MERATA ceruk kampung telah tersebar mengenai kematian Nek Esah yang amat mengerikan itu. Penuh rumah Nek Esah dengan kunjungan penduduk kampung yang ingin melihat sendiri keadaan mayat Nek Esah dengan mata kepala mereka sendiri. Berita tergempar itu cepat sahaja tersebar di kampung bersebelahan juga. Dewi terpaksa menyorok dalam hutan kecil di belakang rumah Nek Esah bagi mengelak dari dijumpai oleh penduduk kampung yang memenuhi rumah Nek Esah.
Pada tengah malam, barulah Dewi balik semula ke rumah Nek Esah yang telah sunyi. Pelbagai andaian dibuat oleh penduduk kampung. Tidak kurang juga yang menambah-nambah cerita, mengatakan Nek Esah mati dimakan oleh belaannya sendiri. Cerita-cerita tersebut menambah takutkan lagi penduduk kampung untuk keluar malam hari. Sunyi keadaan kampung apabila kesemua mereka memilih untuk berkurung dalam rumah sahaja apabila senja berlabuh.
Dewi menggosok perutnya yang kelaparan. Dia menyelongkar dapur untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan. Siang tadi, dia hanya mengintip sahaja orang kampung mengusung keranda Nek Esah ke tanah perkuburan. Dewi tidak mengerti, mengapa mereka semua menanam Nek Esah namun, itu bukan urusannya. Dewi melahap daging mentah yang dijumpainya dalam peti sejuk. Setelah itu, Dewi tertidur kekenyangan.
Kini Dewi tinggal berseorangan. Tetapi, itu tidak menjadi masalah kepadanya. Selagi rahsia keberadaannya tidak diketahui oleh orang kampung, selagi itu kehidupannya akan aman. Itu apa yang difikirkannya. Kolong bawah rumah Nek Esah yang pernah menjadi tempat tinggalnya, sesekali digunakan andai dia merasa sangat kesunyian.
Sehinggalah suatu hari, ketika dia sedang seronok mengejar arnab di hutan kecil belakang rumah Nek Esah untuk makan malamnya. Dewi terperasan dia sedang diperhatikan oleh seorang lelaki. Dewi berhenti dan berdiri tegak serta merenung lelaki itu. Dia seakan merasa ada satu perasaan kasih pada lelaki yang tidak dikenalinya itu. Terkebil-kebil matanya memerhatikan lelaki itu yang telah menghilang di balik pokok besar.
Malam itu, Dewi sering termenung mengenangkan lelaki yang dijumpainya di hutan kecil senja tadi. Siapakah dia? Kenapa aku rasa gembira melihatnya? Dewi tertanya pada dirinya sendiri. Pelbagai persoalan berlegar di fikirannya. Tetapi, di mana dia boleh peroleh jawapan pada setiap persoalan itu? Nek Esah sudah mati! Dewi tersengih sendiri apabila teringat ketika dia melahap kepala Nek Esah yang manis dan wangi itu.
Dewi sungguh tidak tahu salasilah keluarganya. Yang dia kenal cuma Nek Esah sahaja. Entah kenapa, Dewi seakan terlihat satu sosok di jalan masuk ke perkarangan halaman rumah. Dewi yang termenung di anak tangga rumah memerhatikan sosok hitam tersebut. Baru dia perasan mata sosok hitam itu berwarna merah, namun Dewi tidak merasa gentar walaupun sedikit.
Sosok hitam itu tersengih menampakkan siungnya. Sekelip mata sosok itu sudah beralih tempat, semakin menghampiri ke tangga rumah. Setiap lima saat, sosok itu hilang dan muncul kembali semakin dekat. Dewi berkerut dahi, tapi matanya tidak lepas dari memerhatikan sosok hitam yang tersengih yang semakin menghampirinya itu. Rimas dengan kegusaran itu, Dewi segera bangun dan mula memanjat tangga untuk masuk ke dalam rumah.
“Jangan takut, anakku!” Sosok hitam itu bersuara garau.
Langkah Dewi terhenti, dia kembali merenung pada sosok hitam yang telah berada di tengah laman rumah itu. Keadaan rumah yang gelap dan halaman yang hanya diterangi cahaya rembulan. Menyukarkan Dewi melihat wajah sosok hitam tersebut. Dewi hanya membatukan diri di atas anak tangga.
“Ya! Kau anakku yang baik. Heh~ Heh~ Saangatt baik. Saangatt ranum...” Sosok itu bersuara lagi.
“Pakcik ni siapa? Pakcik kenal Dewi ke?” Dewi bertanya berani.
“Deewiii... Heh~ Heh~ Akuu.. Ayah kauu...”
“Pakcik ayah Dewi? Betul ke apa yang pakcik cakap ni? Tapi... Nek Esah beritahu, ayah Dewi dan ibu Dewi dah mati.” Dewi bersuara sayu.
Heh~ Heh~ Heh~...
Sosok tersebut menghilang tiba-tiba. Dewi segera melompat turun ke tanah dan mencari-cari kelibat sosok hitam yang mengaku bahawa dia ayah kepada Dewi itu. Puas dicari hingga ke belakang rumah, namun tidak kelihatan di mana-mana pun. Dewi mengeluh berat. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Dewi melangkah lemah memasuki rumah. Fikirannya berkecamuk sepanjang malam itu.
Keesokan paginya, Dewi memasuki bilik Nek Esah. Dia ingin mencari tahu bagaimana rupa ayah dan ibunya yang sebenarnya. Dewi yakin, Nek Esah tentu menyimpan gambar kedua orang tuanya. Puas diselongkar segala ceruk bilik, tetapi hampa. Dewi merebahkan badannya di katil kayu milik Nek Esah. Dia bingung dari mana dia patut mula untuk mencari siapa dirinya sebenarnya. Dalam pada kepalanya sendat dengan persoalan, Dewi akhirnya tertidur di dalam bilik Nek Esah.
“Anakku... Deewiii...”
Dewi menoleh kebelakang. Mencari dari arah mana datangnya suara yang memanggilnya itu. Persis suara sosok hitam semalam. Namun, hanya kegelapan tanpa penghujung yang dapat dilihatnya. Dewi berpusing-pusing entah ke mana arah tujuan. Suara itu senantiasa bergema memanggil-manggil namanya.
“Siapa? Tunjukkan muka!” Dewi berteriak setiap kali terdengar namanya diseru.
“Heh~ Heh~ Heh~ Aku... Ayah kau...”
Dewi tersentak. Matanya kembali meliar. Dia sudah kelelahan berlari tanpa henti dari tadi. Nafasnya termengah-mengah dengan kasar. Namun, dia tiada niat untuk berhenti berlari, sehinggalah dia ternampak satu cahaya jauh di hadapannya. Dewi cuba melajukan lariannya supaya cepat sampai kepada cahaya itu. Namun, sepertinya larian Dewi tiada penghujung.
Dewi berhenti serta-merta apabila ternampak seperti ada sosok hitam tidak jauh di hadapannya. Dia menjadi ragu untuk menghampiri. Siapakah itu? Dewi bermonolog sendirian.
YOU ARE READING
KoLonG
ParanormalPenderitaan Dewi bukan sahaja sedari kecilnya. Malah takdir penderitaan hidupnya berpanjangan selagi dia bernafas. Mujur ada ehsan dari orang tua itu. Sekurangnya dia tidak sendiri dalam menghadapi segala kesakitan maha pedih sepanjang hidupnya itu...