Chapter 22

684 55 14
                                    

Pandangan dilemparkan ke luar tingkap. Amna menunggu untuk tiba ke tempat yang ingin Jayden tuju dengan penuh tanya. Entah ke mana diri dibawa. Tiada satu pun tanda Jay akan berhenti. Sudah dekat empat jam berlalu setelah singgah di simpang Rehat dan Rawat untuk melunaskan solat Maghrib. Matahari pula sudah tiba di kaki langit. Langit berubah jingga kehitaman. Tambah lagi, laluan yang digunakan kali ini sangat berbeza bagi Amna. Ini lebuhraya ke utara semenanjung.

Papan tanda bertulis Teluk Intan di susur kiri jalan sudah terpampang beberapa meter di depan mata. Kali ini, Jayden tidak terus ke hadapan tetapi menyempit ke kiri menyusuri laluan ke Teluk Intan. Lagi lah bertambah berkerut kening Amna. Pertama kali Amna datang ke sini.

Pantas Amna bertanya tanpa memandang pemandu di sebelahnya.

"Kita nak ke mana sebenarnya ni?"

"Ada la..."

"Nak berahsia pula. Cakaplah nak ke mana?" desak Amna memandangkan hari sudah hampir ke pukul 8 malam. Bimbang pun ada setelah sedar dirinya bukan dibawa ke tempat biasa.

Lelaki ini ternyata masih suka memaksa dirinya. Suka hati saja membawanya tanpa bertanya dengannya terlebih dahulu. Sikapnya masih sama seperti ketika mereka mula-mula kenal dahulu.

"Kenapa? Are you still afraid of me? I am not a bad person who broke off from the prison. Remember?"

Amna terkedu di tempatnya. Jayden seolah-olah dapat mendengar rungutan di hatinya.

Amna membulatkan matanya ke atas. Ayat klasik yang pernah digunapakai oleh Jay suatu ketika dahulu membuatkan kisah silam terlayar di memori. Walaupun begitu, Amna masih tidak berpuashati selagi dia belum tahu ke mana dirinya dibawa pergi.

Amna tidak sedikit pun menoleh ke arah lelaki di sebelah. Bibir diketap rapat. Payah bercakap dengan lelaki di sebelahnya itu. Badan lalu dibawa bersandar di tempat duduk. Kedua belah tangan disilangkan ke dada dengan perasaan geram. Boleh sakit jiwa dibuatnya!

Namun ada sedikit resah mula menguasai hatinya walaupun sudah dinyatakan oleh Jayden tadi bahawa dia bukan lelaki jahat yang melarikan diri dari penjara. Hish! Perkataan 'jahat' itu turut membawa trauma besar dalam hidupnya. Baginya, kejahatan ada di mana-mana. Amna kali ini seolah-olah tidak mudah percaya dengan sesiapa lagi kecuali adiknya, Amsyar.

Bagi Amna, bukan lelaki dari penjara saja yang jahat, tetapi lelaki yang tidak pernah masuk penjara pun lebih kurang sama jahatnya. Semua lelaki jahat kecuali Amsyar dan babah! Tengoklah perangai si Ralphael itu. Muka saja nampak baik tetapi apabila di belakang Amna, perangai...macam hantu! Bapak syaitonirojim! Hati Amna membentak rasa kecewa.

Lelaki yang bernama Jayden ini pun sama agaknya. Maklumlah, merekakan kawan karib. Tidak mustahil jika lelaki di sebelahnya ini menunggu peluang melakukan perkara yang sama seperti teman karibnya itu. Atau mungkin lebih teruk lagi, satu suara asing berbisik di hatinya tiba-tiba.

"Astaghfirullah al adzhim..." bisik Amna perlahan serentak dengan itu Amna memejamkan mata. Dia sedar hatinya sudah melalut sehingga tahap mengutuk dan mengeji.

Itu baru mengutuk dan mengeji di dalam hati. Cuba jika berdepan. Pasti bergaduh besar mereka dalam kereta ini. Mujur kutukan dan kejian tidak terlepas daripada bibir. Amna bukan orang yang begitu. Dia akan pendam selagi dia boleh pendam. Biar hatinya terseksa asalkan hati orang lain terjaga. Namun, adakah dia mampu bertahan jika hatinya terus disiat -siat?

Jayden menoleh ke kirinya. Melihat Amna begitu, dia pula jadi risau. Jayden sedar sikap pemendam gadis itu. Mana mungkin gadis itu mahu luahkan apa yang di hati. Segalanya disimpan untuk diri sendiri. Risau jika perasaan Amna terguris dengan kata-katanya. Padah kerana mungkin dia terlepas cakap sebentar tadi.

Rumah Papan Atas BukitWhere stories live. Discover now