unedited
-
TOYOTA Camry memasuki perkarangan Vila Desa Maimunah. Aafan mengangkat brek tangan bila kereta selamat diparkir di bawah garaj. Kawasan garaj yang samar disimbahi cahaya lampu tinggi dipandang sekilas lalu. Jika orang lain, pulang dari kerja masih disimbah langit terang namun tidak dia. Pulangnya disambut dengan dada langit yang gelap gelita.
Sesaat, kepala disandarkan kepada tempat penyandar kepala. Aafan lepaskan satu nafas yang gagal diinterpretasikan maksudnya. Satu keluhan yang bakal menghiasi bibirnya setiap kali pulang ke rumah.
Enjin akhirnya dimatikan. Ikatan tali leher yang sedia longgar semakin dilonggarkan sehingga tali leher jatuh terjuntai pada dada kekarnya. Sinsingan lengan semakin dinaikkan. Dia rasa rimas dan berlengas. Bekerja dari pagi sehingga malam tanpa henti, badan mula mengeluarkan cecair yang tidak digemari. Namun, itu saja yang mampu dilakukan untuk melupakan si 'dia' yang sudah tiada. Menyibukkan diri.
Lambat-lambat, Aafan keluar dari perut kereta. Membuka langkah kaki yang terasa berat untuk masuk ke dalam vila. Bila anak mata menangkap biasan cahaya terang dari ruang tamu di sebalik dinding kaca, dia jujut nafas dalam. Tahu si mama pasti sedang menanti kepulangannya.
Aafan menolak daun pintu yang tidak berkunci. Tepat jangkaannya bila mata terus tertancap pada figura Hajah Maimunah yang sedang membaca terjemahan al-Quran. Aafan katup pintu. Belum sempat mulut mahu menegur, Hajah Maimunah terlebih dahulu mencantas bicara.
Keadaan yang sunyi pecah.
"Lambat balik," ujar Hajah Maimunah tidak bernada. Seolah sudah jemu mengulang hal yang sama. Kepalanya statik menunduk dan mata masih melekat pada helaian buku di atas peha. Ada rasa marah-marah sayang buat Aafan yang masih mahu menyeksa diri.
Aafan tidak membalas. Tahu mama sedang makan hati dengan cara hidupnya. Aafan segera mendekati Hajah Maimunah. Hati orang tua yang terluka kerana tingkah lakunya perlu dipujuk segera.
"Banyak kerja dekat pejabat, ma," alasan klise. Aafan duduk rapat di sebelah Hajah Maimunah dan mencapai tangan mamanya dan mengucup kekura berkedut itu.
Hajah Maimunah mendecit perlahan. Baru saja dia mahu menunjukkan sisi tegasnya sebelum hati kembali melembut. Seperti selalu, Aafan seolah ada satu daya penyejuk untuk memadamkan bara pada hati dan perasaannya. Tambah pula, wajah Aafan yang berkumis kecil dan hilang sirna sering menggamit rasa sayu dalam jiwa sehinggakan mahu marah lama-lama pun, Hajah Maimunah tak sanggup.
"Sampai bila nak mac..."
"Ma... Aafan penat," pangkah Aafan, memeluk sisi tubuh Hajah Maimunah. Dagunya disangkut ringan pada bahu berisi mamanya. Telinganya sudah penat mahu menerima tujahan ayat sama dari Hajah Maimunah.
"Dah tahu penat, kerja tak ingat dunia tu dah kenapa? Saja nak seksa diri? Aafan suka lah tengok mama susah hati macam ni?" Sesaat, tangan Hajah Maimunah sudah naik mahu mengelap peluput mata yang mula memuntahkan cecair jernih. Sudah dua tahun Fina, menantunya dan isteri kepada anaknya ini pergi. Arwah sudah bersemadi tenang namun suami yang ditinggalkan ini pula yang galak menyeksa diri.
Hati Aafan bagai dilibas. Mama menangis kerananya, adalah satu hal yang dia paling tak suka. Cukuplah dia saja yang menahan sarat rasa di dada.
"Ma... Kenapa menangis ni? Aafan okey je lah. Aafan balik lewat memang sebab banyak kerja yang kena settle," ujar Aafan tenang. Jari jemarinya naik mengelap pipi Hajah Maimunah. Sisi wajah Hajah Maimunah ditenung penuh kasih.
"Mama menangis tengok anak mama macam ni. Sudah-sudahlah tu. Tak tenteram Fina di sana. Jangan seksa arwah dan diri Aafan."
Aafan tersentak. Sebaris nama yang cuba dilupakan terngiang-ngiang kembali. Membuatkan dada semakin senak dengan rasa rindu yang menggebu dalam jiwa. Aafan buang keluh.
YOU ARE READING
SAYANGKU JASMIN (novel terbit)
RomantizmSUDAH TERBIT DAN DIJUAL DI SHOPEE FAKAR PAKEER DAN KEDAI-KEDAI BUKU SELURUH MALAYSIA Idea asal ; DBJ Revamp : SAYANGKU JASMIN BLURB ISBN : 978-983-822-124-5 Kapsyen : Andai cinta itu kita lepaskan, adakah sakit itu juga akan bercempera pergi? - Hid...