BAB 2

320 10 2
                                    


NADRA membuka pintu keretanya. Dia memandang kereta di sebelahnya. Cikgu mana pula yang pakai Audi A6 ni. Nadra bukannya kenal sangat dengan semua guru sekolahnya. Terlalu ramai cikgu di sekolahnya. Nadra menguis-uis kakinya. Tunduk memandang kakinya. Masalah kena berkahwin muda itu tidak pernah meninggalkan otaknya. Setiap masa berada di situ. Zandra pun satu, waktu nak baliklah dia nak jumpa cikgu pun. Dia ingat aku ni balaci dia. Dalam hati sudah mengata Zandra.

"Ha, badak sumbu kekenyangan tak balik lagi."

Terbuntang mata Nadra apabila terdengarkan suara itu. Jika memanggilnya badak sumbu itu, dia tahu siapakah gerangannya. Kalau tak difikirkan itu cikgu yang akan dia timba ilmu sudah lama dia sembur. Telinganya panas. Walaupun salahnya juga kerana tertidur dalam kelas.

"Cikgu dah nak balik." Nadra bermanis muka. Meskipun dalam hati sudah menggelegak. Pintu kereta Audi A6 itu dibuka.

"Tak nampak saya tengah buka pintu ni..." sinis balasannya. Berbisa benar.

"Nampak, tapi mana tahu nak ambil buku ke?" selamba Nadra menuturkannya. Dia menjeling sebelum berpaling ke arah lain.

Nadra masuk ke dalam keretanya. Belumpun sempat menutup pintu keretanya, pintu itu dipegang cikgu baru itu.

"Lepas ni saya tak nak awak tidur dalam kelas saya lagi." Mata cikgu baru itu menusuk ke dalam mata Nadra.

"Amboi, cikgu baru hari ni aje kita jumpa. Takkanlah hari-hari saya nak tidur dalam kelas." Nadra menceber. Tiada rasa hormat kerana melawan cakap gurunya.

"Mana saya tahu. Saya pantang betul orang tidur dalam kelas waktu belajar," ujarnya lagi. Nadra jeling lagi sambil mencari-cari Zandra. Hatinya makin panas dengan kata-kata cikgu baru ini. Kenapa dia saja yang kena bambu dengan cikgu ni.

"Assalamualaikum cikgu," sapa Zandra siap dengan sengihan manis macam madu. Cikgu itu berpaling kepada Zandra.

"Awak dari mana, Zandra?" Tanyanya. Dia berkalih memandang Zandra.

"Alah, bangganya saya cikgu. Cikgu ingat nama saya." Zandra gelak. Gatal benar Zandra dengan cikgu baru itu. Nadra menjuih dalam kereta. Mahu menutup pintu keretanya, cikgu itu masih lagi memegang pintu keretanya.

"Saya ingat sebab nama awak berdua pelik daripada orang lain. Nadra dan Zandra. Ada dra di belakangnya. Mudah ingat sebab dra itu dekat dengan dara," ujarnya.

Zandra ketawa lucu dengan kata-kata cikgunya. Sudahlah kacak, lucu pula. Hai, cukup pakej betul. Desis Zandra.

"Pandai cikgu. Saya Dra 2 dan dia Dra 1," unjuk Zandra ke dalam kereta. Muka muncung Nadra hanya dipandang sekilas. Tak puas nak sembang dengan Cikgu Handsome. Muka cemberut Nadra yang begitu, mustahillah dia boleh lama-lama.

"Kalau tak pandai taklah saya jadi cikgu, tak gitu Rara?" tanya cikgu tersebut sambil memandang Nadra. Nadra pula terkejut.

"Huh, mana saya tahu. Dra kau nak tumpang cikgu ni ke. Kalau nak tumpang dia aku balik dulu." ugut Nadra. Dia tidak betah lagi di situ. Zandra terus berlari ke sebelah penumpang. Melambaikan tangan kepada cikgu itu.

Kereta dipecut laju. Zandra terteleng-teleng ketika Nadra memecut.

"Kau ni gedik ya. Mentang-mentanglah cikgu tu baru. Kau nak menggatal dengan dia," bebel Nadra. Mata berpusat ke depan kereta.

"Bukan menggatal, buat baik. Dapat pahala buat baik dengan cikgu." Zandra membetulkan ayat Nadra.

Nadra menjuih lagi. Ada-ada saja Zandra ni. Kalau bab lelaki handsome semuanya baik-baik belaka. Tak faham sungguh dengan perangai Zandra.

PUAN NADHIRA yang sedang berehat di gazebo tidak dihiraukan Nadra. Dia keluar dari kereta dan terus menapak ke pintu.

"Dengan ibu pun dah tak nak tegur?" tegur Puan Nadhirah. Tahu kenapa Nadra memprotes sejak tahu dia sudah ada tunang. Dengan abahnya, lagilah dia tidak bercakap. Asyik mengelak saja kerjanya.

"Rara penat dan stres," ujarnya sambil menanggalkan flat shoes.

"Penat itu ibu tahu, stres tu ibu rasa ada ubatnya. Terima dengan hati yang terbuka." Puan Nadhira senyum.

"Ibu nak Rara terima dengan hati terbuka. Hmm, malaslah Rara nak cakap dengan ibu."

Nadra terus pijak lantai rumah.

"Kawan mama nak datang makan malam kat sini. Dia orang baru sampai dari Chile," beritahu Puan Nadhirah. Masih menanti reaksi anaknya itu. Diam tak bercakap, rupanya Nadra sudah masuk ke dalam rumah. Puan Nadhirah mengeluh. Bukannya dia tak kasihankan anak tunggalnya itu. Tapi, janji itu tidak mungkin diputuskan. Mereka sudah berjanji sejak dia mengandungkan Nadra.

"Mana anak awak tu?" tanya Encik Amzar. Dia duduk di sisi isterinya. Bukannya dia tak nampak anaknya itu balik tadi. Tapi, untuk menghampirinya dia rasa tidak perlu. Nadra masih marahkannya.

"Dah masuk dalam bilik." Dimuncungkan bibirnya ke dalam rumah.

"Masih protes lagi ke?" tanya Encik Amzar.

"Kalau abang pun mesti protes juga. Tak ada angin dan ribut tiba-tiba beritahu dia dah ada tunang. Nak pula abang masa tu ada kekasih. Sah-sahlah abang pun mengamuk." ejek Puan Nadhirah.

Cubitan kecil singgah di lengan si isteri.

"Hmm, masalahnya abang tak ada perjanjian macam tu. Cinta abang pun hanya satu saja," Encik Amzar tergelak-gelak.

"Betul ke apa yang kita semua buat ni?" tiba-tiba Puan Nadhirah bertanya. Dia cuak. Apabila hari-hari melihat muka masam Nadra.

"Insya-Allah apa yang kita buat untuk kebaikan semua. Pilihan kedua-dua ibu dan bapa adalah yang terbaik." Encik Amzar terangguk-angguk kepalanya.

"Firr pun okey ke? Atau dia juga stres macam Nadra?" Puan Nadhirah tertanya-tanya.

"Firr budak matang. Beza umur pun jauh dengan Rara. Dia tak mengamuk macam Rara." Encik Amzar berkata yakin. Kerana dia sudah bertemu dengan Firraz ketika mereka bercakap tentang hal ini.

Firraz menerima dengan tenang ketika mereka memberitahu bahawa dia sudah ada tunang. Mereka ditunangkan sejak si gadis masih lagi berada di dalam perut ibunya lagi.

"Dira takut juga. Bukannya senang nak terima semua ni. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Entah-entah Firraz sudah ada pilihan hati. Mana kita tahu, dia cuma tak beritahu."

"Tak ada." Yakin Encik Amzar memberitahu.

"Tak sabar nak jumpa Firraz setelah sekian lama. Selalu tengok gambar saja," ujar Puan Nadhira.

"Firraz dah lama balik Malaysia. Dia sibuk mengajar mungkin," balas Encik Amzar.

"Bukan ke dia ambil jurusan lain masa belajar dulu?"

"Yalah, dia cuma mengajar untuk gantikan jiran dia yang dapat sambung belajar. Kebetulan mereka perlukan cikgu ganti." Encik Amzar sengih. Itupun setelah dia menelefon papa Firraz dan berbual. Sebab itulah dia tahu.

Puan Nadhira angguk tanda faham. Tanpa mereka sedar ada telinga yang sedang mendengar perbualan mereka. Entah kenapa Nadra berharap agar tunangnya itu ada perempuan lain. Nadra mesti berjumpa dengan tunangnya itu. Lelaki yang berada di luar negara sebegitu lama mana mungkin tiada teman wanita. Pasti ada. Ah, dia mesti memujuk lelaki itu supaya kenalkan teman wanita kepada ahli keluarganya.

RINDU BERSULAM CINTAWhere stories live. Discover now