Pada zaman ini, jika seseorang anak gadis sudah berumur melebihi 18 tahun dan belum berkahwin, dia dianggap pembawa malang kepada si keluarga. Itulah yang sering diucapkan golongan tua kepada generasi muda.
Meilin, anak sulung keluarga Zhang; telahpun menjangkau usia remaja. Entah mana silapnya, gadis berusia 21 tahun berkenaan tidak pernah dilamar oleh mana-mana keluarga untuk dijadikan sebagai menantu.
"Ma, saya sudah penat mendengar orang berkata tentang Mei. Saya tidak mahu keluarga Zhang mendapat malu." Zhang Yixing memujuk kepada ibunya. "Benarkanlah saya jodohkan dia dengan keluarga Lu itu, ma."
Yang tua enggan mengalah. "Kamu sudah kehilangan akal? Tak kesiankah kamu pada Mei? Dia satu-satunya anak perempuan kamu. Setidaknya, jodohkanlah dia dengan keluarga yang lebih baik! Mei itukan masih muda!"
Dengan tenang, cawan berisi teh suam dihirup sebelum diletakkan semula di atas piring. Ruang tamu kembali sunyi.
"Ma, saya sayangkan Mei... Fei sudah berpesan kepada saya, ma. Segala yang saya lakukan adalah untuk kebaikan Mei juga."
Riak Yixing melembut, terkenangkan mendiang isteri. Wanita yang banyak berkorban untuk dirinya. Malang menimpa, nyawa Fei diambil sesudah dia melahirkan Mei dan Minghao; adik kembar tak seiras Mei. Hanya seketika saja dia dapat melihat wajah polos bayinya. Wajah dan sikap Mei ada iras ibunya, sedikit sebanyak menjadi penawar rindu untuk Yixing. Isi rumah kian terasa sunyi tanpa kehadiran wanita bernama Fei itu.
"Tapi saya risaukan masa hadapan Mei, ma. Saya tak mahu dia tidak berkahwin. Nanti bala akan menimpa keluarga kita!"
Wanita itu menggeleng, enggan mempercayai kepercayaan karut yang sudah sebati dalam keluarga Zhang demi Mei.
"Memang benar keluarga Lu itu keluarga bangsawan dan baik. Tapi kamu tidak lihatkah belang sebenar mereka? Mereka hanya ingin mempergunakan anak kamu untuk kepentingan mereka!"
Yixing hanya mengeluh berat. Dia menanggalkan kaca mata dan mengurut sisi kepala. Tidak mahu lagi berdebat dengan ibunya, dia beredar ke ruangan bilik pejabat di tingkat atas. Mengasingkan diri. Duduk termenung Yixing berseorangan di situ sambil memerhati sayu gambar keluarga.
"Fei, kenapa awak tinggalkan saya...? Dengan siapa lagi saya nak mengadu sekarang... Saya buntu." Keluhan terhela. Yixing memejamkan mata dan belakang tersandar pada kerusi. Terasa beban berat terpikul di bahu. Dia tidak tahu adakah tindakan yang diambil ini betul atau tidak. Semua orang seakan menentang keputusannya.
Ketukan lemah di pintu mencelikkan mata Yixing kembali.
"Ba?" Kepala Minghao; anak lelaki bongsu keluarga Zhang terjenguk. Dia menutup pintu bilik dan mendekati ayahnya. Sebentar tadi, Minghao terdengar perbalahan mulut di bawah. Dia berdiri menghadap Yixing. "Ba nampak risau."
"Baba memang tengah risau. Risau tentang Mei."
"Kenapa Mei perlu berkahwin juga? Sedangkan bakal suaminya sudah meninggal."
Pilu. Itulah Yixing rasakan mendengar peluru kata itu. "Kamu tahukan, manusia berpegang pada janji. Baba terikat dengan janji itu. Mereka lebih berpengaruh daripada kita."
Minghao mengangguk setuju. Namun, dia masih menanti jawapan sebenar.
"Dan kamu tahukan; adat lama kita menyatakan jika seseorang pemuda itu meninggal sebelum dia berkahwin; keluarga si mati harus menjalankan upacara perkahwinan untuk si mati agar rohnya aman."
"Jadi baba sanggup jadikan Mei sebagai 'korbannya'? Baba mahu Mei bersuamikan lelaki yang sudah mati? Hanya untuk keamanan rohnya? Bagaimana pula dengan Mei? Tidakkah dia juga akan hidup bersendirian untuk seumur hidupnya walaupun berstatus isteri orang?" Sengaja Minghao ingin menduga.
Yixing senyum galau. Kadang kala, buah fikiran Minghao melangkaui usia mudanya. "Perkahwinan ini tidak akan menjadi masalah jika Lu Han masih hidup."
"Apa punca dia meninggal, ba?" Minghao makin ingin tahu. Wajah si ayah tetap ditatap walaupun ayahnya memandang arah lain.
"Keluarga Lu tidak ada beritahu. Mungkin mereka enggan merumitkan keadaan."
Minghao tidak berpuas hati dengan jawapan ringkas yang diterima. Tapi dia tidak boleh salahkan sesiapa. Ayah sudah banyak makan garam daripadanya. Mungkin dia perlu usahakan sendiri.
"Baiklah, ba. Minghao minta diri dulu. Baba buatlah keputusan yang sebaiknya. Jangan ambil risiko yang baba tak mampu tanggung."
Yixing mengetuk perlahan pintu kayu kepunyaan bilik anaknya. Sayup pintaan 'Masuk' kedengaran. Yixing terus memulas tombol dan menapak menghampiri Mei yang duduk di meja kerja.
"Mei, baba ada benda ingin beritahu."
"Beritahulah." Lembut Mei mengiakan sambil mengalihkan pandangan daripada peralatan menjahit di tangan ke ayahnya yang berdiri di muka pintu bilik.
"Tak lama lagi kamu akan berkahwin dengan anak lelaki dari keluarga Lu. Namanya Lu Han."
Mei tidak melatah, tetap tenang mendengar petah ayahnya. Dia sudah mengagak perkahwinannya pasti akan diatur jua. Mungkin salah dirinya juga; kerana tiada lelaki yang mahu mengahwininya.
Mei akhirnya mengganguk, memberi respon. Nampak riak Yixing kembali lega. Begitu mudah anaknya memberi persetujuan. Tidak seperti ibunya yang masih lagi menentang. Yixing cuba menyakinkan diri bahawa ini semua demi kebaikan Mei juga.
"Berapa umurnya, ba?"
"23 tahun, Mei. Selamanya."
Mei masih tidak mengerti maksud 'selamanya' itu. Yixing hanya beredar keluar tanpa menyambung bicara, meninggalkan persoalan kepada Mei.
Nampak ayahnya pergi, Minghao yang sedang berlegar di luar, menyelinap masuk. "Baba beritahu pasal apa sebentar tadi?"
Nyaris Mei menjerit terkejut. Namun, dia sudah maklum akan perangai Minghao yang licik itu. Sekejap bayangnya ada sekejap hilang. Tidak hairan mengapa tidak ramai mengenali Minghao sebagai Zhang Minghao; anak bangsawan Zhang Yixing.
"Baba beritahu tentang perkahwinan aku." Baju yang ingin dijahit diletakkan semula ke atas riba.
"Dan?"
"Aku bersetuju."
Minghao mengerut dahi. "Kenapa mudah sangat kau bersetuju? Kau kenalkah dengan bakal suami kau?"
Kening Mei pula mengerut, memandang wajah Minghao seakan menyoal persetujuannya. "Kenapa? Salahkah kalau aku bersetuju? Lagipun aku percayakan baba. Baba pasti jodohkan aku dengan lelaki baik."
"Manusia memang hidup bergantungkan harapan kan? Jika bukan kerana harapan, mungkin manusia akan mati begitu saja."
"Maksud kau?"
Bahu diangkat, tangan diseluk ke dalam kocek seluar. "Entahlah. Itu ayat yang aku baca di dalam buku tadi." Sinis kata Minghao seperti sudah malas melayan Mei. Perlahan-lahan dia mengundurkan diri. "Pergi dulu, Mei."
"Kenapa dengan semua orang ni? Ada masalahkah?"
Mei menggeleng. Dia perasan sindiran Minghao tadi tapi dia butakan. Enggan meracuni fikirannya dengan perkara karut.
Mei masih berharapkan sesuatu yang baik akan berlaku kelak. Siapa tahu, mungkin Mei akan menemui cinta yang hilang selama ini?
YOU ARE READING
Renjana
أدب الهواةZhang Meilin, anak bangsawan Zhang Yixing bakal dikahwinkan dengan anak tunggal keluarga bangsawan Lu, Lu Han. Namun, malang menimpa Lu Han hingga meragut nyawanya sebulan sebelum pernikahan. Tanpa Mei tahu apa yang telah berlaku, perkahwinannya te...