"Alan, masuk kejap" arahan dan kemunculan secara tiba-tiba itu berjaya membuatkan Alan terkejut dan hampir sahaja terlepas ipad yang dipegang. Kus semangat. Lemah jantungnya buat seketika. Kalau tak difikir yang Alejandro itu adalah bosnya, mungkin lelaki German itu menjadi manusia pertama yang mendapat carutannya hari ini.
Setelah jantungnya kembali kepada kadar denyutan yang normal barulah langkah diatur ke pejabat Alejandro. Pintu terus dibuka tanpa diketuk terlebih dahulu. Sofa dituju dan punggung terus dilabuhkan. Buat macam pejabat sendiri pulak kau eh.
"Asal?" tanya Alan, kening diangkat sebelah.
"Pukul 1 nanti pergi ambil dua mangkuk tu kat airport"
"Kenapa tak suruh budak lain? Aku sibuk la" sebenarnya bukan sibuk mana pun. Kerja semua sudah disiapkan awal, jadual Alejandro untuk sebulan akan datang juga sudah diuruskan. Hanya beberapa dokumen sahaja yang perlu disemak sebelum diberikan kepada Alejandro untuk semakan akhir dan tanda tangan.
"Kau rasa adik kutip kau tu nak ke orang lain ambil dia?" soal Alejandro tanpa memandang Alan. Tangan sibuk menyelak kertas sambil mata menyemak jika ada sebarang kesalahan dalam dokumen tersebut.
Terus Alan mengeluh apabila teringat perangai adik dia yang satu itu. Tak pernah tak menyusahkan.
"Kau ikut tak?" tanya Alan. Dia bukan apa, kalau ada Alejandro senanglah sikit dia nak uruskan budak berdua tu. Payah kalau nak kena jaga dua ekor beruk serentak.
"Petang ni aku ada meeting tak?" soalan dibalas soalan. Ipad yang dibawa masuk sekali tadi Alan dibelek seketika. Jadual Alejandro disemak untuk dapatkan kepastian.
"Tak" jawabnya sepatah.
"Okay. Kau drive. Nanti lunch terus kat sana" setuju Alejandro. Jam tangan dikerling sekejap. Ada satu jam lagi, sempatlah dia berehat seketika. Dia baru balik daripada berjumpa pihak pembekal senjata.
Dokumen yang selesai disemak diletakkan ditepi. Badan disandarkan ke kerusi sebelum mata ditutup. Nafas berat dilepaskan bagi mengurangkan Lelah. Mata dibuka semula, Alan masih bersenang-lenang di sofa itu dipandang.
Terasa diperhatikan, Alan mengangkat muka dari skrin telefon sebelum mengangkat sebelah keningnya dan memberikan muka 'asal kau?' kepada Alejandro.
"Kau memang tak nak berambus ke?" tanya Alejandro.
Semak matanya melihat Alan yang selamba baring di sofa sambil main Candy Crush. Kalau main diam-diam dia tak kisah tapi manusia satu ni bingit betul. Inilah yang dinamakan lebih sudu dari kuah.
"Rileks brader. Kerja aku semua dah settle. Bagi la aku chance melepak kat sini sebelum mangkuk dua tu balik" jawab Alan. Bukan selalu dia buat perangai tak semenggahnya itu. Sementara jadual Alejandro agak lapang hari ini jadi tak banyak yang harus diuruskan.
"Esok malam kita habiskan sampah tu" kata Alejandro.
"Cun! James dengan Alex mesti suka. Ah tak sabar betul" lebar senyuman Alan. Sedah terbayang dirinya membelasah anak-anak buah 'sampah' itu. Badannya juga sudah lama tak 'dipanaskan'.
...
Zzapp!
Argh!
Bunyi libasan dan raungan kesakitan berselang-seli memecah kesunyian sel bawah tanah itu. Rogan ralit melibas badan anaknya dengan seutas rantai besi yang sepanjang satu meter itu. Amarah dan dendam kepada anak dan isteri yang lari daripadanya sejak lima tahun lalu dilepaskan kepada Alicia.
Tubuh kecil anak perempuan yang semakin mengurus meringkuk kesakitan dan kesejukan itu dipandang kosong. Rambut perang dan anak mata warna biru milik anaknya itu benar-benar mirip isterinya dan ianya membuatkan dia semakin marah dan benci akan gadis tak bersalah itu.
Setelah puas dia melepaskan geram, Rogan terus berlalu meninggalkan sel itu. Sempat dijeling sekilas anak perempuannya yang sudah terdampar dilantai simen yang sejuk itu. Dua pengawal yang ditugaskan untuk memerhati Alicia hanya menundukkan pandangan sedikit sebelum terus berdiri tegak meneruskan tugasan.
Sudah lima hari Alicia dikurung tanpa sebarang makanan dan kaki serta tangganya dirantai. Luka-luka dan lebam memenuhi badan akibat dibelasah dan dipukul oleh anak-anak buah bapanya. Rambutnya juga sudah dipotong secara rawak oleh bapanya pada hari ketiga dia dikurung hanya kerana dia cuba mempertahankan dirinya. Sungguh keadaannya sangat parah dan menyedihkan.
Dia sudah tak kisah jika kematian ingin menjemputnya. Dia tidak ada apa-apa lagi. Biarlah dia berehat. Kesakitan diseluruh badan dihiraukan sementara matanya semakin lama semakin memberat dan akhirnya tertutup.