SMK Seri Mutiara
Perkarangan sekolah dibanjiri para pelajar yang berpusu-pusu memasuki sebelum pagar besar ditutup. Qamra dan Qaid yang kebetulan baru sahaja sampai terus menuju ke arah gazebo. Rantai basikal dikunci terlebih dahulu sebelum mereka berdua berkejaran untuk menaiki aras tiga bangunan blok Ilmiah di mananya terletak kelasnya. Blok Ilmiah merupakan blok baharu yang dilengkapi makmal dan bengkel mengikut setiap aliran berbanding kelima-lima blok yang lain. Rintikan peluh tidak dihiraukan sama sekali gara-gara terlewat akibat berborak seperti tiada hari esok sehingga matahari telah pun terpacak baru mereka tiba di sekolah.
“Cepatlah sikit, dik,” gesa Qaid.
“Sabarlah. Kau tak nampak ke aku pakai kain bukan seluar nak melangkah besar macam kau. Takkan aku nak angkat kain ni pula,” Qamra membebel.Muka menyampah terhasil dan pantas Qaid berpatah semula menarik tangan Qamra yang masih terkedek-kedek menaiki tangga. Kesian pula tengok tak semenggah dibuatnya mengalahkan orang berusia. “Jom!”
“Eh, apa main tarik-tarik ni? Aku semput tau.” Pergelangan tangan yang digenggam kemas oleh Qaid cuba direnggangkan namun jelingan maut yang diterimanya.
Gulp! Merinding bulu roma Qamra. Macam manalah dia boleh lupa Qaid merupakan ketua pengawas sekolah ini dan mewarisi sikap ayahnya yang tegas.
Kelas yang pada mulanya riuh-rendah bertukar sepi tatkala aura Qaid mengisi suasana. Amboi, bukan main kuat tadi korang sekali datang Qaid terus macam malaikat lalu padahal dia pun manusia juga.
Qaid melepaskan tautan tangan Qamra dan melangkah ke tempat duduknya yang betul-betul di hadapan meja cikgu dan bersebelahannya Nurhan. Biasalah, ciri-ciri pelajar berkepimpinan dikatakan malahan menjadi pilihan idola ramai.
Qamra menayangkan riak tidak puas hati dengan sikap abangnya. Kadangkala terlalu penyayang dan agak merimaskan sehinggakan setiap langkahnya pun diperhatikan. Macam sekarang ni lah.
Bebola mata Qaid memerhatikan figura Qamra yang masih teguh berdiri bagai manikin di hadapan pintu kelas.
“Masuklah, kau dah kenapa? Tunggu karpet merah dibentangkan elok depan mata baru nak jalan semula?” sergah seseorang dari belakang menepuk bahu kiri Qamra.
“Opocot Syafiah, kau!” Qamra melatah.
“Mari. Sebelum Ustazah Aisyah sampai baik kita masuk dulu,” kata Syafiah lalu menarik tangan Qamra. Dia tidak membantah. Memang semua orang nak tarik tangan dia agaknya hari ni. Pasrah aje lah.
Bunyian derapan kasut tumit tinggi kedengaran dan tekaan mereka tepat bahawasanya Ustazah Aisyah merupakan gerangannya. Qamra yang baru ingin melepaskan lelah pada kerusinya terpaksa bangun semula diikuti yang lain. Pemberian salam diucapkan oleh ketua kelas dan diberi keizinan untuk duduk setelah salam dijawab.
Ketika ingin melabuhkan punggungnya sekali lagi tindak-tanduk Qamra diperhatikan oleh Qaid. Menyempat lagi tu walaupun Qamra duduk di barisan belakang berbeza sungguh dengan kembarnya, Qaid yang lebih gemar berada di hadapan tidak kira situasi apa sekalipun. Benarlah peribahasa yang mengatakan ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’.
Pembelajaran kelas berjalan seperti biasa. Guru mengajar, murid mendengar. Ada masa sekiranya tidak faham boleh bertanya dan boleh berpatah semula sebelum memulakan topik baharu. Kadangkala guru sengaja menguji anak murid bagi memastikan setiap ilmu yang dicurahkan difahami semua. Jangan pernah malu untuk bertanya, jikalau tidak sesat jalan buruk padah yang menimpa. Hal yang demikian kerana menyesal kemudian tiada gunanya.
“Baiklah murid-murid, sebelum tamatnya sesi pembelajaran kita pada hari ini... Ada sebarang soalan mahupun topik yang memerlukan penjelasan lebih lanjut?” soal Ustazah Aisyah memandang setiap pelajar di dalam kelas.
YOU ARE READING
Pelindung Kasih Purnama ✅ {COMPLETED}
Short Story𝐐𝐚𝐢𝐝 𝐀𝐟𝐧𝐚𝐧 | 𝐐𝐚𝐦𝐫𝐚 𝐀𝐝𝐞𝐥𝐢𝐚 𝑻𝒉𝒆 𝑲𝒂𝒔𝒊𝒉 𝑺𝒆𝒓𝒊𝒆𝒔: 𝑷𝒆𝒍𝒊𝒏𝒅𝒖𝒏𝒈 𝑲𝒂𝒔𝒊𝒉 𝑷𝒖𝒓𝒏𝒂𝒎𝒂 Purnama. Tahukah anda bulan bercahaya kerana ada sang matahari yang sudi menyinar? Hakikatnya kelam sekiranya dibiarkan sahaja...