Fajar subuh mula menyingsing. Qamra bangkit dari katil empuk miliknya dan melangkah ke arah jendela. Tingkapnya dikuak luas sehingga pemandangan sawah padi menjamah penglihatannya. Kicauan burung bermaharajalela di atas cakerawala sana. Azan subuh dari surau berdekatan berkumandang mengejutkan umat manusia agar bersujud kepadaNya.Qamra mengukirkan senyuman tipis dengan nikmat kurniaan yang masih memberinya peluang untuk bernafas di muka bumi ini. Seandainya engkau kehilangan seseorang yang begitu berharga dalam hidup, tatkala itu hanya mampu menerima qada’ dan qadarnya. Semua yang hidup pasti merasai mati. Insan bergelar bapa yang paling dicintai olehnya telah pun pergi menghadap Ilahi. Ibunya membanting tulang empat keratnya demi membesarkan keluarga kecil ini sejak lima tahun dahulu sehingga kini tanpa sebarang keluh kesah.
“Adik, kau dah bangun ke? Cepat bersiap, kita solat berjemaah sama-sama,” ujar Qaid yang berada di muka pintu.
“Baik abangku, adik menurut perintah,” balas Qamra dalam keadaan bergurau lantas tangan mencapai tuala dan langkah diaju ke bilik air.
Seusai selesai, Qamra menyarung pakaian seragam sekolahnya lalu menilik dirinya di hadapan cermin. Puas hati dengan penampilannya terus dia mengenakan kain telekung berwarna putih bersulamkan motif flora pemberian arwah ayahnya kerana berjaya menamatkan zaman sekolah rendahnya. Hadiah graduasi katanya. Sehingga kini dia masih menggunakannya dan moga segala kebaikan dan pahalanya yang dilakukan akan disalurkan kepada sang bapa.
“Qamra, anak ibu marilah sini. Kami dah lama menanti ni,” suara Puan Qaseh menyentak lamunannya. Qamra berpaling menghadap wajah ibunya yang bercahaya bersama senyuman penuh sinar.
Sekurang-kurangnya dia masih ada ibu sebagai tempat menumpang kasih. Ibulah wanita terhebat di matanya yang sanggup berpenat-lelah mencari rezeki siang dan malam tetapi tidak pernah waima sekali dia mengabaikan anak-anaknya yang telah pun menginjak usia genap tujuh belas tahun tahun ini.
Qamra Adelia dan Qaid Afnan. Sepasang cahaya mata kembar yang seiras namun berbeza ragamnya. Tetapi mereka berdua matang sebelum usia dan banyak meringankan beban orang tua mereka. Sesungguhnya, reda Allah terletak pada reda ibu bapa.
“Rapatkan saf kalian... Allahuakbar...” tegas Qaid menyampaikan arahan. Songkok di kepala dibetulkan dan laungan takbir kedengaran diikuti oleh yang lain.
Hening menghurungi suasana. Ketenangan dirasai tatkala menghadap yang Maha Esa.
Sejurus itu tangan ditadahkan untuk sesi berdoa. Qaid memejam mata rapat dalam menghayati doa yang dibaca. Bibirnya terkumat-kamit dan diaminkan oleh ibu dan adiknya.
“Ya Allah, kau ampunilah dosa ibu bapaku yang telah menatang diri bagai minyak yang penuh dari hambaMu ini. Aku memohon agar peluang diberi untuk ibu melihat kejayaan kami atas segala pengorbanan yang dicurahkan dalam membesarkan anak-anaknya. Ya Rabbi, kepadaMu aku berdoa dan semoga abah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman... Aamiin...”
Telekung yang menghangatkan tubuh diganti dengan dakapan permata hati. Qamra memeluk erat dari belakang manakala Qaid telah menyandar elok pada peha sang ibu. Senyuman terukir payah pada raut tua itu dan airmata yang terkumpul di juring mata dikesat lembut oleh jari Qaid. Bahu kanan menampung kepala anak daranya yang terasa selesa di situ.
Bahagia.
“Sudah, kamu berdua tak mahu sekolah ke? Kalau macam ni memang sampai ke esoklah sesi sendu tak berakhir,” getaran pada suara Puan Qaseh tidak dapat dikawal. Sesungguhnya, anak-anak di hadapannya adalah sumber kekuatan untuk dia terus berdiri. Amanah yang diberi oleh Dia seharusnya dijaga dengan baik.
“Lama lagilah, bu. Baru pukul berapa...” nada suara Qaid sengaja dileretkan. Bukan naluri keibuannya tidak tahu malah sahih sekali mereka ingin melengahkan waktu untuk meluangkan masa bersama.
“Awal? Jam dah pukul enam setengah pagi kamu berdua kata awal? Bangun, bangun...”
Riak cemberut terpapar pada wajah mereka. Tangan yang melingkari pada pinggang Puan Qaseh dileraikan Qamra. Qaid masih dalam posisi yang sama sehingga kepala diangkat melihat air muka ibunya yang bengis automatik kecut perutnya.
“Apa lagi tercongok depan ibu dengan muka selenga kau tu?” soal Puan Qaseh.
Qaid terkebil-kebil tetapi tidak mahu membuang masa dia turut bangun sebelum ibunya mengaum. Kebetulan Qamra yang telah lengkap sempurna berpakaian seragam putih sekolah meletuskan tawaan kecil membuatkan Qaid sedar semula ke alam nyata.
“Asal kau gelak tiba-tiba? Ada sesiapa buat lawak ke?” tanya Qaid lalu menarik kerusi meja makan. Dia melabuhkan punggungnya lantas mencedok nasi goreng ke dalam semua pinggan yang tersedia.
“Kelakar muka abang tadi nampak polos aje kena marah dengan ibu,” balas Qamra bersama sengihan kecil menayangkan gigi putihnya yang rata. Perutnya berkeroncong meminta untuk diisi melihat hidangan yang menggiurkan. Dia mengambil tempat di sebelah Qaid. Huluran pinggan disambut dan mereka menikmati sarapan pagi dengan sopan.
Puan Qaseh menggarit senyuman melihat keakraban si kembar. Seandainya salah seorang dari mereka sakit pasti yang seorang lagi turut merasai kesakitannya.
“Ibu, kami nak gerak ke sekolah dulu.”
Tiada balasan. Qaid dan Qamra saling berpandangan dan kemudiannya riak nakal terukir jelas pada wajah mereka.
“Oh ibu, Qamra tetiba rasa tak sihat pula. Bolehkan kalau adik nak cuti tapi malangnya abang kena pergi sekolah sendiri nampaknya. Kesian abang Qaid...” adu Qamra manja. Qaid sudah membulatkan biji mata seperti mahu menelannya hidup-hidup. Tak takut pun.
“Tak aci, kau cuti maka aku pun samalah. Kita kan pasangan kembar mestilah nak lakukan sesuatu perlu bersama. Kalau kau demam secara rasminya aku juga terkena tempiasnya,” bidas Qaid.
Lamunan Puan Qaseh terhenti apabila suara anaknya berkelahi menyapa gegendang telinga. Kali ini skrip mana pula dikarang si anak? Umur semakin meningkat tetapi perangai tidak ubah seperti kanak-kanak ribena. Pening kepala dibuatnya.
“Ada nampak muka adik kisah? Takde kan, jadi tolong tepi sikit tak perlu sibuk,” jawab Qamra sambil menjelirkan lidah pada Qaid. Benih mata memandang ibunya yang sudah berdiri memeluk tubuh.
“Alamak, lakonan kita terlebih dengan jayanya.” gumam Qamra. Qaid hanya menayangkan muka toya persis tidak bersalah sebagai balasan.
“Korang sempat lagi buat drama Hindustan kat sini! Cepat pergi sekolah sekarang.”Kepala yang tidak gatal digaru dan Qamra menoleh pada abangnya yang sudah pun menggalas beg kanvas berjenama Playboy hitamnya. Tangan dihulur menyalam ibunya sebelum menuju ke sekolah.
Qaid menuruni anak tangga dibuntuti Qamra. Puan Qaseh memerhatikan dari muka pintu. Kasut Asadi disarung pada tapak kaki dan basikal yang terletak di belakang rumah ditolak sehingga ke halaman rumah.
“Hati-hati anak ibu. Belajar elok-elok. Niat pergi sekolah kerana Allah,” jeritan Puan Qaseh menitipkan pesanan kedengaran tatkala basikal mula dikayuh oleh dua beradik itu.
Masing-masing hanya tersenyum mendengarnya lalu terus menyambung kayuhan yang tergendala sebentar tadi.
YOU ARE READING
Pelindung Kasih Purnama ✅ {COMPLETED}
Cerita Pendek𝐐𝐚𝐢𝐝 𝐀𝐟𝐧𝐚𝐧 | 𝐐𝐚𝐦𝐫𝐚 𝐀𝐝𝐞𝐥𝐢𝐚 𝑻𝒉𝒆 𝑲𝒂𝒔𝒊𝒉 𝑺𝒆𝒓𝒊𝒆𝒔: 𝑷𝒆𝒍𝒊𝒏𝒅𝒖𝒏𝒈 𝑲𝒂𝒔𝒊𝒉 𝑷𝒖𝒓𝒏𝒂𝒎𝒂 Purnama. Tahukah anda bulan bercahaya kerana ada sang matahari yang sudi menyinar? Hakikatnya kelam sekiranya dibiarkan sahaja...