Jay memandu perlahan. Gadis di sebelahnya sesekali dilirik. Lembut raut wajah ayunya. Gadis itu dilihatnya sedang asyik memandang ke hadapan tanpa menoleh ke arahnya.
"Dah terima tisu semalam? " soal Jay tiba-tiba.
Tisu? Dahi Amna berkerut. Masih juga matanya ke hadapan sesekali menunduk ke ribanya sendiri memikirkan soalan lelaki itu. Mana ada tisu. Tisu apa? Tisu makan? Tisu tandas? Amna tertanya-tanya. Lelaki ini biar betul!
"Tisu apa, encik? " Akhirnya Amna menjawab dengan pertanyaan juga. Sumpah, gadis itu tidak tahu apa kaitan dirinya dengan tisu yang lelaki itu maksudkan.
Melihat riak keliru Amna, tahulah Jay bahawa gadis itu belum terima apa-apa darinya. Atau gadis itu sudah lupa?
"Forget it. " Malu. Kesal pun ada. Baru sedar kebodohan sendiri. Boleh pula dia titipkan gadis itu tisu yang ditulis nombor telefon serta namanya. Apa kelas! Ingat zaman 70an ke!
Suasana di dalam kereta mula sunyi. Masing-masing membisu. Amna dari tadi lagi menoleh ke luar tingkap. Duduknya pun menjauh, kedua-dua tangannya dikepit di antara pehanya.
Rumah di atas bukit semakin jelas dan dekat. Jay sempat memanahkan pandangannya ke rumah papan dekat kiri jalan di hadapannya. Kaki masih menekan pedal minyak sehingga suara Amna memecah kesunyian.
"Berhenti dekat sini, encik."
"Sini?" Jay kurang pasti melihatkan tiada satu pun rumah di sini. Sekitarnya hanya semak samun dan hutan.
"Ya, ya, encik sini."
Kereta Audi yang dinaiki dibrek sedikit mengejut dan terus dipandu ke tepi jalan.
Jay memberhentikan keretanya sebelum enjin dimatikan. Dia melarikan matanya ke kiri dan kanan. Perasan tiada satu pun rumah yang kelihatan kecuali rumah papan di atas bukit di kirinya. Sisi wajah Amna dipandang sepi. Banyak persoalan tentang gadis ini yang kini mula menjadi perhatiannya.
Melihat Amna terkial-kial membuka pintu kereta, Jay tersenyum. Nampak Amna keliru di situ. Comel. Jay berdehem dan Amna menoleh.
"Macam mana ni...?" Suara halus Amna kedengan berbisik namun cukup jelas menyapa ke telinga pemandu di sebelahnya. Amna masih terkial-kial mencari butang untuk membuka pintu kereta.
Amna ingin keluar tapi pintunya kekal terkunci. Amna cuba buka lagi namun masih juga berkunci. Akhirnya Amna menoleh lagi ke sebelah. Jay tersenyum sambil menarik butang di kanannya. Sengaja dia nak kenakan gadis polos itu.
Kemudian cepat-cepat Amna keluar setelah dilihat senyuman mengusik dari bibir pemandu kereta mewah itu. Sempat Amna jeling sedas lelaki yang cuba mengusiknya itu.
Jay turut keluar dan barang-barang yang disimpan di tempat duduk penumpang dikeluarkan. Amna pula cepat-cepat mengikut lelaki itu dari belakang ingin mengambil barang-barang dari tangannya namun cepat saja Jay mengelak.
"Eh, tak apa encik. Saya boleh bawa. " Tidak mahu nanti dirinya disalah tafsirkan sebagai seorang perempuan yang mengambil kesempatan. Sudah lah lelaki itu yang tolong bayarkan, sekarang dia tolong bawakan naik pula. Sungguh Amna rasa sangat segan dan serba-salah untuk menerima bantuannya.
Amna masih mencuba juga tapi Jay terus berdegil mahu membantu. Apa lagi yang Amna mampu lakukan selain mengeluh perlahan.
Hati batu! Degil! Ikut suka dia je! Amna bebel dalam diam. Lelaki yang baru beberapa jam dikenali. Sikap dia mengalahkan orang yang sudah bertahun-tahun berkawan. Seperti dia sudah kenal sangat dengan Amna.
"Mana rumah awak? " Selamba Jay bertanya setelah kiri dan kanan tangannya menjinjit beg plastik.
Serba-salah Amna hendak memberitahu. Dia bukan kenal pun lelaki ini. Perasaan bimbang mula membalut hatinya. Pesan arwah ayahnya supaya tidak membawa orang luar masuk ke dalam rumah masih tersemat dalam ingatan. Lebih-lebih lagi orang lelaki asing seperti lelaki di depannya ini. Jangan mudah percaya. Lelaki ini bukan orang yang dia kenal, jadi dia mengambil keputusan dengan berdiam.
YOU ARE READING
Rumah Papan Atas Bukit
General Fiction"Cahayanya datang tiba-tiba, menyuluh sinar ke dalam ruang hatiku yang suram..." Kisah dua beradik yang hilang tempat bergantung. Bagaimanakah cara mereka berdikari tanpa sokongan orang yang bernama ibubapa? Sikap tabah dan sabar, redha dan kuat s...