BAB 5

235 9 1
                                    


PUAN NADHIRAH menjenguk ke dalam kereta. Bimbang pula anaknya itu lari keluar. Nadra asyik mendengar lagu. Nadra perasan ibunya itu berkali-kali memandangnya. Itu pasti takut dia melarikan dirilah tu. Mana mungkin dia nak lari, nak balik jumpa nenek. Dah lama tak jumpa nenek. Rindu betul dengan nenek. Jika tak kerana majlis kahwin sepupunya itu, agaknya mereka tidak akan pulang. Abahnya itu sentiasa sibuk dengan kerjanya.

"Ibu, terjenguk-jenguk dari tadi, kenapa takut Rara lari ke?" Nadra menjeling sekilas kepada ibunya. Dia tak boleh nak bercakap baik-baik dengan ibunya selepas tahu dia ada tunang. Dengan abahnya lagilah, dia selalu mengelak. Geramkan abahnya itu.

"Abang, kita ada seorang aje anak, tapi sekarang dia sedang mogok dengan kita. Kesian kita kan..." Puan Nadhirah menyengih ke arah suaminya. Encik Amzar sengih. Sengaja dia tidak melayan Nadra yang sedang mengelak daripadanya itu.

"Tak apalah, nanti bila dah dapat menantu, bertambahlah anak kita. Lepas tu cucu pulak," sambung Encik Amzar. Dia ketawa kecil. Mereka tidak kisah dengan mogok Nadra.

"Apa cucu-cucu pula?" terjerit Nadra dalam kereta. Kedua-dua orang tuanya hanya ketawa kecil saja. Apa saja perangai anak tunggal mereka itu , mereka layankan saja.

"Yalah, dah lepas kahwin mestilah nak ada anak." Puan Nadhirah sengih.

Akhirnya Nadra menyumbat lubang telinganya dengan earphone. Malas nak dengar lagi ibu dan abahnya merapu. Sampaikan cucu sudah keluar dari perbualan mereka. Kalau aku tak nak anak, jangan haraplah mereka akan bergelar datuk dan nenek. Bukan, kalau aku tak nak kahwin. Kena kahwin dulu, baru ada anak. Nadra mengomel sendiri.

NADRA perhati khemah yang penuh di halaman rumah neneknya. Kereta-kereta juga ada di bawah khemah tersebut. Mungkin semua sudah pulang dan mereka adalah orang yang terakhir sampai. Dia turun dari kereta.

"Orang jauh dah sampai."

"Assalamualaikum nenek," sapa Nadra sambil menyalami tangan nenek yang berdiri di muka pintu.

"Lama tak balik sini Rara." Neneknya menegur.

"Hmm, nenek salahkan abahlah. Rara nak aje balik sini. Abah tu kerja setiap masa." Muncung Nadra kepada abahnya. Nenek Siah senyum sambil menarik tangan Nadra. Encik Amzar hanya menggelengkan kepalanya. Mengadu kepada neneknya pula. Tak ada rasa bersalah langsung menyalahkannya.

"Rara tak puas hati sebab, kena bertunang awal tu, mak," sampuk Puan Nadhirah kepada ibu mentuanya.

"Tunang awal atau kahwin awal pun tak apa. Senang kalau ada apa-apa, boleh minta tolong dengan mereka," ujar Nenek Siah. Dia menepuk belakang Nadra. Ah, stres benar apabila semua orang menyokong. Nak kata apa lagi, tunang pun dia tak kenal. Tapi, dia sendiri yang tak menolak untuk kenal. Tak mahu tengok melalui gambar katanya. Nak tengok berdepan.

"Tunang Rara tu malam nanti sampailah. Nanti kalau boleh bila majlis kahwinnya buatlah kat rumah nenek. Nenek ingat semua cucu sulang dari anak-anak nenek buat kat sini." Nenek Siah memberitahu. Jantungnya terus berdetak laju. Tunang dia nak datang! Terus seram sejuk tubuhnya. Rasa macam nak demam pun ada. Kakinya terus menggigil. Tapi, dia juga yang minta nak jumpa secara berdepan. Tapi, sekarang dia takut pula.

Nampaknya semua orang dalam keluarga mereka sudah tahu dia ada tunang sejak dalam perut ibunya. Setiap kali teringatkan perjanjian ibu dan bapa mereka itu, dia rasa macam nak mengamuk saja. Tapi, bila Nenek Siah beritahu majlis pun kena buat di sini, dia lagi stres.

"Wah, Kak Rara nak jumpa tunang dia malam ni," usik sepupunya. Nadra jeling kepada Mamat. Mamat sengih membariskan giginya yang bertindih sebelah atas.

RINDU BERSULAM CINTAWhere stories live. Discover now