chapter 3

552 63 2
                                    

Butang lampu suluh ditekan berkali-kali. Sekejap ditepuk-tepuknya lampu suluh itu mengharapkan ia menyala namun masih juga begitu. Lampu tidak menyala juga.

Amna tidak meneruskan perjalanannya ketika dia tiba di persimpangan jalan masuk ke kampung. Lampu di tangan diperhati dengan kerut di kening. Gundah hatinya. Mulutnya mendesis geram. Dia cuba lagi menghidupkan lampu suluhnya. Hatinya semakin geram apabila lampu suluh itu masih 'mogok' pada waktu-waktu begini.

Amna sebenarnya sudah biasa berjalan kaki dalam gelap tetapi pada malam ini dia rasa sebaliknya. Ada sedikit rasa takut menyelubungi dirinya memandangkan keadaan jalan ke dalam nampak sunyi dan tiada satu pun kereta yang lalu-lalang.

Malam sudah terlalu lewat. Amna mengharapkan Amsyar tidak menunggunya.

Keluh halus terlepas dari bibirnya. Dia berasakan tidak perlu merungut lagi kerana dia sudah tidak punya pilihan. Amna nekad untuk meneruskan saja perjalanannya.

Langkah dihayun laju dengan matlamat agar cepatlah dia sampai ke rumah. Malam-malam begini kemungkinan binatang berbisa lalu di atas jalan tetap ada.

Dalam gelap malam, Amna terpaksa berjalan ke laluan tengah jalan. Belukar di kiri dan kanan jalan sesekali diperhatinya. Bimbang muncul babi hutan atau ular. Amna harus berjaga-jaga.

Amna terpaksa besarkan langkah kakinya. Cahaya suram rumah di atas bukit makin jelas pada pandangannya. Semakin laju lagi kakinya melangkah. Semakin besar langkah kakinya. Sesekali Amna berlari untuk cepat sampai.

Berlari Amna naik ke bukit. Tiba di muka pintu Amna memberi salam. Pintu rumah terus diketuk. Nafasnya turun naik dengan rentak yang laju.

Terdengar bunyi tapak kaki Amsyar dan pintu dibuka.

"Lambat kakak balik. Janji nak belajar sama. " Amsyar mengingatkan kakaknya dengan riak wajah tidak puas hatinya.

Allah... Amna baru teringat. Dahi ditepuk.

"Maafkan kakak..." Amna masuk dan pintu ditutup rapat.

"Tau kakak lambat, baik adik tidur tadi. " balas Amsyar dan terus masuk ke dalam bilik.

Amna tercegat di tengah-tengah ruang rumah sebelum mengekori langkah siadik yang mula merajuk.

Melihat Amsyar baring dan menutup mukanya dengan bantal, nafas berat dilepaskan. Amna perlahan-lahan keluar dari bilik. Kesal. Salah dirinya membiarkan Amsyar menunggu. Biarlah. Esok surutlah rajuknya.

Amna ke belakang untuk membersihkan diri. Pelita dibawa bersama. Setidak-tidaknya, biarlah bilik air kecil di dapur itu terang sedikit.

Tuala di atas penyidai ditarik setelah selesai mandi. Baju kotor pula dimasukkan ke dalam baldi untuk dicuci esok hari. Berlalu Amna ke bilik kecilnya dan di situ dia memakai baju tidur kemudian keluar semula ke ruang hadapan. Bilik tidur Amsyar diperhati seketika sebelum ke ruang belakang semula untuk memindahkan lauk lebihan dari gerai tadi ke dalam periuk.

Ikan tenggiri masak masam manis dan tiga ekor ikan pari bakar. Itu yang dibungkus oleh Pak Ya buat dirinya. Bolehlah buat sarapan dan makan tengahari esok. Fikirnya.

Api dapur dinyalakan dan lauk tadi dipanaskan ke dalam periuk agar esok tidak basi. Sementara menunggu, Amna mengemas ruang dapur yang bersambung dengan tempat mandi. Penat juga tapi dia sudah biasa.

Lauk sudah panas dan api dipadamkan. Amna biarkan dua periuk itu di atas dapur dan terus ke hadapan. Di situ Amna duduk berehat sebelum masuk ke dalam biliknya.

Malam yang sunyi menjadi teman setia saban hari. Bunyi cengkerik bagaikan alunan lagu yang menenangkan. Terasa melayang semua bebanan seharian tadi.

Amna cuba merenung masa depan. Tidak salah jika dia beralah. Biarlah Amsyar didahulukan. Amsyar adiknya dan dia ingin melihat adiknya itu berjaya dalam hidup. Itu tekad Amna.

Rumah Papan Atas BukitWhere stories live. Discover now