"Eei gembiranya." Kim So Hyun melompat kegembiraan. Kepalanya mengulang tayang peristiwa sebentar tadi. Sebaik teringat, senyuman dilorek lebar sampai ke telinga. Dari berdiri dia hempaskan tubuh ke katil dan seterusnya meniarap.
"Kacaknya dia." Muka disembamkan ke bantal. Tidak percaya yang Kim Jong In, lelaki pujaannya akan muncul menyelamatkan dia dari penjahat.
Kedua-dua belah siku diletakkan pada bantal dengan tapak tangan di dagu. "Romantiknya dia. Kalaulah aku boleh rakam peristiwa tadi."
Tok! Tok! Tok!
Kim So Hyun segera bangkit dan melompat turun dari katil. Pasti ayahnya baru pulang dari pejabat. Cepat-cepat dia buka pintu.
"Ayah."
"Kamu baru pulang. Dalam perjalanan pulang tadi ayah nampak lampu rumah baru dinyalakan."
Perlahan Kim So Hyun angguk. Jarak perhentian bas dengan rumahnya agak jauh juga. Mungkin ayahnya sedang berjalan kaki pulang semasa dia sampai di rumah. "Ada kerja yang hendak dibuat. Saya tak perasan hari sudah lewat."
"Jangan selalu pulang lewat. Ayah dengar ada penjahat terlepas dari penjara sedang merayau di bandar kita. Ayah takut kamu akan terserempak dengan penjahat-penjahat itu."
Kim So Hyun hanya mengangguk. Tidak mahu membebankan ayahnya, dia tidak membuka mulut tentang kejadian tadi. "Ayah baru balik dari pejabat?"
"Kamu sudah makan?" Kim Seon-Ho tidak menjawab soalan anaknya. Setiap hari dia pulang lewat dari pejabat kerana kerja lebih masa. Tidak lama lagi anak gadisnya akan tamat sekolah tinggi dan akan memasuki universiti atau kolej. Perlukan belanja yang banyak.
"Saya sudah makan sebelum balik tadi." Kim So Hyun berbohong. Sebenarnya dia baru sahaja menghabiskan sebungkus roti untuk makan malamnya. Tidak mahu ayahnya rasa risau kalau dia tidak makan.
"Sudah lewat, ayah rehatlah. Besok pagi hendak pergi bekerja lagi."
"Janji dengan ayah yang kamu tidak akan pulang lewat lagi."
"Saya janji ayah."
"Kamu juga... rehatlah."
Kim So Hyun hadiahkan senyuman buat ayahnya. Mereka hanya tinggal berdua sahaja selepas kematian emaknya semasa dia berumur lima tahun. Dihalau oleh tuan rumah, mereka menyewa di sini. Bapanya bekerja sebagai kerani di salah satu anak syarikat Kumpulan Wolf. Rumah yang mereka sewa sekarang adalah milik syarikat.
Pintu di tutup sebaik sahaja ayahnya beredar. Kim So Hyun kembali tersenyum sebaik teringatkan peristiwa tadi. Tapi bagaimana Kim Jong In boleh tahu ada penjahat mahu mencelakakannya. Tak mungkin lelaki itu mengekori dia.
"Ah... yang penting dia dah selamatkan aku." Kim So Hyun melompat teruja. Dia mengambil fon telinga dan menghidupkan lagu pada telefon bimbitnya. Tubuhnya menari mengikut rentak lagu sambil bibirnya menyanyi sama. Dia gembira dan sangat gembira. Tidak sabar menanti hari esok untuk berjumpa dengan Kim Jong In lagi.
KIM JONG IN duduk di atas bumbung rumahnya sambil matanya ralit memerhatikan bilik Kim So Hyun. Gadis itu sedang mendengar lagu sambil menyanyi. Langsung tidak sedar yang dirinya sedang diperhatikan.
"Dia cantik dan harum." Lintasan suara Byun Baek Hyun muncul di kepala Kim Jong In.
"Jangan masuk ke dalam fikiran aku." Kim Jong In menderam perlahan sambil berkata dalam hati. Dia tahu lintasan itu pasti sampai ke Byun Baek Hyun. Nampaknya sahabatnya itu belum tidur lagi.
YOU ARE READING
WOLF - Fan Fiction Exo
FanfictionKenapa aku dilahirkan sebagai Alpha? ¬- Kim Jong In Dia dilahirkan sebagai ketua kawanan serigala jadian Bukit Serigala. Sejak kecil dia diberitahu, hanya serigala Alpha betina yang akan menjadi jodohnya. Namun dia telah jatuh cinta kepada manusia b...