Setahun kini hampir menginjak dua tahun. Keadaan Mei selepas kejadian itu amat mendukacitakan.
Setiap telinga yang mendengar esakan pilu Meilin hampir setiap malam, pasti hatinya juga luluh. Lara yang menimpa makin mengubah diri Meilin. Gaya percakapannya juga sudah semakin keras. Akal si perawan itu sudah tidak berpijak pada alam nyata.
"Puan, sudah-sudahlah menangisi pemergian Tuan Muda Lu Han! Tiada gunanya." Untuk kesejuta kalinya, Xiumin memberi nasihat tatkala dia singgah ke bilik Meilin untuk menghantar ubat-ubatan.
Perasaan rimas ditenung Xiumin mendorong Mei untuk bersuara. "Kenapa kau mengambil kisah?! Aku tidak perlukan kau! Pergi!" Lantang Mei menghalau Xiumin walaupun masih bersedih.
Dulang ditatang Xiumin berisi botol ubat dan segelas air, ditepis ke lantai. Bunyi tajam kaca pecah menusuk gegendang telinga.
Mei masih di atas katil, memeluk lutut. Si gadis kembali hanyut di dalam dunia fantasinya.
Jia bergegas ke bilik Mei untuk melihat keadaan majikannya itu. Daun pintu diketuk perlahan namun tidak bersahut. Lalu Jia menapak masuk dan menuju ke arah Mei yang masih di atas katil sejak dari pagi tadi.
Ubat dan serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai menyapa pandangan Jia. Keluhan bisu terhela. Segera dia arahkan Xiumin untuk pergi.
"Puan..." tegur Jia perlahan sambil duduk di birai katil. Tangan Jia mengusap lembut bahu Mei. Matanya beralih pada dulang yang tak terusik di atas meja sisi katil. "Puan tidak apa-apakah...? Saya lihat, puan langsung tak menyentuh makanan yang saya hantar pada puan...."
"Aku tak lapar."
"Puan, janganlah begini... Ia tak elok untuk kesihatan puan." Jia memujuk lagi.
"Semua orang mahu aku mati. Jadi biarkan saja aku begini."
"Tidak, puan. Kami semua sayangkan puan."
Begitulah keadaan Mei tiap-tiap hari.
"Puan Muda memang seorang yang degil. Aku sudah puas memujuk dia supaya jangan terlalu merintih atas pemergian Tuan Muda Lu Han. Tapi dia tetap tidak berubah. Melarakan diri sendiri. Jika jiwa boleh diibaratkan seperti bunga; jiwanya adalah bunga yang layu. Menunggu untuk mati." keluh Jia perlahan pada Xiumin yang hanya mampu menadah telinga.
Xiumin kembali teringat hari di mana Mei meminta pertolongan daripadanya dan itulah kali terakhir Mei berkelakuan seperti orang waras.
"Xiumin, boleh awak bantu saya?" Gadis itu menegur Xiumin yang bersantai di dapur.
Pemilik nama terus bangkit dari kerusi. Dia mengangguk beria, tidak mahu mengecewakan hati Mei. "Saya akan lakukan apa saja, puan."
"...Boleh awak bawa saya ke kubur Lu Han?"
Tergamam sedetik Xiumin setelah mendengar permintaan gadis berkenaan.
Puas Minghao mencari kelibat Mei. Di kediaman Lu, pembantu juga memaklumkan ketiadaan Puan Muda mereka. Mujurlah Xiumin membuka rahsia kepada dirinya.
Gopoh Minghao berlari menentang anak bukit. Bimbang akan keadaan kakaknya. Minghao ingin segera menemui Mei dan pastikan dia berada di dalam keadaan selamat. Takut jika laranya melarat dan mendorong Mei mengikut perasaan.
Nafasnya berat terhembus lega. Kelibat Mei yang duduk berdekatan jirat suaminya, menyapa. Beransur-ansur Minghao mengambil tempat di sebelah Mei, melepaskan penat.
"Kau buat apa di sini?"
"Aku mencari kau dari pagi tadi lagi."
Mei bangun dan berjalan ke pinggir bukit diekori Minghao yang tidak mahu berjauhan. Sedih dia memandang wajah lesu Mei. Seri yang pernah bermain makin menghilang.

ANDA SEDANG MEMBACA
Renjana
FanfictionZhang Meilin, anak bangsawan Zhang Yixing bakal dikahwinkan dengan anak tunggal keluarga bangsawan Lu, Lu Han. Namun, malang menimpa Lu Han hingga meragut nyawanya sebulan sebelum pernikahan. Tanpa Mei tahu apa yang telah berlaku, perkahwinannya te...