MALAM itu, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Suasana yang sedia sejuk semakin bertambah dingin, sedingin air di kali yang dikarai perlahan bagi membasahkan anggota wuduk. Ya Allah, sejuk sungguh sehingga menggigil, berlaga gigi dan menggeletar tubuh setiap kali air menyentuh kulit.
"Aariz, cepat naik. Kamu tu bukannya sihat sangat nak main air," panggil Ibu Hamidah, iaitu pengasuhnya sejak dari kecil sehinggalah dia besar panjang sekarang ini.
"Sekejap, ibu," jawab Aariz sambil menggeleng kepala.
Tersenyum sahaja dia mendengar panggilan bimbang wanita yang dikasihinya semenjak dia tinggal di rumah anak-anak yatim Darul Hikmah sejak berumur tujuh tahun. Hailah ibu, memang tak sah kalau setiap kali dia menziarahi rumah anak-anak yatim itu, dia tidak akan dibebel olehnya. Masa kecil-kecil dahulu, acap kali jugalah wanita itu naik angin dengan kedegilannya.
"Ish, malaslah cakap dengan kamu ni. Ada-ada sajalah ulahnya," balas Ibu Hamidah sambil memuncungkan bibir.
"Yalah ibu, Ayiz naiklah ni." Aariz akhirnya mengalah dengan rajuk seorang Ibu Hamidah.
Sebelum dia naik ke pelantaian, sempat fikirannya melayang ke peristiwa hitam lima tahun lalu. Kerana kejadian itu, dia disahkan menghidap penyakit COPD (Chronic Obstructive Pulmonary Disease). Dia beruntung ajalnya masih belum tiba, namun imbalannya dia terpaksa menanggung sakit tersebut.
'Kau kena terus kuat, Ayiz. Demi orang yang kau sayang.' Aariz meraup muka lalu berlalu naik ke dalam rumah untuk menyahut seruan Ilahi agar menyembah-Nya, Tuhan yang Maha Esa.
Usai menunaikan solat isyak, Aariz menapak perlahan ke arah Ibu Hamidah yang sedang tersenyum simpul melayan ulah seorang kanak-kanak riang di ruang tamu. Rumah jagaan anak-anak yatim itu sederhana besar sahaja, letaknya pula di kawasan perkampungan berdekatan dengan hutan.
''Dani, seronok duduk dekat sini?" tegur Aariz kepada Dani, iaitu kanak-kanak paling muda di situ. Dani berusia dalam lingkungan tujuh tahun, sama seperti usianya ketika dia masuk ke Darul Hikmah.
"Seronok Abang Ayiz... ibu baik, semua kat sini baik. Abang pun baik," jawab kanak-kanak itu jujur. Gembira benar dia dilayan seperti putera raja di rumah itu memandangkan dia digelar adik bongsu.
"Wah, kalau begitu sukalah hati abang. Mari sini kejap, abang ada hadiah untuk Dani." Aariz meraih kanak-kanak itu lalu diletakkan di ribanya.
Rambut Dani dielus lembut, teringat dia akan adiknya yang sudah kembali ke rahmatullah bersama dengan ibu bapanya pada 23 tahun lalu. Hatinya perih mengingatkan kembali peristiwa itu, tetapi apakan daya semuanya sudah dalam takdir Allah SWT.
"Ayiz," tegur Ibu Hamidah dengan lembut. Dia memahami rentak perasaan anak jagaannya itu.
Walaupun sudah lama kemalangan maut itu berlalu, namun sukar untuk Aariz melupakan kenangan pahit tersebut. Apatah lagi, hanya dia seorang yang terselamat dalam insiden tersebut. Raungan, jeritan dan rintihan orang kesayangannya sentiasa berlegar-legar dalam memori.
"Ayiz teringatkan Ahmad," lirih Aariz perlahan.
"Kalau begitu, Ayiz sepatutnya hadirkan Ahmad dalam hidup Ayiz," balas Ibu Hamidah sambal tersenyum simpul.
"Apa maksud ibu?" soal Aariz tidak faham.
"Kahwinlah nak oi... itu pun perlu diajar ke? Usia kamu tu sudah 30 tahun, tahu?" jawab Ibu Hamidah lalu menepuk perlahan paha Aariz.
"Tak naklah," jawab Aariz lalu terus mengelus perlahan rambut Dani.
"Ayiz bahagia dengan hidup Ayiz sekarang," sambungnya lagi.
YOU ARE READING
CODE NAME: DARK [COMPLETED-in editing]
RomansaThe Fallen Hero. Itu gelaran senyap yang ditelan oleh Aariz Iktizar, seorang ejen perisikan terlatih dari Unit Jenayah Dalam Negara. Tugasannya di lapangan serba ekstrem berakhir, tapi tiada istilah mengalah kerana nyawanya sentiasa diintai oleh si...