KoLonG - Part 9

4 0 0
                                    

LAMAN rumah Tok Piah menjadi kecoh apabila tetamu yang hadir melihat satu lembaga hitam yang besar dan berbulu, berdiri tegak di pintu pagar. Ini menyebabkan mereka semua terperangkap di kawasan rumah Tok Piah tanpa sesiapapun dapat keluar.

Perasaan panik membelenggu mereka semua. Masing-masing memikirkan untung nasib diri sendiri. Terdengar pula suara hilaian dari dalam rumah Tok Piah dan dalam masa yang sama lampu-lampu di rumah itu berkelip-kelip seperti lampu disko. Semakin menambahkan keseraman dan ketakutan mereka.

Nenek Kebayan melingas melihat lampu berkelip-kelip. Hatinya dipagut kerisauan. Hilaian yang keluar dari mulut Aini yang sedang kerasukan semakin galak dan merimaskan. Nenek Kebayan mengatur pernafasan dan mengembalikan semula tenaganya yang lelah dek bertarung secara batin dengan makhluk yang sedang mengganggu keluarga Tok Piah sebentar tadi.

Talib yang berada di laman rumah Tok Piah cuba menenangkan tetamu yang sedang panik supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini nanti. Mereka akur dengan nasihat Talib dan duduk berteleku sambil membacakan surah lazim yang mereka ingati.
Lembaga hitam masih berdiri tegak tanpa berkutik di pintu pagar. Merenung ke arah manusia yang berada di laman rumah bersama dengusan kasar. Renungannya tajam dan menakutkan. Ia bagaikan senang menghirup aroma ketakutan yang keluar dari tubuh mereka. Seakan memberi kekuatan kepadanya.

“Nek! Ini barang-barang yang nek minta tadi. Tok Piah tak dapat masuk. Dia minta saya menyampaikan pada nenek tadi dari pagar belakang rumah.” Tiba-tiba menantu Tok Piah menghampiri Nenek Kebayan sambil menghulurkan sebuah bungkusan dan bercakap perlahan seakan berbisik.

Nenek Kebayan tersenyum nipis sambil mengangguk kecil. Sememangnya dia menantikan barang-barang yang dipesannya itu sambil memulihkan tenaganya semula. Tanpa berlengah masa, segera dia membuka bungkusan tersebut.
Aini menoleh ke arah Nenek Kebayan yang sedang sibuk di hadapan sebentang bungkusan. Mencerlung matanya melihat apa yang dilakukan oleh Nenek Kebayan. Hilaian ketawanya hilang serta-merta, diganti dengan dengusan kasar yang pendek dan laju. Sekejapan itu juga, Aini meronta-ronta marah kerana Nenek Kebayan berjaya mendapatkan barang yang dipinta untuk melawannya.

Namun, reaksi yang ditunjukkan oleh Aini itu sedikitpun tidak diendahkan oleh Nenek Kebayan. Nenek Kebayan memusatkan fokusnya pada ritual yang sedang dilakukannya itu. Satu per satu barangan yang berada di atas hamparan kain itu diperasapkan sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu.

Arrgghhh….!!!!

Tiap kali Nenek Kebayan memperasap, Aini bagaikan merasa kesakitan teramat sangat. Tampak jelas riak muka Aini dalam keperitan menahan kesakitan. Darah merah berwarna pekat kehitaman sudah memenuhi mulutnya dan mengalir mambasahi leher serta pipinya.

“Tak guna kau orang tua! Lepaskan aku! Kita bertarung bersemuka kalau kau hebat sangat!” Aini bersuara garau dalam kemarahan dan kesakitan. Dia cuba mencabar Nenek Kebayan pula.

Nenek Kebayan hanya mengerling ke arah Aini tanpa menghentikan apa yang sedang dilakukannya. Setelah selesai kesemua barang yang berada di hamparan diperasapkan, Nenek Kebayan senyap bertafakur sambil memejamkan mata dengan mulutnya masih terkumat-kamit membacakan sesuatu yang tidak dapat didengari oleh sesiapapun.

Nenek Kebayan membuka matanya perlahan, kini penglihatannya menjadi jelas dan tidak terganggu dengan kerlipan lampu yang sekejap padam sekejap bersinar itu. Terbentang di hadapannya wajah sebenar makhluk yang merasuk Aini. Segera Nenek Kebayan mencapai buluh nipisnya dan melibas ke arah kepala penanggal yang dilihatnya itu. Berpelaung jeritan keluar dari mulut penanggal yang menumpang di dalam badan Aini tersebut.

“Aishah! Sediakan aku air sebesen bersama kain batik tiga helai. Malam ni juga aku kena keluarkan bayi dalam perut Aini. Kalau tidak, bayi itu akan menjadi santapan penanggal durjana tu saja!” laung Nenek Kebayan sambil mengarah kepada Aishah, adik kepada Aini.

KoLonGWhere stories live. Discover now