Pelaris

1.1K 12 0
                                    

Malam ini, aku tiada temu janji untuk merawat orang. Namun begitu, tiba-tiba, aku didatangi sebuah keluarga yang membawa seorang pesakit bernama Faiz.

Aku melihat keadaan Faiz ini seperti manusia normal, namun keluarganya berkata Faiz mengalami tekanan jiwa yang amat dahsyat. Bisnesnya jatuh mendadak. Tubuhnya susut dan hilang kudrat untuk ke tempat kerja.

Aku mulai sesi ruqyah setelah bertanya beberapa soalan. Sewaktu sesi ruqyah berjalan, tiada apa-apa reaksi yang kulihat. Jadi, aku memberi Faiz makan madu yang telah dicampur dengan beberapa makanan sunnah yang lain.

Ketika ini, Faiz memberi reaksi seperti ingin memuntahkan sesuatu. Aku memberi baldi kepadanya yang sememangnya aku telah sediakan untuk pesakit-pesakit yang datang untuk dirawat. Ketulan-ketulan darah beku terbit dari mulut Faiz. Hatiku tergerak untuk ke kedai makan Faiz. Faiz berniaga western food di SS 15 (sekarang dah tutup).

Aku bertanya kepada keluarga Faiz, "Ada apa-apa perkara pelik yang berlaku pada Faiz, tak? Dan Faiz pernah berubat dengan sesiapa ke sebelum ini?"

"Sebelum ini ada minta buat air jela dengan beberapa ustaz... Tapi makin parah pulak si Faiz ni. Kata Faiz, hidungnya berbau hanyir. Bila mandi dengan air yang ustaz tu buat, kepala dia terasa macam kena cucuk ngan jarum."

"Oo.. mungkin tindak balas la tu..."

Keesokan harinya, selepas Asar, aku tiba di kedai makan Faiz. Lama aku perhatikan kedai makannya dari luar. Seperti ada sesuatu yang menghalang penglihatan, walhal pekerja-pekerja Faiz kelihatan sibuk.

Terasa bahang keluar menerpa diri apabila aku masuk ke dalam kedai makan. Bukan itu sahaja, aku turut terasa diperhatikan oleh sesuatu. Suara hatiku berkata bahawa kedai makan Faiz seperti ada pelaris. Aku hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dituduh membuat andaian meluru.

Faiz mempelawa aku menjamu selera dahulu sebelum memulakan sesi memulihkan kedai makannya. Dia menghidangkan sejenis western food kepadaku. Selesai membaca doa makan dan bismillah lima, aku memotong ayam. Tiba-tiba terdapat kesan darah pada ayam itu. Rupa-rupanya ayam itu masih mentah. Faiz beriya mengatakan bahawa ayam itu direbus terlebih dahulu. Jadi, mustahil ayam itu masih mentah dan ada darah.

'Belum apa-apa lagi dah kena uji ni,' getus hatiku.

Memandangkan di dalam kedai makan itu hanya tinggal pekerja-pekerja Faiz sahaja, maka aku meminta mereka untuk berkumpul.

"Ada benda-benda pelik tak berlaku kat kedai ni?" soalku setelah mereka berkumpul.

"First, selalu ada bangkai tikus mati kat dapur seperti dimakan sesuatu. Lepas kerap tikus mati, ada 3 ekor bangkai burung gagak mati dekat dalam exhaust fan. Kemungkinan kebetulan. Terakhir, selepas 2 minggu, ada bangkai monyet dekat depan kedai," jawab seorang pekerja Faiz.

Aku sudah tidak mampu menahan diri. "Faiz, saya nak awak jujur ngan saya. Ada tak sesiapa offer awak untuk pagar kedai ke nak bagi pelaris ke amal apa-apa ke?"

Zupps!

Ada angin lalu di sebelah kiriku. Lantas aku memandang ke arah satu sudut, di mana angin itu hilang. Muncul satu makhluk. Ia sedang mengintaiku.

"Ada, bang. Dalam 3 bulan lepas, ada seorang mak cik datang. Katanya kedai saya disihir. Kebetulan, ramai pekerja saya sakit aritu. Paling teruk, ramai tak lekat bekerja ngan saya. Jadi, saya percaya bulat-bulat kata mak cik tu memandangkan saya tak ada pengalaman dan ilmu dalam bidang ni. Kenapa, bang? Ada benda yang tak kena ke?" Faiz menjawab soalanku.

"Faiz... ada apa-apa barang ke yang dia bagi? Dan ada benda-benda pelik tak dia minta? Tolong cerita secara terperinci. Kalau tak, susah saya nak bantu awak."

"Kejap, bang. Saya kumpulkan barang-barang yang dia bagi pada saya dulu," balas Faiz.

Faiz segera mengumpulkan barang-barang tersebut. Tahi besi di setiap penjuru kedai, kulit kijang putih yang sudah diwafak, dan beberapa botol yang berisi dengan minyak. Terdapat juga beberapa amalan yang perlu dilakukan.

"Barang-barang ni untuk apa?" soalku walaupun aku sudah tahu kegunaannya.

"Mak cik tu kata ini untuk pendinding daripada sihir dan wafak ini untuk kekebalan saya sebagai usahawan. Minyak-minyak itu pulak sebagai pelaris."

"Allahuakbar!" Aku menepuk dahi.

"Faiz.. zaman dah maju. Yang awak percaya benda-benda kolot ni, kenapa? Ini semua syirik," kataku.

Faiz menunduk.

"Tapi saya musykil. Kalau kata barang-barang ni untuk pagar kedai dan pelaris, kenapa ada gangguan? Ada pantang larang yang awak langgar ke?"

"Semua yang disuruh, saya dah buat, bang. Cuma ada dua perkara je saya tak buat. Pertama, duit untuk korban kambing. Kedua, ada amalan yang saya perlu buat tapi saya tak buat. Silap saya, bang. Saya bagi mak cik tu tinggal dalam kedai saya ni dalam seminggu. Entah apa yang dia buat ngan kedai saya ni... Saya dah tak ada duit dah, bang. Satu sesi, saya kena bayar 3 ribu. Jadi, saya hold dulu. Sebab tu keadaan saya makin teruk. Saya susah nak keluar rumah. Hidup saya dalam ketakutan. Mak cik tu ada cakap ngan saya, semua padah saya kena tanggung."

"Macam ni la, Faiz. Kita letak tepi dulu perihal mak cik tu. Kita pulihkan keadaan kedai ni dulu. Saya nak ke masjid dulu, ambik sebaldi air dari sana."

Malam itu, selepas Isyak, Faiz tutup awal kedai makannya untuk memberi ruang kepadaku. Aku membancuh air yang diambil dari masjid dengan pati minyak syifa yang kubuat. Kemudian, aku meminta garam dan lada hitam (lada hitam untuk menyerang dan menghalau makhluk halus manakala garam untuk pemagaran). Aku melempar lada hitam dan diikuti dengan garam di seluruh kedai makan Faiz.

"Tunggu dua, tiga jam, baru sapu dan mop dengan air yang saya bancuh ni. Letak sekali pencuci pun tak ada masalah." Sementara menunggu, aku meminta mereka membaca surah Al-Baqarah supaya kedai makan itu dihiasi dengan bacaan al-quran.

Terdengar bunyi dari arah dapur seperti orang sedang membuat sesuatu walhal semua pekerja ada bersama denganku. Setelah tiga jam berlalu, lada hitam dan garam disapu. Kemudian, lantai dimop.

"Faiz, balik ni, saya nak awak lakukan solat sunat taubat. Dalam tak sedar, awak dah syirik kepada Allah. Jadi, ini pengalaman awak untuk menjadi lebih baik selepas ini," pesanku.

"Kalau awak nak, dalam al-quran penuh dengan ayat-ayat untuk menambah rezeki. Jika rezeki terasa sulit, perbanyakkan sedekah. Jangan tunggu kaya, baru nak bersedekah. Mula dari sekarang. Saya kongsi sedikit amalan untuk kegunaan bersama.

1) Selawat ke atas Nabi 44 kali sebagai pembuka amalan.

2) Ayat seribu dinar 100 kali.

3) Selawat ke atas Nabi 44 kali sebagai penutup amalan," tambahku lagi.

Alhamdulillah, tiga minggu kemudian, kedai makan Faiz kembali pulih seperti sediakala. Sebelum mak cik itu datang, kedai makan Faiz pernah masuk dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan.

Berkat rezeki daripada Allah, Faiz mendapat peluang yang lebih baik di Perak. Jadi, dia berpindah ke sana.

***

Akhir kata, jika kita memerlukan sebarang pertolongan, mintalah pada Allah. Jangan sesekali bersandar pada makhluk-Nya. Boleh jadi orang yang ingin membantu itu hanya menambah perasa bagi kesulitan yang kita alami. Waallahu'alam.

TAMAT

Sumber : AKU SANG PENDOSA

12 Kisah SeramWhere stories live. Discover now