DEWI terjaga dari lenanya yang terasa panjang. Kepalanya berpinar teramat sangat. Berdenyut-denyut seakan hendak pecah. Dewi menangis teresak-esak menahan kesakitan itu. Lupa dia untuk memastikan di mana dia sekarang. Berguling-guling Dewi ke kiri ke kanan sambil menangis supaya apa yang diperbuat itu dapat mengurangkan kesakitan teramat sangat yang sedang ditanggungnya kala itu.
“Cu.. Cucu dah sedar akhirnya. Kenapa ni? Cucu sabar ye, Nenek gantikan ubat yang baru.”
Dewi berhenti berguling apabila mendengar suara yang menggelarkan dirinya nenek itu. Dia melihat ke arah gerangan empunya suara. Kelihatan seorang nenek tua yang sudah bongkok tiga berdekatan dengannya sedang melakukan sesuatu seperti menumbuk cili. Dewi mengesat airmatanya. Kepalanya masih berdenyut kuat.
“Mari Nenek buka balutan di kepala cucu tu.”
Nenek tua itu bersuara dengan lembut. Memujuk. Apabila dia melihat anak kecil di hadapannya itu kelihatan ketakutan bila dihampiri. Dewi ragu-ragu tetapi tetap membatukan diri apabila nenek tua di hadapannya membuka satu persatu balutan di kepalanya. Di sebelah nenek tua itu terdapat sepiring daunan yang telah dilumatkan. Dewi merenung wajah tua yang sentiasa tersenyum itu. Terasa tenang hatinya menatap wajah tua di hadapannya itu. Pertama kali Dewi rasa disayangi seperti itu oleh seseorang.
“Cucu jangan takut. Nenek bukan orang jahat, Nenek orang baik. Cucu panggil Nenek, Nenek Kebayan ye. Nenek terjumpa cu hanyut di sungai. Nasib baik Nenek cepat. Kalau tidak, apalah nanti nasib cucu agaknya.”
Nenek Kebayan cuba berbual dengan Dewi untuk membuang rasa suasana janggal antara mereka. Selain itu, dia cuba beramah mesra dengan Dewi. Dewi hanya diam membisu, matanya sekejap-sekejap menatap wajah tua di hadapannya, sekejap-sekejap meliar melihat sekeliling pondok kecil itu. Dia mendesis sakit apabila Nenek Kebayan menepek daunan lumat ke atas luka di kepalanya akibat dihentak dengan batu.
“Tahan sikit ye, cu. Sekejap je sakitnya tu," pujuk Nenek Kebayan sambil membalut kepala Dewi.
Setelah itu, dengan tertatih-tatih dan bertongkat, Nenek Kebayan menuju ke arah dapur. Yang mana masih boleh dilihat dari katil kecil yang diduduki oleh Dewi. Terkedu Dewi melihat Nenek Kebayan bertungkus-lumus memasak lauk-pauk dan menanak nasi. Dewi berasa serba salah. Hendak menolong tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk memasak. Selepas siap semuanya, Nenek Kebayan segera menghidangkan makanan malam mereka pada hari itu.
Nenek Kebayan memerhatikan cara Dewi makan. Dia menggeleng kepala, simpatinya melimpah ruah melihat Dewi makan dengan lahapnya sambil menyangkung. Menggenggam nasinya dan memasukkan ke dalam mulut. Berterabur nasi setiap kali Dewi menyuap seperti anak kecil berumur dua tahun yang tidak tahu bagaimana menyuap makanan. Melihatkan parut di pergelangan kaki Dewi yang masih bernanah, Nenek Kebayan merasa sedih. Dia bagai dapat mengagak kanak-kanak berumur sepuluh tahun di hadapannya itu dibesarkan tanpa kasih sayang langsung.
“Cucu ni duduk di kampung mana sebelum ni?” Nenek Kebayan cuba mengajak Dewi berbual.
Suapan Dewi terhenti, dia merenung muka Nenek Kebayan lama. Kemudian dia menjungkit bahu dan menggeleng kepala. Dewi menyambung semula makannya. Nenek Kebayan mengerti bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh Dewi sebentar tadi. Dia mengeluh kecil. Nenek Kebayan menyendukkan lagi lauk ke dalam pinggan Dewi.
Bamm..! Bamm..! Bamm..!
Terperanjat Nenek Kebayan, begitu juga Dewi apabila mendengar dinding pondok kayu itu dihentak dengan kuat dari luar. Dada mereka berdebar laju. Mulut Nenek Kebayan terkumat-kamit membaca sesuatu. Dihembuskan nafasnya ke arah dinding yang dihentak tadi. Kedengaran suara dengusan kasar lagi garau di balik dinding kayu.
‘Pulangkannn..!’ Kata-kata itu kedengaran bersulam dengan deraman kasar. Seperti seseorang bersuara serak yang teruk. Perlahan dan gemersik nadanya.
“Tidak!! Langkah mayat aku dulu kalau kau nak ambil budak ni.” Nenek Kebayan bersuara garang.
‘Hahahahaha...! Orang tua... Dendam kita tak pernah selesai.. Herrr~...’
“Selagi dia bersama aku, aku tak akan serahkan dia pada kau! Berambus kau dari sini!” Nenek Kebayan mengherdik dan menepuk lantai pondoknya.
Terangkat bahu Dewi mendengar bunyi tepukan yang kuat itu. Ketakutan mengusai dirinya. Apatah lagi apabila melihat rupa Nenek Kebayan semakin menakutkan apabila sedang marah. Dewi memeluk lututnya di tepi katil. Dia menangis teresak-esak. Suasana di dalam dan luar pondok lagi menakutkan apabila angin ribut menerbangkan segala barang ringan di dalam rumah, manakala desiran pokok melanggar sesama sendiri kedengaran kuat di luar rumah. Seakan pergelutan hebat sedang berlaku kala itu.
Setelah reda semuanya, keadaan kembali tenang. Nenek Kebayan menghampiri Dewi yang sedang menggigil di tepi katil. Nenek Kebayan mengusap lembut rambut Dewi. Dia cuba menenangkan Dewi dengan sabar. Dewi mengangkat sedikit mukanya, khuatir andai terlihat wajah Nenek Kebayan yang menakutkan tadi.
Namun hatinya lega apabila terpandang wajah Nenek Kebayan sudah seperti biasa. Tersenyum dan menenangkan. Terus Dewi memeluk leher Nenek Kebayan dengan kejab. Terharu Nenek Kebayan dengan tindak-tanduk Dewi itu. Nenek Kebayan tersenyum lega apabila merasakan Dewi sudah dapat menerima kehadirannya dengan baik.
“Tidak mengapa, cu. Cucu selamat dengan Nenek. Nenek akan sayang dan jaga cucu dengan baik mulai hari ini. Cu tak usah takut lagi ye. Nenek ada dengan cu.” Nenek Kebayan memberi janji.
“Sekarang cu pergi basuh tangan dan tidur ye sayang. Cu jangan khuatir. Nenek ada di sini bersama cucu.”
Dewi bangun perlahan dan menuju ke dapur untuk membasuh tangannya. Matanya meliar. Sekejap-sekejap dia menoleh ke arah Nenek Kebayan. Gusar kalau Nenek Kebayan meninggalkannya sendirian. Tapi Nenek Kebayan tetap berada di birai katil menanti Dewi usai membasuh tangan. Setelah itu, Nenek Kebayan menepuk dan mendodoikan Dewi. Dewi tidur dengan hati yang senang. Pertama kali dalam hidupnya di layan seperti itu.
**********
‘Tanya sama pokok,
Apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok,
Angin yang goncang....’“Dewi. Dewi. Balik cu, tak baik duduk luar rumah masa senja. Cepat balik!” laung Nenek Kebayan dari muka pintu pondok.
Lima tahun telah berlalu. Kini Dewi sudah menginjak ke usia remaja. Dewi membesar menjadi seorang gadis sunti genit yang cantik umpama bidadari, secantik namanya juga. Dia bagaikan seekor beluncas bertukar menjadi rama-rama cantik yang keluar dari kepompong. Semuanya hasil jagaan dan usaha gigih Nenek Kebayan. Namun ada sesuatu yang tidak boleh Nenek Kebayan ubah dari diri Dewi. Sesuatu yang amat ditakuti oleh Nenek Kebayan seandainya Dewi mendapat tahu. Sesuatu yang selama ini disorokkan olehnya demi kebaikan Dewi.
Sesuatu yang... Telah hilang dari memori Dewi...
YOU ARE READING
KoLonG
ParanormalPenderitaan Dewi bukan sahaja sedari kecilnya. Malah takdir penderitaan hidupnya berpanjangan selagi dia bernafas. Mujur ada ehsan dari orang tua itu. Sekurangnya dia tidak sendiri dalam menghadapi segala kesakitan maha pedih sepanjang hidupnya itu...