Dua minggu berlalu, segala persiapan Liany sedang berusaha untuk siapkan. Sendirian dengan bantuan mak dan ibu. Faliq tidak tepati janjinya. Terpaksa keluar negara atas urusan perniagaan. Mula-mula Liany agak kecewa. Setelah ibu, Puan Farah terang dan ceritakan bagaimana Faliq memulakan perniagaan dia, uruskan syarikat dia, Liany faham dan cuba untuk faham, yang Faliq bekerja. Untuk mereka, pastinya.
"Termenung lagi. Liany, kamu ni mak tengok kurang makan. Dah kurus jadinya. Nanti longgar baju nikah tu." Tegur Puan Rose kepada Liany yang termenung di depan bekas hantarannya. Liany menghela nafasnya perlahan. Melepas lelah dalam hatinya.
"Bukan tak nak makan mak. Liany penat uruskan semua ni. Jadi tak ada selera."
"Ke rindu encik tunang kamu?"
"Rindulah juga. Dah dua minggu diam seribu bahasa mak. Naik risau juga Liany."
"Risau apa Liany?"
"Risaulah tiba-tiba tak jadi." Laju sahaja Puan Rose menepuk pipi Liany perlahan tapi cukup mengejutkan Liany yang terleka.
"Mulut tu, cuba cakap baik-baik." Liany tunduk menekur lantai. Fikirannya kembali kepada insiden tiga hari lepas. Sewaktu Liany sibuk mencari barang-barang untuk hantaran.
Susuk tubuh itu amat dikenalinya, namun pasangan yang bersama-sama dengan dia itu Liany tidak kenal. Namun, jauh disudut hatinya Liany seakan tahu siapakah gerangannya. Persoalan, tinggal persoalan. Tidak berani mendekat, tidak berani untuk berdepan. Liany bukan kuat untuk menerima apa-apa yang boleh melukakan hatinya ketika itu. Liany terus menjauh dan pulang.
"Jangan termenung dah, siapkan cepat. Esok Ibu nak datang letak barang-barang. Boleh kita susun nanti." Suara mak mematikan lamunan Liany. Liany mengangguk sahaja. Liany tak tahu kepada siapa patut dia meluahkan.
"Kak okay ke?" Yulia yang baru melabuh duduk menegur Liany yang diam dan kelihatan sugul. Liany memandang Yulia sekilas sebelum kembali menyiapkan hantarannya.
"Ada masalah boleh cerita dekat Yulia. Luthfi kata akak dah tiga hari tak makan. Asyik termenung. Ada masalah ke dengan abang Faliq?" Yulia bersuara lagi. Tangannya menggenggam tangan Liany. Yulia tahu, kakak iparnya itu tiada kawan baik. Pernah ada tetapi akhirnya pergi dengan kekasih hati Liany yang dicuri dalam diam-diam.
Liany menghentikan kerjanya. Diam, menunduk menekur lantai. Bahunya terhenjut-henjut sesaat kemudian. Yulia terkejut dengan reaksi Liany. Liany tak pernah dilihat bersedih begitu. Yulia memeluk Liany dan menggosok belakang Liany bagi menenangkan bakal kakak iparnya.
"Akak takut."
"Takut apa?"
"Takut sekali lagi, orang yang akak sayang tinggalkan akak. Takut, kalau sekali lagi cinta yang akak harapkan tak kesampaian."
"Apa yang akak cakap ni?"
"Faliq ada dekat sini tapi sekali pun dia tak jumpa akak or tanya apa-apa tentang persiapan majlis kami. Tiga hari lepas, akak nampak dia."
"Dekat mana?"
"Mall. Tapi dia dengan Ava."
"Ava?"
"Kekasih lama dia."
"Are you sure they are together?" Yulia menyoal. Liany menggeleng.
"Akak ada tanya abang Faliq?" Liany menggeleng lagi.
"Kenapa akak tak tanya? Kalau tanya, senang, terus dapat jawapannya. Kalau diam, jadi macam nilah. Hati akak akan mula buat jawapan sendiri."
"Akak tak berani."
"Kenapa pulak? Akak ada hak, akak tunang dia."
"Sebab akak pernah janji dengan Faliq."
"Janji apa?"
"Akak akan undur diri, kalau Ava kembali." Yulia terdiam. Liany menangis, air mata lebat membasahi pipinya. Malam itu, Liany menangis sepuas-puasnya. Melepas segala keresahan yang dipendam selama beberapa hari.
Dua hari menjelang majlis...
"Nak ke mana Liany?" Soal Puan Rose apabila melihat Liany tergesa-gesa keluar dari bilik dan terus ke kereta. Masih awal pagi, jam di dinding baru berganjak ke jam 8.00 pagi.
"Keluar kejap mak. Ada hal." Balas Liany. Cermin mata hitam terus dipakai. Menutup bengkak mata akibat kerap menangis. Biar pun hari majlis kian mendekat, Faliq masih lagi tiada khabar berita. Hanya Puan Farah sahaja yang kerap berhubung dengan mak atau Liany berkenaan majlis mereka. Mujur majlis yang dirancang hanya satu majlis bagi kedua-dua keluarga, memudahkan mereka berganding menyiapkan persiapan.
"Darah manis tu Liany. Nak ke mana?"
"Dekat sini aje mak. Sebelum tengah hari Liany balik."
"Lepas zuhur orang yang nak buat henna nak datang. Sekali Ustazah Laila. Esok malam nak buat majlis khatam quran dan berinai. Balik awal sikit, nak bincang." Ujar Puan Rose. Liany mengangguk sebelum masuk ke kereta dan terus memandu pergi. Puan Rose memandang sehingga kereta Liany hilang dari pandangannya. Hati tuanya merasa tidak tenang, sejak malam dia melihat Liany menangis dalam pelukan Yulia. Dia mengagak ada sesuatu yang menganggu Liany.
Liany anak perempuan tunggal. Perangai Liany sangat difahaminya. Luar tampak kuat tetapi tidak di dalam. Lebih suka memendam rasa, andai itu akan membahagiakan orang sekelilingnya. Tampak berani tetapi sebenarnya suka melarikan diri dari masalah. Sebab, Liany, hatinya tidak sekuat luarannya.
Liany memarkirkan keretanya. Memandang ke arah kawasan rekreasi itu, mencari orang yang menunggu kedatangannya. Telefon di ambil dan nombor itu didail.
"Saya dah sampai. Dekat mana?" Soal Liany. Liany mengangguk sendiri sebelum mematikan talian. Enjin dimatikan, Liany keluar dari perut kereta. Mula melangkah ke arah yang diberitahu.
Beberapa tapak kemudian, Liany terpandang susuk tubuh yang pernah dilihatnya sebelum ini. Benar, benar telahan hatinya. Itulah dia, kekasih hati Faliq, Ava.
"Terima kasih sebab datang." Ava mula bersuara sebaik sahaja Liany berdiri di depannya. Ava memandang Liany atas dan bawah. Tiada yang menarik dimatanya, gadis pilihan Faliq biasa-biasa sahaja.
"Tak perlu berterima kasih. Saya datang sebab saya nak tahu apa yang awak nak cakap dekat saya." Balas Liany, senada. Ava tersenyum dan membuka cermin mata hitamnya. Liany masih setia memakainya, tidak mahu Ava melihat keadaan dia. Mungkin akan menampakkan kelemahannya.
"Saya nak Faliq." Ava bersuara. Liany diam. Kemudian melabuh duduk di sebelah Ava.
"Faliq bukan barang."
"Ya saya tahu. Saya nak Faliq kembali dalam hidup saya." Ava bersuara lagi. Sekali lagi menyatakan hasratnya. Liany diam lagi. Dia sudah mengagak niat Ava apabila gadis itu menelefon dan mahu berjumpa empat mata.
"Saya tidak memiliki Faliq. Ya, Faliq tunang saya. Tetapi ini melibatkan hidup dia. Jadi, jawapan saya untuk hasrat awak Cik Ava,tanyalah dengan Faliq sendiri. Saya akan ikut apa sahaja keputusan dia." Liany bangkit dan mahu bergerak pergi.
"Faliq dah setuju untuk kembali kepada saya." Ava membalas. Berdiri di belakang Liany. Liany terhenti dari melangkah. Liany berpaling memandang Ava yang tersenyum penuh lagak di depannya.
"Kalau itu keputusan Faliq, saya terima. Semoga berbahagia. Jangan sakitkan lagi hati Faliq. Dia lelaki yang baik. Awak beruntung dapat dia." Liany terus meninggalkan Ava di situ yang masih tegak berdiri memandang langkah Liany.
Ava mendengus. Berang. Liany tidak beri reaksi seperti yang dia harapkan.
YOU ARE READING
SAYA GANTI TEMPAT DIA, BOLEH?
RomanceKisah cinta Faliq & Liany bermula selepas Faliq putus dengan Ava. Faliq yang kecewa kemudian berjanji akan cuba memberi ruang untuk Liany dihatinya. Pertemuan kali kedua, Faliq mahu mengotakan janjinya dengan Liany. namun, baru sahaja cinta antara m...