Pagi menjelma beserta kabus. Sambil diiringi pembantunya, Puan Lu menuju ke bilik anak lelaki tunggalnya, Lu Han. Riak dingin dan tegas sentiasa menjadi topeng muka wanita pertengahan abad berkenaan.
Jia yang bertugas malam tadi, melapor sebaik wanita itu sampai di hadapan muka pintu bilik. "Semalam saya dengar dia menjerit, puan. Mungkin dia dah berjumpa dengan-"
"Buka."
Dengan takut-takut, Jia menarik selak lalu perlahan-lahan daun pintu ditolak. Kedengaran gadis muda berkenaan mencungap nafas terkejut melihat sekujur tubuh kaku di atas lantai. Tanpa perlu disuruh, dia bergegas ke arah Mei. Wajah pucat tak bermaya Mei ditilik. Bibir merah kusam, kelopak mata terkatup rapat dan apabila pembantu itu menyentuh pipi Mei, hanya dingin yang menjalar.
"Dia sudah meninggalkah?" soal Puan Lu.
Lengan Mei dipegang lembut, mencari sisa nadi. Si pembantu berpaling, "Tidak, Puan Lu. Dia masih hidup lagi. Mungkin pengsan saja."
Kening majikannya menaik, seakan tak menyangka Mei dapat bertahan menghadapi malam pertamanya. Malam yang seperti diceritakan oleh golongan tua; malam di mana roh sang suami datang mencari isterinya yang baru dinikahi melalui perkahwinan hantu. Dan sering dikatakan kebanyakan si pengantin perempuan meninggal dunia selepas malam tersebut.
Namun sebaliknya berlaku pada Mei sehingga menimbulkan rasa curiga dan ingin tahu Puan Lu.
"Macam mana ini, puan?"
Puan Lu tersedar daripada lamunan sejenak. Kembali dia memandang menantunya yang terkulai lesu. "Apa lagi? Pergi panggilkan tabib!"
Sebaik tabib yang diminta untuk memeriksa Mei keluar daripada kamar, Puan Lu datang menghampiri. "Macam mana dengan menantu saya, tabib?"
"Dia baik saja. Tapi dia seperti mengalami kejutan. Dia harus berehat."
Dengan lembut, si pembantu menyelimuti badan Mei. Perasaan kasihan makin menebal dalam diri Jia apatah lagi Mei kemungkinan sebaya dengan dirinya. Di usia muda sebegini, perawan di hadapannya ini sudah menjadi mangsa perjudian hidup.
Terlintas perasaan bersyukur di hatinya walaupun dia hanyalah menjadi seorang hamba dan berstatus hina di mata golongan berada seperti keluarga Lu. Sekurangnya, dia tidak bersuamikan manusia yang telah mati. Jia akhirnya meninggalkan Mei atas arahan Puan Lu.
Beberapa jam berlalu. Xiumin dan Jia sabar menunggu di dapur. Bersedia jika Puan Muda Lu tersedar nanti. Sepatah kata pun tiada diucapkan antara mereka berdua. Puan Lu pula hanya lenang bersantai di ruang tamu sambil menghirup teh panas.
Tanpa diduga, dia menerima kehadiran tetamu yang meluru masuk rumah agam keluarga Lu. Mengekorinya rapat, pengawal yang cuba menghalang.
Mata Puan Lu menilai kehadiran pemuda itu. "Kamu tiada adabkah, Zhang Minghao? Ini bukan rumah keluarga kamu yang boleh dibuat sesuka hati."
"Aku hanya datang untuk berjumpa dengan Mei. Di mana kakak aku sekarang?!"
Mei membuka mata, siling suram bilik sudah bertukar menjadi langit biru. Mei bangun, duduk melunjur dan menerawang sekeliling. Datarannya hijau. Bunga-bunga pelbagai warna kembang mekar menyeri suasana damai. Rambutnya terbuai-buai dilanggar bayu. Bunyi desiran pepohon lebat ditiup angin menarik perhatian Mei.
"Tempat apakah ini?" bisik Mei pada si angin.
"Ruang yang tercipta hanya untuk kita berdua. Ruang untuk kita bertemu. Ruang yang terhasil di atas rindu saya pada awak." Bisikan itu dibawa angin menerpa telinga.
Mei berpaling ke kanan dan menyedari seorang lelaki sedang memandangnya.
"Lu Han...?"
Dia senyum.
YOU ARE READING
Renjana
FanficZhang Meilin, anak bangsawan Zhang Yixing bakal dikahwinkan dengan anak tunggal keluarga bangsawan Lu, Lu Han. Namun, malang menimpa Lu Han hingga meragut nyawanya sebulan sebelum pernikahan. Tanpa Mei tahu apa yang telah berlaku, perkahwinannya te...