Makmum

600 4 0
                                    

Amir pulang lewat malam itu kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan di pejabat. Gara-gara itu, keesokannya, dia hampir terlepas solat fardhu Subuh. Dia tersedar dari tidur apabila terasa seseorang menggoncang kakinya. Dalam keadaan separuh sedar, dia terlihat kelibat seorang wanita berjalan keluar dari kamar tidurnya.

"Mak, kot," getus hati Amir sambil mencapai telefon yang diletakkan di meja sisi di tepi katil. Dia melihat jam yang terpapar di skrin telefon bimbitnya.

"Ya Allah, dah pukul 6.30 pagi," keluh Amir. Cepat-cepat dia bangun lalu ke kamar mandi untuk mengambil wuduk bagi menunaikan kewajipannya kepada Sang Pencipta.

Selesai mengambil wuduk, Amir segera menuju ke kamar solat. Anehnya, lampu kamar itu sudah terpasang. "Mungkin mak lupa nak tutup kot," fikir Amir.

Tanpa lengah, Amir segera masuk ke dalam kamar solat. Langkah yang cepat bertukar kecil tatkala melihat ibunya ada di dalam. Ibunya itu sedang berzikir dengan tasbih berlingkar di jari-jemari. Amir bergerak ke saf hadapan untuk menunaikan solat fardhu Subuh. Namun, dia berasa aneh apabila ibunya turut berdiri di belakangnya untuk menunaikan solat.

"Dah lewat ni... Takkan mak tak solat lagi... Bila masa pulak mak tunggu aku solat sekali?" Amir mengomel dalam hati. Tanpa membuang masa, Amir menenangkan jiwa dan mengosongkan minda untuk menumpukan sepenuh perhatian ketika menunaikan solat.

Namun begitu, ketika Amir sedang membaca tahiyat akhir, tiba tiba dia terdengar suara orang berbisik dari arah belakang. Semakin lama suara itu semakin kuat. Kemudian, terdengar suara hilaian pula. Bacaannya terganggu dek kerana bunyi-bunyian itu. Bulu romanya merinding. Hatinya mulai bimbang.

Namun begitu, Amir tetap meneruskan bacaannya. Ketika menoleh ke kanan untuk salam yang pertama, dia mengerling sekilas ke arah belakang. Dia terkejut bukan kepalang apabila melihat 'sesuatu' duduk terangguk-angguk di belakangnya. Dia menjerit dan terus berlari dari kamar itu tanpa salam kedua.

Terdengar jeritan Amir, pantas ibunya yang asyik memasak di dapur berlari mendapatkannya. Apabila dia sudah dipegang oleh ibunya, Amir meronta-ronta ingin melarikan diri. Dia tidak pasti samada yang memegang tangan itu ibunya atau sebaliknya.

PAP!

Puan Asnah menampar pipi kanan Amir sekuat hati, cuba untuk menyedarkan anak terunanya.

"Ah! Sakit, mak!" adu Amir sambil mengusap-usap pipi kanannya.

"Yang kau terjerit-jerit macam kena histeria ni, kenapa? Terkejut mak tau," balas Puan Asmah.

"Mak... dalam bilik sembahyang, ada hantu," kata Amir separa berbisik.

Mendengar perkataan 'hantu', hati Puan Asmah dicuit rasa takut.

"Mana? Tunjuk kat mak." Walaupun dirinya berasa takut, namun Puan Asmah mahu melihat makhluk halus itu.

Mereka menjenguk ke dalam kamar solat, namun bilik itu kosong. Mereka juga melihat telekung Puan Asnah tergantung elok pada ampaian.

"Dah tak ada, mak," kata Amir perlahan.

Semenjak kejadian itu, Amir dan Puan Asnah menunaikan solat fardhu Subuh bersama-sama. 

TAMAT

Sumber : Ridhuan

12 Kisah SeramWhere stories live. Discover now