1948
---
"Lu Han!"
Kakinya berlari membawa rasa ingin tahu. Bahu sahabatnya dipegang dengan tercungap-cungap. Lu Han yang sentiasa bersama sebuah beg dipikul di bahu memandang dengan lagak bingung. Laluan dewan kuliah yang lengang menjadi pendengar mereka. "Ada apa, Xiumin?"
"Benarkah apa yang aku dengar? Yang kau akan dijodohkan dengan anak gadis keluarga Zhang?" Senyuman Xiumin makin melebar, gembira mendengar berita itu.
Dengan lagak samseng, Lu Han seakan mengugut apabila dia mencengkam kolar baju kemeja Xiumin. Mukanya membuat mimik angkuh. "Dari mana kau mengetahuinya? Beritahu aku."
Tak lama kemudian, Lu Han kembali meleraikan cengkaman sambil tersengih dek reaksi Xiumin yang sudah cuak. Lu Han memang suka bergurau sebegitu.
"Tadi, aku terdengar perbualan pembantu-pembantu yang lain. Benarkah Lu Han?" tanya Xiumin, berhati-hati.
Senyuman Lu Han mengecil, "Orang tua aku belum pastikan lagi. Mungkin hanya khabar angin. Mungkin juga ia benar. Aku sendiri tak pernah berjumpa dengan gadis itu."
Bahu Xiumin ditepuk sebelum Lu Han menyambung langkah. Dia juga sebenarnya terfikir tentang berita itu. Jika benar, mengapa keluarganya belum lagi berbincang dengan dirinya.
Jujur, dia tidak mahu mengahwini bakal isterinya melalui perkahwinan yang diatur. Tidak kesiankah pada perasaan gadis itu yang disuruh berkahwin dengan lelaki yang tak pernah dia kenali? Bagaimana jika gadis itu tidak menyukai dirinya?
Namun bagi Lu Han, dia sudah berjanji untuk dedikasikan cinta hanya untuk bakal isterinya dan akan cuba untuk mencintainya walaupun sehari saja tempoh mereka bertemu. Kerana itu, Lu Han mungkin akan bersetuju saja dengan aturan orang tuanya.
"Lu Han! Aku mahukan kesahihan!" Xiumin kembali berlari mengejar Lu Han yang berjalan tenang. "Beritahulah aku!"
"Aku pun tidak tahulah, Xiumin."
Usai melangkah keluar pagar bangunan universiti, Lu Han mengambil angin bersiar di bandar sambil setia dituruti Xiumin. Keadaan pasar kota sudah tak semeriah dulu. Orang lalu lalang juga makin berkurang.
Perang sivil yang berlarutan antara dua pihak kerana berebutkan takhta kerajaan telah menjejaskan kehidupan penduduk setempat. Kadar inflasi melambung tinggi. Sana sini kelihatan gelandangan merempat kelaparan.
Lu Han berpaling kepada Xiumin dengan mengejut. Beg di tangan diserah tanpa kata. Terpinga Xiumin menanti arahan Lu Han. Kedai roti lengang berhampiran disinggah. Lu Han kembali dengan bungkusan roti bun yang agak banyak.
"Kau nak buat apa dengan makanan itu, Lu Han?"
"Aku mahu bagi pada mereka."
Xiumin hanya mengangguk dan melihat Lu Han menghampiri golongan bawahan berkenaan.
Setiap hari, ada saja kerja amal yang Lu Han lakukan. Tak pernah jemu Xiumin menemani. Walaupun Lu Han dilahirkan di dalam keluarga berada, jiwanya tak pernah tercalit perasaan angkuh dengan kekayaan yang bakal diwarisi. Xiumin sendiri tak menyangka dia yang setaraf golongan hina; diangkat menjadi sahabat kepada Lu Han.
Mengatur langkah dengan pandangan menunduk, seorang gadis muda berjalan ke kawasan pasar sambil ditemani seorang pembantu. Gadis itu hanya memerhati sekilas usai mereka berhenti di hadapan sebuah kedai. Sesetengah kedai berselerakan, akibat perbuatan zalim askar yang membuat onar. Tiada lagi suara perbualan sesama peniaga, suara kanak-kanak ketawa berkejaran di sepanjang lajuran kedai.
Mata Xiumin menangkap kelibat gadis yang datang untuk membeli barang di sebuah kedai; tak jauh daripada mereka. Senyuman kecil terlintas; itulah anak perempuan tunggal keluarga Zhang yang dikenalinya melalui perbualan rakan-rakan kenalan. Meilin.
YOU ARE READING
Renjana
FanficZhang Meilin, anak bangsawan Zhang Yixing bakal dikahwinkan dengan anak tunggal keluarga bangsawan Lu, Lu Han. Namun, malang menimpa Lu Han hingga meragut nyawanya sebulan sebelum pernikahan. Tanpa Mei tahu apa yang telah berlaku, perkahwinannya te...