"SEMALAM... kau dengan dia berakhir di mana?" soal Shasha tersenyum penuh makna mengorek kisah sahabat yang diheret pulang tunangan yang tidak lama lagi bakal menjadi suami.
Nuria tertawa sinis mendengar soalan itu. Mata mencerun tajam pada si teman yang suka benar berfikir yang bukan-bukan.
"Kau ingat aku ni langsung tak kenal halal haram ke?" tingkah Nuria geram.
Hanya kerana lelaki itu menghantarnya pulang takkan pula mereka akan berakhir di bilik tidur? Sejenis otak kuning betul sahabatnya yang seorang ini. Humph!
"Manalah tahu. Sekali nafsu mula berbicara, soal halal haram lenyap terus," balas Shasha tersenyum sumbing.
Soal nafsu sudah terlalu ramai yang tewas. Terjerumus ke kancah hina. Bukan semua mampu mengawal diri. Bukan semua punya iman di dada.
"Nafsu? Dengan mamat tu?" soal Nuria separuh mengejek.
Jika yang menghantarnya pulang semalam kekasih yang dicintai, soal nafsu mungkin timbul. Bersama si tunangan yang langsung tidak diingini mana mungkin itu berlaku.
Berjumpa pun dia tidak sudi. Apatah lagi ingin ke bilik tidur bersama lelaki itu. Kirim salam!
"He's hot," tekan Shasha.
Lelaki seperti Hayqal tidak susah untuk mencairkan seorang gadis. Cukup kena dengan gelaran playboy yang disandang lelaki itu.
"Not my taste," balas Nuria tercebik tidak suka. "Buaya tembaga."
"Oh, really? Habis tu semua mamat yang kau pilih sebelum ni macam mana? Bukan buaya?Calon suami mithali ke?" perli Shasha pedas.
Bibir merah jambu Nuria memuncung tidak puas hati. Memanglah buaya. Dia bukannya serius mahu mengheret lelaki-lelaki itu pulang sebagai calon menantu keluarganya. Tetapi dia tidak mahu lelaki buaya seperti Hayqal menjadi suaminya.
"Kenapa diam? Hayqal dah curi lidah kau ke semalam?" soal Shasha separuh bersenda.
Manalah tahu lelaki tinggi lampai itu sempat mengambil kesempatan ke atas temannya biarpun tidak diheret ke bilik tidur. Ciuman di pipi ke? French kiss ke, kan?
"Mengarut kau ni," desis Nuria bengang. Pun begitu wajah terasa berbahang kala kepala mula melayarkan babak semalam. Buat muncung di bibir semakin panjang.
Lelaki itu begitu berani mengambil kesempatan terhadapnya. Tidak silu menunjukkan kuasa. Ingin mengingatkannya tentang hari penyatuan yang bakal tiba. Dan dia tidak akan bebas lagi.
YOU ARE READING
NURIA SAYANG
RomanceNURIA SAYANG =========== 3 tahun menjadi tunangan orang langsung tidak membawa apa-apa makna. Malah andai mampu pasti diputuskan sahaja. Sungguh, dia tidak sudi terikat dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi menjadi tunangan lelaki buaya seperti Hayqa...