BAB 1

482 12 2
                                    


DILEMPARNYA beg sandang mengena dinding rumah. Dihempasnya punggung ke sofa berangkai tiga. Dia berperangai begitu bukan tiada sebab. Memprotes ibu dan abahnya yang tidak pernah mahu mengikut cakapnya. Semuanya kena patuh dan taat kepada mereka berdua. Walaupun itu sebenarnya memang perkara benar. Tapi, dia tak boleh terima kalau melanggar bagaimana dia akan mengatur hidupnya.

"Tak habis lagi dengan perangai budak-budak tu," tegur Puan Nadhira. Dia hanya menjeling sekilas kepada anak tunggalnya yang memuncung sedepa.

"Selagi ibu dan abah tak tolak pinangan tu, selagi tulah Rara akan buat perangai," juih Nadra. Dia memuncung lagi. Kalau boleh muncungnya itu sampai ke depan muka ibunya. Biar ibunya tahu dia bukan sembarangan anak gadis yang mudah menerima pinangan orang dikala usia masih muda. Dia masih mahu bebas.

"Nak tolak apanya, dah ibu janji dengan kawan ibu. Ibu tak boleh nak cakap apa dah," balas Puan Nadhira.

"Janji apa macam tu. Menyusahkan Rara adalah. Ingat orang Malaysia ni macam dalam filem hindi ke? Tunangkan anak ketika masih kecil. Tak pernah Rara dengar janji macam tu kat Malaysia ni." Nadra tak puas hati. Dia bangun dan berhadapan dengan ibunya yang sedang menghadap buku. Dia bercekak pinggang di depan ibunya. Macam samseng kampung dusun.

"Nak susah apanya. Kahwin awal ni bagus. Nak pula bakal suami Rara tu, cikgu. Lagilah senang Rara nak lulus. Dahlah result SPM dulu pun cukup-cukup boleh naik tingkatan 6."

"Jadinya, ibu nak cakap Rara bodohlah sebab tu Rara kena kahwin awal. Merepeklah ibu ni. Ramai lagi orang bodoh kat dunia ni tak kena kahwin awal." Kaki Nadra sudah dihentak ke lantai.

"Ibu tak cakap Rara bodoh tau, Rara yang cakap sendiri. Janji mesti ditepati," balas Puan Nadhira sekali lagi.

Asyik-asyik dengan janji. Pergi jahanamlah dengan janji tu. Nadra terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Kalaupun, dia mengamuk satu dunia pun belum tentu, perjanjian abah dan kawannya itu akan terbatal. Jantan tak guna tu pun satu. Kenapa tak melawan bila orang nak jodohkan dia dengan aku! Omel Nadra. Kalaulah dia kenal dengan lelaki itu sudah tentu dia akan menyerangnya.

Nadra benci apabila memikirkan dia akan berkahwin awal. Kalaulah dia berani melarikan diri. Ah! Dia memang tak berani hidup jauh daripada ibu dan abahnya. Itu sudah pasti.

"CUBA kau bayangkan aku yang baru berusia 18 tahun ni nak kena kahwin, kau fikir logik tak?" tanya Nadra kepada Zandra. Zandra terbuntang matanya memandang Nadra.

"Kau andaikan aje kan?" tanya Zandra.

"Andai apanya, betullah. Kalau tak, buat apa aku nak tanya. Tak ingin aku nak buat andaian. Tak ada maknanya nak buat andaian kena kahwin muda," juih Nadra.

"Hah, dengan siapa kau kena kahwin. Hi, bestnya kahwin muda ni." Zandra tiba-tiba teruja. Tak guna punya kawan. Menambahkan masalah adalah. Dia ingat kahwin muda ni perkara main-main kut.

"Kau gila ke apa suka nak kahwin muda?" tanya Nadra. Dia menolak bahu Zandra.

"Banyak kebaikkannya kahwin muda ni. Jauh daripada maksiat."

Nadra rasa nak termuntah di situ juga. Jauh daripada maksiat, boleh pakai ke apa yang Zandra cakap. Sebabnya, mereka berdua bukannya ada teman lelaki pun. Jadinya tak ada maksiat di situ.

"Kalau boleh aku nak kahwin dengan orang yang aku cinta. Bukannya lelaki yang dijodohkan oleh abah aku."

"Cuba kau ambil yang positif. Satu, jauh daripada maksiat, kedua kau boleh dapat anak awal. Bila kau dah umur 30 tahun lebih kau dah boleh menantu." Terkekek-kekek Zandra ketawa.

"Punggung kau eh!" kasar bahasa Nadra.

Pandai-pandai dia saja buat kesimpulan. Matematik pun tak lepas ke?

"Punggung aku memang punggung Jlo, terima kasih Ya Allah sebab Rara selalu puji punggung aku!" Zandra ketawa lagi. Sambil mengaminkan doanya tadi. Nadra hanya menggelengkan kepala dengan kesengalan Zandra. Sejak kenal Zandra daripada darjah satu, begitulah Zandra. Tak berubah.

Mereka berdua berjalan ke kelas selepas waktu rehat. Mereka berdua terus duduk. Kekenyangan sebenarnya selepas makan. Pagi tadi mereka berdua tidak sempat makan selepas lewat ke sekolah. Zandra punya pasal apabila Nadra sampai di depan rumahnya Zandra baru nak pakai baju. Sudahnya berbakul dia membebel di dalam kereta.

Nadra bersandar di belakang kerusi. Sambil menguap. Matilah dia. Bila perut kenyang, mulalah mengantuk. Sebab itulah ibunya cakap dia bodoh. Dia bukan bodoh cuma dia malas sikit daripada orang lain. Nadra anggukkan kepalanya. Mengiakan apa yang dia rasa. Semuanya diri sendiri yang betul.

Tiba-tiba bahunya ditolak Zandra. Nadra mendengus kasar. Masa melamun dia dikacau oleh Zandra.

"Apa!?" jerkah Nadra. Seisi kelas memandang Nadra yang menjerit. Ketika itu juga, seorang guru melangkah masuk. Nadra buat tak kisah. Dia tidak hairan apabila semua mata memandangnya. Nadra menyandar ke belakang sambil memejamkan matanya. Tidak sedar semua rakan sekelasnya sudah bangun menyambut guru yang baru masuk bersama Guru Besar. Zandra menyepak kaki kerusi Nadra. Nadra buat tak tahu lagi.

"Weh, bangunlah Guru Besar masuk tu..." Agak kuat Zandra memanggil Nadra. Terdengar saja nama Guru Besar, Nadra terburu-buru bangun. Tertolak mejanya sendiri mengundang pandangan rakan sekelas sekali lagi.

"Saya nak kenalkan cikgu baru. Dia akan gantikan Cikgu Suhana yang baru bersalin."

Semua mata memandang ke depan. Seorang guru lelaki kacak sedang berdiri sambil memandang ke arah semua bakal anak muridnya yang seramai 15 orang itu. Selepas sesi kenal mengenal itu, Guru Besar keluar.

"Handsome gila cikgu tu," kata Zandra. Nadra tak berperasaan. Dia mengantuk dan masih lagi tak puas hati kerana masalahnya itu. Dia tiada masa nak menilik muka cikgu baru tersebut. Kacak atau pun tidak dia tak mahu ambil tahu.

"Kita bermula dengan badak sumbu yang kekenyangan kenalkan diri."

Hampir terjatuh rahang satu kelas apabila terdengarkan kata-kata kasar dari seorang guru baru itu. Masing-masing memandang bertanya sesama sendiri, siapakah badak sumbu kekenyangan itu.

"Mana ada orang gemuk dalam kelas ni, cikgu." Sahut Anuar. Badak sumbu mesti disamakan dengan orang yang gemuk.

"Memanglah tak ada yang gemuk. Semua slim aje. Tapi, cuba tengok siapa yang tengah tidur," ujarnya lagi sambil mata menala kepada Nadra yang sudah nyenyak tidur di mejanya. Zandra terlopong mulutnya memandang Nadra yang sedang enak tidur. Cikgu Handsome sudah berdiri di depan meja Nadra. Meja Nadra diketuk berkali-kali. Nadra merengus sambil mendongak. Cadangnya mahu marahkan Zandra kerana mengacau, tapi lain pula halnya apabila terpandangkan sesusuk tubuh yang berdiri di depannya. Jantan mana pula ni?

"Dah puas berendam?" tanyanya kasar. Pantang sungguh apabila ada yang tidur di dalam kelas.

"Berendam apa pula," tukas Nadra berani.

"Badak sumbu kekenyangan memang suka berendam kan. Saya nak lepas ni, jika saya masuk ke dalam kelas awak berdiri sampai habis waktu saya," jegilnya.

Nadra diam. Niat mahu melawan lagi. Tapi, bila fikirkan macam tak patut dia buat macam tu. Dia matikan niatnya. Sudahlah cikgu baru. Baru hari ni bertemu muka. Tapi, sudah bergaduh dengannya. Ah, Nadra tak puas hati dengan panggilan badak sumbu itu.

RINDU BERSULAM CINTAWhere stories live. Discover now