Syurgaku... Di Wajahmu - Bab 1

29 2 0
                                    

IDAYU mencecahkan hujung jari kakinya ke dalam air jeram yang mengalir perlahan. Segera riak-riak ombak kecil terbentuk. Damai hatinya, sedamai riak-riak ombak kecil itu. Ya, dia ke sini lagi seperti selalu. Menyendiri di kawasan jeram kecil di belakang rumahnya. Kawasan yang sering mendamaikan setiap keresahan yang singgah di dalam hati.

Deruan air jeram itu seperti selalu, bagaikan memberikan seribu ketenangan di di jiwa.

Mana mungkin dia melupakan tempat ini. Terlalu banyak kenangan indah yang mendamaikan tasik hatinya berlaku di sini. Di sinilah waktu kecilnya dihabiskan bermain-main bersama kucing kesayangan, Montok. Di sini jugalah dulu, petangnya dihabiskan dengan menangkap anak-anak ikan sempilai, puyu dan haruan. Dia masih ingat lagi, bagaimana dia menyusun batu-batu kecil untuk dijadikan empangan bagi mengepung anak-anak ikan tersebut.

Di sini jugalah tempat dia mengadu segala keluh-kesah. Ada ketikanya dia ke mari hanya untuk mengelamun, memasang angan-angan yang tidak pernah ada kesudahan. Sikap suka menyendiri menyebabkan dia terlalu asyik melayan perasaan. Walaupun berbakul leteran emak dengan sikapnya itu, Idayu tidak mengendahkannya. Ah... bukannya dia mengganggu sesiapa pun. Dia ke mari pun bukannya untuk bertemu sesiapa.

Dia masih ingat lagi bagaimana dulu dia bertemu dengan tempat ini. Waktu itu emak mengajaknya mengutip pucuk paku di pinggir sungai untuk dibuat lauk tengah hari. Dia tidak menyangka langkahnya pagi itu, akan membawa dia ke sini. Semenjak itu, kawasan yang mendamaikan ini sering menjadi tempat kunjungannya.

Ada waktunya dia datang untuk menghabiskan kerja sekolah di sini, menelaah buku-buku ketika peperiksaan menjelang, membaca novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau hanya berkunjung untuk menikmati kesegaran udaranya. Waktu yang paling digemarinya adalah waktu selepas hujan turun. Sungguh damai dan nyaman udaranya.

Tetapi, entah mengapa suasana petang ini dirasakan agak berbeza. Ketenangan yang dirasakan petang ini tidak seperti biasa. Bagaikan terasa yang tempat ini bukan lagi milik peribadinya. Terdetik juga dalam hatinya, 'mungkinkah ada seseorang yang sedang bersembunyi, memerhatikannya di sebalik rimbunan pohon-pohon kecil di sekelilingnya?'

Cepat-cepat dia mematikan detik hatinya itu. Ah... siapalah gerangan yang akan ke mari? Bukankah selama ini hanya dia saja yang selalu ke sini? Selama ini dia tidak pernah berkongsi tempat ini dengan sesiapa pun, kecuali Montok. Dan jika boleh, dia tidak ingin berkongsi kedamaian ini dengan sesiapa pun.

Redup petang itu memberi isyarat supaya dia pulang. Sudah hampir 2 jam dia di situ melayan perasaan. Dia tahu, kalau lewat lagi pulangnya, dia akan dileteri emak seperti hari-hari lalu. Suara emak yang damai itu ada ketikanya mampu menyentuh hati gadisnya. Dia sedar, leteran emak itu hanya untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikapnya yang suka menyendiri.

'Mak... Ayu senang begini,' getus hatinya.


"AYU... KE mana aje kau ni, senja-senja begini baru balik?" sapa Mak Su Jah. Dia merenung wajah anak gadis itu. Risau hatinya melihat sikap anak dara suntinya yang suka menyendiri.

"Tak ke mana mak," jawab Idayu lembut. 'Jangan risau mak, Ayu bukannya buat benda tak elok,' getus hatinya.

Idayu memandang sekilas pada emak dan ayahnya yang sedang duduk di beranda rumah pusaka itu. Pak Dollah telah siap mandi dan berpakaian lengkap untuk ke masjid. Sebagai ketua kampung, dia memang tidak pernah ketinggalan untuk bersolat jemaah di masjid.

"Ayu masuk dulu ya mak... ayah," ucapnya sambil berlalu. Langkahnya hanya diikuti oleh sorotan mata tua Mak Su Jah.

"Habis, budak-budak tu nanti nak duduk dekat sini berapa lama?" Kedengaran suara Mak Su Jah bertanyakan kepada Pak Dollah.

Syurgaku... Di Wajahmu - Laila Hanni (e-book)Where stories live. Discover now