0 5

363 19 1
                                    

"Bos nak buat spotcheck!" jerit seorang wanita yang tergopoh-gapah berlari masuk ke arah hotel itu.

Mendengar kata-kata itu membuatkan hampir kesemua pekerja di hotel itu kelam kabut mengemas kawasan di sekitar mereka.

Keadaan Hotel Grandeur itu menjadi sangat sibuk tatkala semua pekerja di situ ingin memastikan kawasan sekitar hotel itu kelihatan kemas dan teratur.

Kedatangan pemilik hotel itu disambut oleh pekerja-pekerjanya. Penyambut tetamu, tukang cuci termasuk chef berada di kawasan utama hotel itu memandangkan hari ini adalah hari pemeriksaan hotel tersebut.

Mereka tidak dibenarkan berada di kawasan tempat kerja mereka sehinggalah pemeriksaan tamat, hanya ketua setiap jawatan sahaja yang dibenarkan berada di sisi Qaisar ketika dia melakukan pemeriksaan ini.

Pemilik hotel ini akan melakukan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan keadaan hotel itu sentiasa bersih dan menepati kriteria yang telah ditetapkan olehnya.

Restoran adalah destinasi pertama yang ditujunya bagi memulakan pemeriksaan hotel ini.

Chef dan pelayan sudah tidak keruan, khuatir jika ada sesuatu yang tidak kena di dapur dan meja-meja pelanggan itu.

Jarinya disentalkan di setiap satu meja di restoran itu bagi memastikan tiada habuk atau kesan minyak yang berada di permukaan meja tersebut.

Setiap satu alat memasak diperhatikannya dengan teliti sehinggalah matanya memerhati tajam ke arah satu senduk yang berada di tangannya.

Terdapat sedikit kesan minyak yang dapat dikesan oleh Qaisar membuatkan ketua chef yang berada di sisinya berdebar-debar.

"Bersihkan semula semua peralatan memasak."

Tanpa membantah, ketua chef itu hanya mengangguk tanda mengerti.

Tangannya dimasukkan kembali ke dalam poket seluar sambil dirinya menuju ke arah kawasan bilik hotel.

Qaisar masuk ke beberapa bilik hotel secara rawak, memastikan setiap inci bilik itu bersih dan tersusun rapi.

Sehelai tuala yang berada di dalam almari di ambil oleh Qaisar lalu dihulurkan kepada ketua tukang cuci yang berada di sisinya.

Dia mendapati lipatan tuala itu tidak sekemas yang dia mahukan.

"Lipat semula semua tuala di semua bilik hotel," arah Qaisar.

"Baik tuan," jawab wanita berusia 30-an itu sambil mengangguk.

Tingkap bilik itu dikesat olehnya, cuba mengesan sekiranya ada kesan habuk pada tingkap itu.

"Bagus, tingkap bersih." Pujian daripada Qaisar itu membuatkan wanita itu lega.

Usai sahaja aktiviti pemeriksaan, Qaisar kembali ke ruang utama hotel itu untuk berjumpa dengan semua pekerjanya.

Dia memerhatikan setiap pekerjanya, memastikan pakaian mereka dalam keadaan bersih. Tidak sehingga dia berhenti di hadapan salah seorang pekerja lelakinya yang bertugas sebagai penyambut tetamu.

Melihat lelaki itu juga terkebil-kebil memandang Qaisar membuatkan jejaka itu mengeluh sebelum dia bersuara.

"Mana tag nama awak?"

"Oh! Ada!" Cepat-cepat dia mengeluarkan tag namanya daripada poket dan dipinkan di atas poket kemejanya.

Kini matanya tertumpu pada seorang wanita yang merupakan pembantu chef. Wanita itu sudah tidak keruan, tidak pasti apa kesalahan yang telah dilakukannya.

"Mana jaring sanggul awak? Awak tahukan apa yang akan jadi kalau sehelai rambut awak masuk dalam makanan pelanggan?" soal Qaisar dengan nada mendatar.

"Maaf tuan! Jaring sanggul saya ada dekat loker," beritahu wanita itu.

Menagih Kasih DarimuWhere stories live. Discover now