Rumah Kosong

2.6K 28 5
                                    

Nasi yang baru sahaja ditanak basi dan berulat. Rumah pula diganggu dengan bunyi-bunyi yang menakutkan. Bila pulang, rasa diri diperhatikan.

***

Aku membawa dua orang pembantu untuk membantu aku merawat di rumah Aswad.

Setiba di kawasan rumah Aswad, aku tidak jumpa rumahnya. Puas aku berpusing untuk mencari rumahnya, namun tidak jumpa. Aku mahu pulang kerana fikirku aku dipermainkan olehnya. Namun begitu, Aswad tidak berputus asa. Dia menunggu aku di luar rumah. Akhirnya, aku menemukan rumahnya.

'Cis, aku dipermainkan syaitan!'

Sebelum aku masuk ke dalam rumah, aku meminta izin daripada Aswad untuk meninjau persekitaran rumahnya terlebih dahulu. Bunyi cengkerik menghiasi suasana malam. Peluh dingin memercik di dahiku. Usai mengesan energi-energi negatif di luar, barulah aku masuk ke dalam rumah Aswad. Getaran negatif terlalu kuat sehinggakan meresap ke tulang sulbiku.

Aswad sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Perkara pertama yang dimintanya ialah merawat isteri dan anak-anaknya yang sering diganggu sehingga mereka kerap melihat kelibat di dalam rumah.

Dipendekkan cerita, selesai sahaja sesi ruqyah pada anak-anak Aswad, aku baru sahaja ingin memulakan sesi ruqyah pada isterinya, isterinya sudah kerasukan. Isterinya meracau-racau dalam bahasa yang aku tidak faham.

Aku meminta dua pembantuku untuk memeriksa rumah Aswad di bahagian atas. Ketika itu, aku sedang merawat isteri Aswad. Habis tercarik jubahku dek dicakar oleh isterinya. Aku tidak banyak bercakap. Aku meneruskan rawatan dengan membuang segala anasir negatif, lalu menutup dengan doa syifa. Aku menyuruh Aswad membasuh muka isterinya dengan air syifa yang aku buat. Lalu menyuruh isterinya mengucap. Alhamdulillah, selesai urusan isteri dan anak-anak Aswad.

Selesai urusan keluarga Aswad, aku cuba memulihkan keadaan rumahnya pula. Aku meminta Aswad untuk bercerita perihal rumahnya. Kata Aswad, dahulu rumah ini penuh dengan semak samun. Hampir tiga tahun rumah ini tidak berpenghuni. Dia bersetuju untuk tinggal di rumah ini kerana harga sewanya murah dan ejen tidak meletakkan deposit terlalu tinggi.

Di dalam rumah Aswad, terdapat sebuah bilik yang dibiarkan kosong. Aku berasa aneh, lalu bertanya, "Mengapa bilik itu dibiarkan kosong?"

Lalu dia menjawab, "Bilik tu kalau orang duduk atau masuk letak barang, mesti ada yang kena kacau. Seperti ada penghuni lain yang menghuni bilik tu."

Aku meminta seorang pembantuku melaungkan azan di empat penjuru bilik itu. Manakala seorang lagi melaungkan azan di ruang tamu di bahagian atas. Tiba-tiba, ketika laungan azan sedang berkumandang, terdengar seperti ada benda yang berlari-lari di atas siling. Bukan itu sahaja, bunyi dengusan kencang juga kedengaran dari dalam bilik yang pembantu aku sedang azan. Selang beberapa minit kemudian, terdengar pula bunyi salakan anjing yang kuat dan bersahut-sahutan di luar rumah.

Aku mengambil masa sejenak untuk melihat perkara sebenar yang mengganggu rumah ini. Setelah bertafakur untuk beberapa detik, tergerak hatiku bertanya pada Aswad, "Bang, waktu abang masuk dalam rumah ni, ada benda-benda yang pelik tak kat dalam bilik ni?"

"Bilik ni nak kata pelik memang pelik, bang. Pintu berkunci, siap ada kertas-kertas yang bertampal dekat pintu. Saya tak fikir panjang masa tu. Saya pecahkan pintu ni. Dekat dalam bilik ni, terkejut saya, bang. Ada bangkai ular dan ada tempat bekas abu, tak tahu pula untuk apa tu. Jadi, semua barang-barang yang ada dalam bilik ni saya dah buang termasuk sekali dengan bangkai ular (lengkap dengan kulit ular)."

Sekali lagi aku bertafakur. Aku melihat gambaran seorang dukun yang sedang melakukan ritual pemujaan. Lalu, aku menyuruh seorang pembantuku mengeluarkan air dari 7 kolah masjid yang berada di dalam kereta. Ketika pembantuku keluar dari rumah Aswad, tiba-tiba ada seekor ular yang entah dari mana, membelit di tiang pagar rumah Aswad. Pembantuku lekas masuk ke dalam rumah, khuatir sekiranya dipatuk ular itu.

Selesai pembantuku meletakkan bekas-bekas air dari 7 kolah masjid itu, aku lekas membaca Surah Jin dan beberapa ayat dari surah Al-Baqarah serta menunaikan solat sunat hajat untuk memudahkan segala urusan pembersihan dan pemagaran rumah Aswad.

Aku menyuruh pembantuku memasukkan air ke dalam bekas spray untuk disembur ke sekeliling penjuru dinding rumah Aswad. Ketika itu, barulah aku ternampak ada lakaran di dinding-dinding rumahnya.

Kini, aku mengerti punca gangguan-gangguan di rumah Aswad. Rupa-rupanya rumah itu merupakan bekas rumah dukun. Segala lakaran tidak dihapuskan, hanya ditutup dengan cat sahaja.

Aku meminta pahat dan penukul daripada Aswad.

"Pahat tak ada, bang. Penukul sahaja yang ada," kata Aswad.

"Pakai je la apa yg ada. Ketuk screwdriver dengan penukul."

Sedang kami kikis, tiba-tiba seorang pembantuku tersembur darah dari mulutnya. Parah! Aku menyuruh dia duduk membelakangi aku. Aku cuba memulihkan keadaannya. Aku menyuruhnya beristighfar dalam hati agar tidak terlari pegangan bahawa menyembuhkan itu adalah Allah.

Usai memulihkan pembantuku, aku menyuruh dia mengambil wudhuk. Kemudian, menyambung tugas mengikis lakaran-lakaran yang tertangguh akibat gangguan kecil itu tadi. Ketika asyik mengikis, Aku terdengar bunyi tangisan dan hilaian seorang perempuan. Bunyi itu kedengaran dari sebuah bilik yang dahulunya digunakan oleh dukun untuk melakukan ritual pemujaan. Aku masuk ke dalam bilik itu, lalu terlihat satu lembaga perempuan yang membongkok sehinggakan wajahnya ditutupi rambut.

"Assalamulaikum," ucapku. Salamku dibalas dengan tangisan dan hilaian.

"Apakah aku dan rakan-rakanku menyakiti kamu?" soalku pula. Tangisannya semakin kuat.

"Apakah kehadiran kami mengganggu bangsa kalian yang menghuni di sini?" soalku lagi.

"Aku ditinggalkan di sini setelah tuan aku mati. Aku tidak mengganggu kalian. Tetapi kenapa kalian mengganggu kami?"

"Aku pindahkan kalian berjauhan dari bangsa manusia. Dan aku hendak kalian berjanji bahawa kalian, bangsa jin tidak akan mengganggu lagi anak cucu Nabi Adam. Aku minta dengan cara yang lembut kerana sebelum adanya manusia, bangsa jin diciptakan terlebih dahulu. Dengan isyarat yang aku pandukan, aku minta kalian ikut dan pergi menuju tempat yang aku tunjukkan. Aku pinta pada Allah agar diletakkan jin-jin yang menghuni rumah ini pergi ke tempat bangsa mereka. INNAHU MIN SULAIMAN WAINNAHU BISMILLAHIRROHMANIRROHIM."

Usai urusan aku dengan jin-jin itu selesai, pembantu aku juga sudah selesai mengikis lakaran-lakaran yang ada pada dinding-dinding rumah itu. Kemudian, aku menyuruh mereka menyembur air dari kolah masjid dan dibuat dua lapisan. Anehnya, ular yang berada di pagar luar rumah sudah hilang. Hanya bangkai ular sahaja yang tinggal.

Selesai segala urusan pemagaran, aku menunggu sehingga waktu solat Subuh. Aku meminta izin daripada Aswad untuk melakukan solat berjemaah di rumahnya kerana sewaktu aku masuk ke dalam rumahnya, tidak ubah seperti aku melalui perkarangan kubur di malam hari; suram, yang tiada sinaran nur.

"Saya harap Encik Aswad hidupkan rumah ini dengan zikrullah. Keraplah membaca al-quran kerana rumah yang tidak didengari bacaan al-quran, tidak ubah seperti hidup di dalam kubur yang gelap-gelita tanpa sinar cahaya," tarbiahku pada Aswad.

"Jika boleh, hidupkanlah rumah ini dahulu, baru dihuni. Jangan sewenang-wenangnya tinggal di rumah kosong, kerana kita tidak tahu siapa yang menghuni rumah ini. Lakukan solat di rumah ini dulu, dihiasi dengan bacaan al-quran selama tiga hari, kemudian barulah kalian tinggal di rumah ini."

Alhamdulillah, tiada lagi gangguan di rumah itu. Solat Subuh kami pun berjalan dengan lancar. Kami pulang setelah segala urusan selesai.

Sehingga kini Aswad sekeluarga masih tinggal di situ. Dan Alhamdulillah, tiada gangguan setelah pemagaran rumah itu dilakukan.

TAMAT

Sumber : AKU SANG PENDOSA

12 Kisah SeramWhere stories live. Discover now