunjukkan waktu 7.30 pagi. Dia sudah terlambat untuk ke pejabat walaupun waktu mula bekerja di pejabatnya itu sebenarnya pukul 8.30 pagi. Dia sejenis perempuan yang suka sampai setengah jam lebih awal di pejabat. Jika terlewat satu minit pun, dia boleh murung sehari.
"Sorry, sorry," laung seorang lelaki.
Seorang lelaki tua terkocoh-kocoh mendapat keretanya yang menghalang laluan dan berkali-kali juga dia meminta maaf. Namun, riak wajah seorang gadis yang bernama Nur Amra Khayra tetap beku dan keras sahaja sambil menunggu dengan sabar di dalam kereta sementara lelaki itu mengalihkan kereta. Dia sudah penat dengan semua ini. Fake!
Tok! Tok! Tok!
Lelaki tua itu tadi mengetuk cermin keretanya dengan tiga kali ketukan. Ketukan itu menyedarkannya daripada jauh mengelamun dalam geram yang tersisa. Lelaki itu meminta maaf sekali lagi kepadanya, namun seperti biasa hanya anggukan dengan senyuman terpaksa sahaja diberikan sebelum pedal minyak ditekan dan keretanya meluncur laju di jalan raya.
Bad luck, today.
"AYIZ, jangan lupa jaga kesihatan kat sana," pesan Ibu Hamidah lagi.
Termasuk kali ini, sudah kali ke berapa entah dia berpesan kepada Aariz. Sudah pasti Aariz sudah muak dengan pesanannya, tapi ada dia kisah? Kali ini, dia mahu berpesan sampai anak jagaan sekali gus anak saudaranya itu betul-betul termuntah dengan ayatnya.
"Ya, ibu," sahut Aariz sambil memakai kasut.
Riak wajahnya tenang menyahut pesanan yang sama setiap kali dia akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Ziarahnya kali ini sebentar cuma, sekadar melepaskan rindu yang terbuku di hati.
"Ibu tak kira Ayiz, kamu balik sekali lagi nanti pastikan bawa balik calon menantu ibu," pesan Ibu Hamidah lagi.
"Ibu," keluh Aariz.
Ini yang dia lemah. Pekerjaannya sangat berisiko. Mana mungkin dia boleh beristeri dalam keadaannya begini? Buat nanye anak orang aje. Tiada siapa yang tahu pekerjaan sebenarnya di Kuala Lumpur sebagai pegawai perisikan badan kerajaan melainkan kawan-kawan sekerjanya sahaja. Jika ditanya apakah pekerjaannya di sana, dia hanya akan memberitahu mereka bahawa dia bekerja sebagai bodyguard. Itu saja.
"Ibu dah tua Ayiz... ibu tak tahu bila ibu akan meninggalkan..." Kata-katanya terhenti dek Aariz terlebih dahulu memintasnya.
"Ya, baiklah ibu. Akan Ayiz usahakan untuk tunaikan permintaan ibu," cantas Aariz sambil menarik nafas. Dalam sedalam-dalamnya sehingga sesak rasanya dirasakan.
"Ha, macam itulah Ayiz ibu..." balas Ibu Hamidah lalu menepuk perlahan bahu anak saudaranya.
Senyum simpul sahaja Ibu Hamidah melihatkan kepada raut wajah Aariz yang kekal tenang walaupun diasak dengan permintaan mengarutnya. Saja dia mahu menguji sejauh manakah kesabaran seorang Aariz Iktizar dalam menghadapi tekanan. Seperti diduga, kesabaran Aariz memang tebal hasil warisan daripada sifat sabar ayahnya arwah Imam Daud.
"Okeylah ibu, Ayiz pergi dulu," ujar Aariz lalu menyalami tangan wanita itu.
"Baik-baik di jalanan tu Ayiz," pesan Ibu Hamidah lagi.
"Baik, ibu," jawab Aariz lalu berlalu ke keretanya. Melalui biasan yang terpantul di cermin berwarna gelap Toyota Camry putihnya, dia dapat melihat raut wajah gusar Ibu Hamidah. Alahai, ibu. Ada-ada sajalah!
Pin! Pin!
Aariz membunyikan hon dua kali sebagai tanda keberangkatannya dari Darul Hikmah. Sempat matanya mengerling kepada cermin pandang belakang, kelihatan Dani dan beberapa orang kanak-kanak penghuni rumah anak-anak yatim itu melambai mesra kepadanya tanda mengucapkan selamat jalan.
'Ya Allah, peliharalah semua orang yang kusayang dalam perlindungan-Mu. Amin,' doa Aariz dalam hati lalu pemanduannya diteruskan perlahan.
Waktu ini, pagi ini redup dengan sang matahari masih malu-malu menampakkan diri. Jam menginjak ke angka lapan, jadi masa masih berbaki lagi tiga jam sebelum pertemuan bosnya dengan pegawai pengiklanan syarikat WS Creative Incorporation.
Kali ini, hatinya berdoa semoga semuanya baik-baik saja. Dia tidak sanggup lagi melihat ada perempuan yang menjadi mangsa Dato' Sani. Hati kecilnya menginginkan kebebasan daripada belenggu lelaki keparat itu, namun apakan daya lelaki itu tokoh korporat. Mahu tidak mahu, lelaki durjana itu mesti dijerat!
EDITED: 1/12/2024
YOU ARE READING
CODE NAME: DARK [COMPLETED-in editing]
RomanceThe Fallen Hero. Itu gelaran senyap yang ditelan oleh Aariz Iktizar, seorang ejen perisikan terlatih dari Unit Jenayah Dalam Negara. Tugasannya di lapangan serba ekstrem berakhir, tapi tiada istilah mengalah kerana nyawanya sentiasa diintai oleh si...