chapter 17

418 49 2
                                    

Sudah tiga hari berlalu semenjak Amna discaj dari hospital. Amna tidak dibiarkan melakukan apa-apa kerja rumah sehinggakan dia mula berasa bosan.

Ruang kamar diperhati. Tiada apa-apa lagi yang perlu dikemaskan lagi rasanya. Saat kepala tunduk sedikit,  lilitan barang kemas di pergelangan tangannya menjadi perhatian matanya. Dibelek-belek seketika. Jarinya tiba-tiba terhenti dari membelek. Senyumannya perlahan-lahan muncul di bibir apabila terlihat namanya terukir indah di belakang bentuk hati.  Rohnya seperti terbang melayang apabila satu lagi nama terukir di sisi namanya. Anak matanya boleh cam walaupun ukiran nama yang dipahat itu lebih kecil daripada ukiran namanya. Air jernih yang berkumpul di juring matanya diseka sebelum ia jatuh ke pipi. Awal-awal pagi lagi dia sudah menangis kerana bahagia. Tisu benar hatinya kini. Tisu yang mudah koyak, mudah basah dan  cepat saja ia kering.

Barang kemas yang julung-julung kali dihadiahkan sempena hari jadinya yang ke 23 tahun, rasanya. Bukan. Ini hadiah yang entah ke berapa selain cincin pernikahan, cincin emas putih bertatahkan sebutir berlian yang dia tidak tahu ke mana hilangnya.

Gelang pandora hadiah yang diberikan oleh seseorang ketika dia terbaring lemah di katil hospital tempoh hari itu ditatap. Pemberian daripada seseorang yang cukup dia kenali. Seutas gelang emas putih Pandora dililit oleh seseorang yang telah terpahat kemas di hati. Suka. Siapa yang tidak sukakan barang kemas?

Walau hati gadisnya walang apabila dirinya umpama merenung bulan tinggi di langit. Tidak tercapai dek tangan. Teringin menggenggamnya namun tidak kesampaian. Hati tidak boleh dipaksa untuk mencintai. Hati juga tidak boleh dipaksa untuk dimiliki. Tetapi jika telah pun dimiliki namun hati tetap kosong tidak berjiwa bagaimana? Bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi. Keluhan terlepas jua dari bibirnya.

Puas membelek gelang di tangan, anak matanya menyorot satu lagi pemberian yang diletak di tepi meja di tepi katilnya. Kotak muzik yang comel buat dirinya, dihadiahkan oleh Amsyar tersayang. Amna tersenyum suka saat menerimanya dari tangan Jay. Amsyar, adik yang paling dia sayang dunia akhirat. Sedarah sedaging yang mesti dia jaga sehingga adiknya itu mampu berdikari sendiri.

"Terima kasih adik. Kakak sayang adik." Bisik Amna perlahan.

Nafas dihela perlahan. Beberapa hari ini jiwanya sedikit tenang walau harapannya terlalu tinggi untuk seseorang yang mungkin sedang sarat memikirkannya saat ini. Mungkin. Harapan yang dia sendiri tidak mampu rungkaikan kerana ia berkaitan dengan soal hati.

Amna bangun dan melangkah ke bilik air untuk mandi. Setelah Amna selesai berpakaian, dia duduk mengadap cermin dekat meja solek. Kemudian rambut panjang berkilat yang basah dikeringkan dengan tuala kecil dan dibiar lepas.

Ketukan di pintu buat Amna menoleh.  Tahu itu Amsyar, Amna tersenyum melihat ke pintu.

"Masuklah."

Amsyar menjenguk setelah daun pintu dibuka. Amsyar membalas senyuman Amna. Lega hatinya melihat wajah segar kakak tersayang. Mahu saja dia berlari masuk dan memeluk kakaknya namun kerana Pak Mat dan Makcik Aida sedang menunggu di luar dia hanya menjenguk saja. Hendak cepat katanya.

"Kakak, adik nak ke pekan dengan Pak Mat dan Makcik Aida. Ada nak pesan apa-apa kakak?"

Begitulah Amsyar yang sering tidak lupa akan Amna. Bibirnya tetap terukir senyuman walau sudah tahu keadaan Amna. Lagipun majlis Tahlil akan diadakan esok malam. Sudah tentu Pak Mat dan Makcik Aida akan sibuk membeli barang-barang makanan untuk dimasak keesokan harinya. Hendak ikut sekali tapi dilarang keras oleh Pak Mat dan Makcik Aida.

"Hm...tak apalah adik."

"Kalau macam tu, adik pergi dulu. Jaga diri ya kakak."

Sempat dia meneliti pakaian Amna yang nampak santai mengenakan seluar sukan biru tua dan berbaju T lengan panjang berwarna putih. Kakaknya lebih gemar memakai pakaian ringkas dan selesa begitu.  Rambutnya yang panjang dilepaskan bebas begitu saja. Sesuai dengan bentuk muka yang bujur sirih itu. Kakaknya nampak tidak ubah seperti dalam usia remajanya dengan penampilan begitu.

Rumah Papan Atas BukitWhere stories live. Discover now