01 - Rose Blossom

23 3 0
                                    

🌹🌹🌹

ROSE mencampak penanya ke tepi. Dia melihat hasil tulisan tangannya yang seperti cakar ayam. Atau lebih tepat lagi, tulisan seorang doktor yang sukar untuk dibaca. Haish, lama benar tempoh waktu dia menjadi doktor hingga terlupa untuk menulis secara normal. Tch !

Surat itu dikeronyokkan dan dibuang ke bakul sampah yang terdapat di tepi meja. Dia mengambil penanya semula dan dicelupkan ke dalam sebuah botol yang mempunyai dakwat hitam di dalamnya.

Dia tak rasa penat. Cuma rasa sedikit menyampah kerana terpaksa membuat surat untuk pesakitnya. Surat yang mengatakan bawah pesakit ini sakit sekian sekian. Surat yang mengatakan kenapa pesakit ini tidak boleh menyertai sekian sekian. Iye, surat seperti itu yang harus ditulisnya sekarang ini.

Pesakit yang berada di hadapannya itu hanya memerhatikan tingkahnya yang seperti tertekan menulis surat. Pesakit itu menggaru tengkuk. Terasa bersalah pula.

Habis sahaja dia menulis, dia meniup surat itu untuk mengeringkan dakwat pena yang masih basah. Setelah yakin yang dakwat pena itu sudah kering, dia melipat surat itu dan masukkan ke dalam sampul surat lalu dia menyerahkan surat itu kepada pesakit.

"Maaf, jadi lama pula. Ini surat awak ya," ujar Rose dengan riak wajah yang beku.

Pesakit itu menelan liurnya. Kelat.

"Tidak mengapa. Terima kasih ya," balas pesakit itu. Apabila dia melangkah keluar dari kamar yang ditempatkan oleh Rose, dia terus melepaskan nafas kelegaan.

Harus diakui bahawa Rose merupakan doktor yang terbaik di hospital ini. Sekali imbas sahaja, Rose sudah dapat mengesan penyakit seseorang. Cuma, Rose bukanlah seorang doktor yang peramah. Wajahnya tidak pernah mempamerkan senyuman mesra. Suaranya juga kedengaran dalam dan dingin. Ditambah lagi dengan kulit putih pucat seperti mayat itu menjadikan penampilannya kelihatan menakutkan.

Memang padan la jururawat kebanyakkannya tidak ingin mendekati Rose. Kalau orang dewasa juga dah rasa seram dengan Rose, tak dapat bayangkan bagaimana budak-budak yang berhadapan dengan Rose. Mahu pengsan budak jadinya.

Walaupun Rose bukanlah seorang doktor yang mudah didekati, ada juga lelaki yang ingin mendampinginya. Malah, berangan-angan ingin memiliki Rose secara mutlak. Dengan rupa paras yang jelita, rambut hitam ikal mayang, serta personaliti yang misterius membuatkan lelaki tertarik ingin berkenalan dengannya. Tidak terkecuali juga doktor dan jururawat lelaki di hospital ini.

Rose mencapai beg tangannya. Waktu kerjanya sudah habis. Ada baiknya dia terus pulang ke rumah. Sempat lagi matanya menjeling ke luar tingkap. Cahaya mentari pagi itu sedikit sebanyak membuatkan dia rasa sebal. Dia memang kurang suka dengan waktu siang. Dia lebih menggemari waktu malam yang suram.

Tapi apa nak dibuatkan. Bulan ni dia shift malam pula. Dia tak kisah pun sebenarnya jika terpaksa bekerja di waktu malam. Bukan dia perlu berehat dan tidur pun. Cuma dia suka melepak di atas bumbung rumah memandang cahaya bulan yang terang.

Kot labuh berwarna khaki yang tersangkut di kerusi itu disarungkan ke tubuh. Menutupi kot doktor yang berwarna putih itu. Dia memang sering membawa pulang kot tersebut ke rumah. Tidak seperti sesetengah doktor yang membiarkan kot tersangkut di kerusi.

Koridor yang tadinya kedengaran riuh sedikit menjadi senyap apabila Rose melangkah keluar. Seakan gerun dengan kehadiran Rose. Rose buat tak peduli saja. Sudah biasa dengan suasana tersebut. Bertahun dia bekerja di hospital itu, pelbagai kerenah dan perangai jururawat yang dia pernah hadap. Kebanyakan darinya, takut untuk berhadapan dan bercakap dengannya.

Biarlah. Dia lebih selesa begitu.

Kunci kereta yang berada dalam beg tangannya dikeluarkan. Berkerincing bunyinya apabila gugusan kunci itu berlanggar sesama sendiri.

Kalau ikutkan hatinya, dia malas benar hendak membawa kereta. Lebih mudah jika dia berjalan kaki saja. Lebih cepat sampai berbanding keretanya. Kalau dia berlari, lagi la laju.

Okey, ada baiknya dia memperkenalkan dirinya. Nama penuhnya Rose Blossom. Dia adalah seorang doktor di sebuah hospital kerajaan pekan Wythnos ini. Disebalik identitinya sebagai seorang doktor, dia bukanlah seorang manusia biasa.

Rose Blossom adalah makhluk yang digelar vampir. Yang selalunya dikaitkan sebagai makhluk penghisap darah manusia, boleh terbakar apabila terkena cahaya matahari, dan mampu dibunuh oleh sebatang kayu yang ditiruskan pada bahagian hujung lalu ditusuk ke jantung.

Cara lain untuk membunuh vampir adalah, membakar vampir dengan api yang besar. Kalau setakat api kecil tu, bukanlah satu masalah bagi vampir kerana keupayaan menyembuh dengan cepat yang dimiliki oleh setiap vampir. Dan cara terakhir adalah, pisahkan kepala vampir dengan tubuh.

Nampak macam mudah bukan ? Tapi vampir adalah makhluk yang pantas dan kuat. Sukar untuk seorang manusia biasa menumpaskan seorang vampir.

Akan tetapi, dengan dunia mereka yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa kini, vampir bukanlah musuh utama untuk golongan manusia (tidak seperti filem barat yang sering memaparkan bahawa manusia cuba menghapuskan vampire). Di dunia mereka, manusia dan vampir mampu hidup harmoni dalam satu pekan yang sama. Tidak semua vampir itu jahat, dan tidak semua manusia itu baik.

Pintu kereta dihempas perlahan. Cahaya matahari yang tepat-tepat mengenai wajahnya itu dihadang dengan tangan. Dia memang tak suka betul dengan matahari. Bukan sebab dia takut dirinya terbakar ke apa, tapi dia memang tak suka.

Lagipun, mustahil untuk dia terbakar apabila terkena cahaya matahari. Dia bukan seperti kebanyakkan vampir. Dia vampir yang lain dari yang lain. Setiap kelemahan yang dinyatakan tadi bukanlah kelemahannya. Dia vampir tapi lain.

"Kenapa aku rasa macam lewat sikit shift kau habis," tegur Liana yang ketika itu sedang bersarapan di atas meja makan.

Rose yang baru melangkah masuk ke dalam rumah itu menyangkut kot labuh berwarna khaki pada penyangkut yang berdekatan dengan pintu masuk. Kot doktor berwarna putih yang masih lagi tersarung di tubuhnya itu dibiarkan saja kerana dia hendak menggantungkannya di dalam kamar.

"Ada pesakit nak jumpa aku, minta buat surat alasan kenapa dia tak boleh bersukan kerana masalah kesihatan," balas Rose.

Liana hanya menganggukkan kepala sambil menyuap roti bakar ke dalam mulut. Dia tidak mengajak Rose bersarapan sekali kerana dia tahu, Rose tidak makan. Dia tak perlukan makanan untuk hidup.

Sewaktu mula-mula dia menjadi rakan serumah Rose, pernahlah beberapa kali dia mengajak Rose makan sekali tapi seringkali Rose menolak. Ketika itu, dia tidak tahu yang Rose jenis yang tidak akan makan. Bukannya dia tidak pernah bertemu dengan vampir lain tapi Rose ni agak berbeza dengan vampir yang pernah dia jumpa.

Baru saja kakinya menapak ke anak tangga yang pertama, tiba-tiba, Rose dapat rasa ada sesuatu yang aneh pada tubuhnya. Dadanya terasa perit. Ianya tidak sakit, hanya rasa perit semata-mata. Aneh betul.

"Kau okey tak ni Rose," soal Liana, prihatin.

Rose membuntangkan matanya. Dia dapat rasa seperti tubuhnya mengecut. Dia melihat kedua telapak tangannya yang putih pucat itu. Seperti ada sesuatu yang menjalar di bawah kulitnya. Apakah ?

Tubuhnya terasa lembik. Kakinya seakan tidak mampu menampung tubuh kecilnya itu lalu dia longlai ke lantai.

"Rose-" panggil Liana. Bunyi derapan kaki Liana menerjah gegendang telinganya.

Matanya terasa berpinar. Apa yang jadi ? Dia seorang vampir. Beratus tahun dia hidup sebagai vampir, tak pernah langsung dia jatuh sakit. Sayup-sayup dia mendengar suara Liana memanggil namanya. Kemudian, dunianya terasa gelap gelita.

Sunyi.

🌹🌹🌹

Sumpahan Untuk Rose BlossomWhere stories live. Discover now