1 4

322 19 3
                                    

Pada mulanya Sahara masih berasa janggal berhadapan dengan Qaisar memandangkan dia sudah terbiasa dengan hubungan formalnya bersama bekas majikannya ini.

Namun, lama kelamaan dia mula berasa selesa memandangkan Qaisar yang berada di hadapannya ini juga berbeza dengan Qaisar yang dikenalinya sebagai majikan dulu.

Jejaka ini seakan lebih mesra dan tenang berbanding di tempat kerja membuatkan Sahara dapat menyelesakan dirinya di sisi jejaka ini.

"Macam mana pertama hari kerja? Okay?" soal Qaisar ingin tahu.

"Alhamdulillah, okay. Biasalah hari pertama masih tak cekap lagi dengan tempat kerja baru, tapi lama-lama nanti okaylah," balas Sahara sambil melemparkan senyuman nipis.

"Papa," panggil Fiyadh.

"Ya, Fiyadh?"

"Fiyadh nak makan ais krim boleh tak?" pinta anak kecil itu.

"Papa on je. Tapi Fiyadh kena tanya mama boleh ke tak," balas Qaisar.

"Boleh ke mama?"

"Dah malam ni sayang. Lagipun sekarang ni sejuk, nanti Fiyadh sakit macam mana?" Mendengar kata-kata Sahara itu membuat Fiyadh mencebik, kecewa kerana tidak dapat persetujuan daripada mamanya.

Sahara memegang tangan kecil anaknya, cuba memujuk Fiyadh yang sudah merajuk.

"Okay, mama janji esok petang kita makan ais krim dekat taman. Nak tak?"

"Nak! Nak!" Fiyadh sudah teruja dengan cadangan Sahara.

"Kalau papa nak join sekali boleh?"

"Mestilah boleh!" jawab Fiyadh keriangan.

Bibir Sahara mengukirkan senyuman tatkala melihat anaknya gembira. Kini, pandangannya beralih pada Qaisar yang turut sama memandangnya. Mereka saling membalas senyuman lalu mengembalikan fokus mereka kepada Fiyadh.

• • •

Qaisar berjalan beriringan dengan Sahara, menemani wanita itu pulang ke apartmentnya. Tangannya yang mendukung Fiyadh yang lena diperkemaskan untuk memastikan anak kecil itu selesa bersandar di atas bahunya.

"Terima kasih sudi keluar dengan kita orang hari ni," ucap Sahara.

"Tak ada apa-apalah. Saya yang patut berterima kasih dekat awak sebab sudi makan malam hari ni dengan saya."

Sampai sahaja di hadapan pintu rumah itu, Sahara membuka kunci mangga itu lalu tangannya disuakan untuk mengambil Fiyadh daripada dukungan Qaisar. Namun, tindakannya itu ditolak oleh Qaisar.

"Mana bilik Fiyadh?" soal Qaisar ingin tahu.

"Ermm, bilik yang pertama."

"Boleh saya masuk?" pinta Qaisar.

Sahara hanya mengangguk lemah. Tanpa menunggu panjang Qaisar terus masuk ke dalam rumah tersebut, menuju ke arah bilik Fiyadh untuk meletakkan Fiyadh yang sudah tertidur.

Sahara hanya memerhati dari muka pintu sehinggalah jejaka itu kembali ke hadapan rumah itu lalu memakai semula kasutnya.

"Kalau tak ada apa-apa saya pergi dulu," ujar Qaisar meminta diri.

Sekali lagi Sahara membalas dengan anggukan.

"Qaisar." Baru sahaja Qaisar ingin membuka langkah namanya disebut oleh Sahara membuatkan jejaka itu berpaling.

"Kenapa?"

"Saya... nak minta maaf kalau saya dengan Fiyadh menyusahkan awak."

Qaisar tidak membalas namun jelas kelihatan kerutan di dahinya menunjukkan dirinya tidak mengerti dari mana datangnya sebab wanita ini memohon maaf kepadanya.

Menagih Kasih DarimuWhere stories live. Discover now