0 3

417 19 0
                                    

Dia memandu kereta selaju yang boleh. Panggilan daripada kakaknya memberitahu bahawa ayah mereka masuk hospital membuatkan dirinya tidak keruan.

Sampai sahaja Qaisar Zuhayr di hospital itu, dia berlari anak menuju ke pintu hospital itu untuk melihat ayahnya secepat yang mungkin.

Namun, langkahnya terhenti tatkala dia melihat wanita yang sedang menundukkan badannya di longkang dan memuntahkan apa jua yang berada di dalam perutnya.

Qaisar berasa bersalah untuk mengabaikan sahaja wanita yang keseorangan itu lalu dirinya mendekati wanita itu.

"Cik tak apa-apa ke?"

Soalannya tidak dibalas apabila wanita itu muntah tidak berhenti dari tadi. Simpati akan keadaan wanita itu, Qaisar terasa ingin membantunya.

Telapak tangannya menghampiri belakang badan wanita itu, masih teragak-agak untuk meneruskan tindakannya yang dirasakan tidak sopan itu.

Namun, melihat keadaan wanita itu yang masih sama membuatkan dirinya mengosok belakang wanita itu. Dia tahu tindakannya itu tidak manis, namun niatnya hanya untuk memberi pertolongan dan tidak lebih dari itu.

Air mineral miliknya dihulurkan ke arah wanita itu, berharap agar dapat melegakan rasa mual yang dialaminya.

"Nah, minum air ni," suruh Qaisar.

Wanita itu hanya menuruti kehendak Qaisar lalu meneguk air miliknya itu.

"Cik boleh ke balik ni? Kalau tak saya boleh tumpangkan," pelawa Qaisar yang risau akan keadaan wanita itu.

Pelawaannya itu sepertinya diabaikan oleh gadis itu. Wanita itu yang dari tadi menunduk kini memandang kawasan hadapannya, matanya tertumpu di sebuah kereta yang berhenti tidak jauh dari mereka.

"Terima kasih," ucap wanita itu lalu terus melangkah meninggalkan Qaisar bersendirian.

"Cik!"

Panggilan Qaisar itu tidak dihiraukannya. Wanita itu masuk ke dalam kereta tanpa sekali pun mengalihkan pandangannya ke arah Qaisar, meninggalkan jejaka ini dalam keadaan terpinga-pinga.

• • •

"Ayah okay tak ni? Macam mana boleh kena darah tinggi ni?" soal Qaisar kerisauan.

"Ayah bosanlah duduk terperap je dekat rumah kakak kau ni. Itu yang ayah stres tu," jawab Encik Manan memberi alasan.

"Apa yang nak stresnya ayah? Duduk rumah akak tak payah buat kerja, yah. Tidur makan aje,"

"Itulah yang ayah stres tu. Nak keluar pun tak boleh, kalau kat kampung bolehlah ayah bercucuk tanam. Ha, ayam dengan itik ayah dekat kampung pun dah seminggu kena tinggal. Apalah agaknya ayam dengan itik ayah tu makan,"

"Abang ni banyak sangat berfikir. Kan abang dah upah Jalil untuk jaga ternakan abang tu," kata Puan Asiah, isteri lelaki berusia 50-an ini.

Encik Abdul Manan lebih selesa tinggal di kampung walaupun telah beribu kali Qaisar mengajak orang tuanya ini untuk tinggal bersamanya. Kehijauan kampung di mana tempat dia membesarkan kedua-dua orang anaknya ini menjadi pilihan untuk menghabiskan sisa hidupnya di sana.

Anak-anaknya ini dibesarkan dalam keadaan hidup yang sederhana, namun berkat usaha dan penat lelah Qaisar membuatkan dirinya berjaya membina empayar sendiri di usia muda.

"Kalau ayah dah rindu sangat dengan ayam dengan itik ayah tu, ayah kena cepat-cepat sihat, nanti akak dengan Syakir hantar ayah dengan umi balik kampung ya," ujar Raudah, anak sulung pasangan ini.

Menagih Kasih DarimuWhere stories live. Discover now