Latar Masa Zaman Pertengahan, Pembaharuan, Empayar Abbasiyyah & Uthmaniyyah

40 3 2
                                    

Menulis sesuatu karya dengan latar masa Zaman Pertengahan (Medieval), Zaman Pembaharuan (Renaissance), Empayar Abbasiyyah dan juga Empayar Uthmaniyyah merupakan salah satu cabaran terbesar dan memerlukan pengkajian yang lebih intensif supaya karya dilihat lebih logik, segar dan dapat membawa pembaca menyelami dunia pada zaman pertengahan Eropah, zaman pembaharuan Eropah, Empayar Abbasiyyah dan juga ketika kegemilangan Empayar Uthmaniyyah yang ingin kita bawa dalam hasil garapan kelak. Ini kerana kita tidak hidup pada zaman tersebut dan kita menyatakan tentang sejarah, jadi agak sukar untuk karya digarap kecuali dengan membuat kajian lanjutan dengan fakta yang sahih dan juga benar.

Contohnya seperti karya 'The Lord of the Rings' & 'The Hobbits' di HBO,  'Brigerton' dan 'Rise of Empire : Ottoman' yang boleh di stream di Netflix dan juga 'Schmigadoon!' yang ditayangkan di Apple TV+, dan filem 'Fetih 1453' telah mengangkat tema zaman kegemilangan ini. Karya-karya ini tampil mempamerkan sosio masyarakat, cara kehidupan, budaya, teknologi peperangan, cara bertutur dan juga latar penceritaan yang membuatkan penonton dan juga pembaca sedang berada pada zaman berkenaan.

Secara umumnya, permulaan Zaman Pertengahan (Medieval) ditandai dengan kejatuhan Empayar Rom Barat pada kurun ke-5 dan juga kejatuhan Empayar Rom Timur pada kurun ke-15. Zaman ini juga mempunyai susur masa yang sama dengan Zaman Kegemilangan Islam yakni ketika perluasan kuasa Kerajaan Abbasiyyah pada kurun ke-8 sehingga kurun ke-16. Pada masa ini, ahli falsafah, ahli sains, jurutera dan juga para ilmuan Islam banyak menyumbang kepada teknologi yang ada pada zaman keemasan berkenaan.

Para penakluk Kerajaan Abbasiyyah berjaya meluaskan kuasa sehingga ke bahagian Eropah Barat dan sejauh benua Afrika Utara. Tiga bandar utama kerajaan Byzantine iaitu Iskandariah, Carthage dan Antioch jatuh ke tangan tentera Islam. Antara pencapaian Cendekiawan Islam pada masa berkenaan adalah dengan terciptanya rekaan trigonometri sfera, kemajuan dalam bidang optik serta kemajuan dalam bidang astronomi.

Zaman Pembaharuan (Renaissance) pula adalah zaman kebangkitan rakyat Eropah yang bermula pada akhir kurun ke-14 sehinggalah kurun ke-17. Zaman ini dipercayai bermula dari Itali lalu merebak ke seluruh Eropah. Zaman Pembaharuan ini melambangkan kelahiran semula benua Eropah selepas mengalami zaman kegelapan yang panjang. Zaman ini juga menjadi perlambangan kepada kebangkitan masyarakat Eropah fasa awal kemodenan dari segi perdagangan, perluasan kuasa, seni ukir, seni kesusasteraan, lukisan, muzik dan ilmu sains.

Pada zaman ini jugalah berlakunya asimilasi penyerapan ilmu dan juga pemindahan maklumat melalui bidang sains dan teknologi antara benua Eropah dengan kerajaan Abbasiyyah yang bersambung ketika itu sehinggalah ke zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyyah. Pada masa ini, berlaku juga apa yang dipanggil sebagai letusan penyebaran ilmu pengetahuan dengan kehadiran teknologi percetakan buku, risalah dan juga makalah selain penciptaan teknik-teknik terbaharu dalam bidang seni, penulisan sastera, puisi dan juga rekaan seni bina.

Zaman Pembaharuan (Renaissance) merupakan satu zaman perubahan budaya yang mempengaruhi kehidupan intelek masyarakat Eropah pada tempoh kemodenan paling awal pernah dicapai. Para intelektual pada zaman pembaharuan ini telah menggunapakai kaedah kemanusiaan dalam proses pembelajaran dan berusaha membina sesuatu yang nyata lalu diselitkan pula dengan permainan emosi dalam sesebuah karya seni. Pengaruhnya masih lagi wujud khususnya dalam bidang kesusasteraan, falsafah, politik, seni, sains, agama dan aspek lain dalam penyelidikan intelek dekad kehadapan.

Empayar Uthmaniyyah pula adalah sebuah empayar kerajaan Islam yang pada suatu ketika dahulu pernah menguasai jajahan takluk yang cukup luas yakni mencakupi bahagian besar benua Eropah Tenggara, Asia Barat dan juga Afrika Utara. Empayar ini bermula sekitar penghujung kurun ke-13 di Anatolia dan bertahan sehingga awal kurun ke-20. Pada empayar inilah satu sejarah paling bermakna dicipta apabila Sultan Muhammad al-Fatih ataupun dikenali sebagai 'Mehmed II' berjaya menakluki Kota Konstantinople pada tahun 1453 M. Kota Konstantinople yang pada masa itu di tadbir oleh Empayar Byzantine terletak di Istanbul, Turki pada hari ini.

Perkara ini melengkapkan hadis Rasulullah S.A.W yang bersabda ketika menggali parit dalam Perang Khandaq 800 tahun sebelum peristiwa penaklukan kota Konstantinople itu, "Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera-tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Tema Yang Takkan DitulisWhere stories live. Discover now