Idea asal ; Duda Buat Jasmin (ebook Jun 2020)
Versi revamp / novel ; Sayangku Jasmin (April 2021)
.
#Unedited
Prolog
Doa adalah lagu hati yang membimbing ke arah singgah sana Tuhan meskipun ditinggalkan oleh ribuan suara orang yang sedang meratap. - Khalil Gibran
DOA, permintaan atau permohonan kepada Tuhan. Sesuatu yang Jasmin wajib lakukan usai menunaikan solat lima waktu atau solat sunat atau tika hati diterpa rasa gundah tidak bertepi.
Jasmin mengelap bawah peluput mata dengan hujung jari. Ah, belum pun mula berdoa, dia sudah menangis. Namun, tidak salah. Menangis menghadap Yang Esa dan mengadu segala-galanya pada Dia adalah satu perkara yang tidak pernah salah. Sememangnya, hanya pada ALLAH, hamba-hamba hina sepertinya patut mengadu.
Telekung yang tersarung pada tubuh menghangatkan tubuh genitnya. Jasmin angkat doa dengan senyuman yang terpaksa diukir payah. Bibir tersenyum tetapi mata berkaca-kaca. Banyak yang mahu diluah dan diadu kepada ALLAH. Sama seperti malam-malam sebelum ini.
Sesungguhnya, dia rasa sangat lelah. Lelah dengan hidup sendiri. Penat menghadap manusia yang tidak berhenti-henti menguji kesabaran dan ketabahan diri. Dan juga kerana perasaan rindu yang hadir saat ini.
Rindu...
Senyuman paksa tertarik semakin lebar. Setitis air jernih merebas jatuh menimpa bukaan tangan pabila rindu bergayut kukuh di tangkai hati. Rindu pada dia yang halal. Jika sebelum ini masalah keluarga yang membuatnya hampir tersungkur, namun kini ceruk jiwa yang dilapisi rasa cinta dan rindu pula yang menguji.
Akhirnya, tiada suara dan perkataan yang terlahir dari bibir untuk berbicara dan mengadu dengan ALLAH malam ini. Hanya esakan dan air mata semata. Kerana dia tahu, ALLAH mendengar hati yang menangis bisu dan mengerti maksud tangisan yang terzahir.
Dalam menenangkan diri, kalimat ALLAH dan Rasul tidak henti-henti membasahi bibir. Dan dalam intropeksi diri itu, muncul wajah yang masih kuat mengasak panti ingatan dan nama yang masih tidak gagal membuat jantungnya berdegup rancak. Lalu, nama itu diselitkan terus dalam doanya.
Dan kali ini, ia terzahir melalui lafaz dan nafas membuatkan kesakitan rindu sedikit bercempera pergi.
"Aafan..."

ANDA SEDANG MEMBACA
SAYANGKU JASMIN (novel terbit)
RomanceSUDAH TERBIT DAN DIJUAL DI SHOPEE FAKAR PAKEER DAN KEDAI-KEDAI BUKU SELURUH MALAYSIA Idea asal ; DBJ Revamp : SAYANGKU JASMIN BLURB ISBN : 978-983-822-124-5 Kapsyen : Andai cinta itu kita lepaskan, adakah sakit itu juga akan bercempera pergi? - Hid...